Di
bandar Cordova, negeri Sepanyol terdapat sebuah taman yang amat terkenal
kerana keindahan bunga-bungaan dan kesegaran tanam-tanaman di dalamnya,
berbeza sedikit dari Taman Firdausi. Taman ini selalu dibanjiri oleh
para pelancong jauh dan dekat. Pada suatu petang yang damai di salah
satu sudut taman itu yang agak terpencil, duduk dua orang lelaki muda
yang kelihatannnya seperti orang berilmu. Mereka sedang tenggelam di
dalam satu perbincangan agama yang serius. Hari
semakin petang dan matahari sudah hampir ghurub di langit barat.
Kicauan burung yang pulang ke sarangnya menimbulkan suasana riang kepada
orang-orang yang lalu-lalang. Seorang gadis kristian yang dikenali
namanya dalam sejarah sebagai Isabella kebetulan duduk bercengkerama
dengan beberapa orang kawannya di sebalik serumpun tumbuhan berhampiran
dengan tempat kedua lelaki muda itu. Isabella sering datang ke taman itu
dengan kawan-kawannya untuk menikmati keindahan alam semula-jadi. Dia
adalah anak ketua paderi bandar Cordova dan baru berusia 17 tahun.
Kecantikan wajahnya dan keanggunan perawakannya selalu digambarkan oleh
pemuda-pemuda yang mengenalinya sebagai jelmaan bidadari dari syurga.
Orang-orang bangsawan termasuk para paderi banyak yang
tergila-gilakannya. Mereka ingin mengambilnya sebagai isteri untuk
menjadikan hidup mereka bahagia dan gembira. Tetapi keinginan mereka itu
dihalangi oleh cita-cita bapa Isabella yang mahukan anaknya itu
mengikuti jejak Siti Mariam, ibu Nabi Isa, hidup membujang sampai ke
akhir hayat, mengabdikan dirinya kepada Jesus Kristus. Dia tidak
bermaksud memberi suami kepada anaknya itu tetapi sebaliknya mendidiknya
dengan ilmu agama sehingga Isabella dalam usia semuda itu telah mahir
dalam berbagai-bagai masalah yang berkaitan dengan keagamaan dan sangat
mengambil perhatian berat di dalam perbincangan-perbincangan yang
mengenai ilmu ketuhanan.
Dalam masa dia bergurau senda dengan kawan-kawannya itu terdengar
olehnya suara dari sebalik rumpun bunga, orang bercakap tentang agama.
Dia tersentak apabila orang di sebalik rumpun itu berkata ”padahal
paderi-paderi Kristian”. Dia lalu dengan berhati-hati memasang
telinganya.
Pada waktu itu, kedua orang lelaki muda itu kerana terlalu asyik
dengan perbincangan mengenai agama Kristian tidak sedar bahwa
perbincangan mereka sedang didengar oleh beberapa orang gadis
Kristian.Salah seorang pemuda itu berkata, “Saint Paul telah menulis di
dalam salah satu suratnya bahwa hukum-hukum agama itu merupakan satu
kutukan dan Jesus Kristus telah datang untuk menyelamatkan kita daripada
kutukan tersebut. Apakah makna kata-katanya itu?” Terdengar ketawa
kecil kawannya. “Umar, sahabatku. Engkau mahu aku menerangkan kepadamu
padahal paderi-paderi Kristian sendiri ….”
Waktu itulah Isabella sedang mendengar percakapan itu. Dia lalu
berkata kepada kawan-kawannya, “Nampaknya orang-orang di sebelah kita
ini sedang memperkatakan tentang agama kita. Mari kita dengar apa yang
sedang mereka kata.” Salah seorang kawannya menyampuk dengan nada sinis,
“Sejak orang-orang Islam datang ke mari, agama kita diancam bahaya.”
“Diamlah!” herdik Isabella. “Nanti mereka tahu kita ada di sini. Mari
kita dengar apa yang sedang mereka kata.”
“Apa maksudmu, paderi-paderi Kristian sendiri. Apakah mereka juga
tidak memahaminya? Apakah mereka itu menganut agama Kristian hanya
secara membuta tuli saja?” tanya orang yang bernama Umar. Namanya yang
lengkap ialah Umar Lahmi seorang terpelajar yang terkenal di kalangan
cendekiawan agama.
“Cubalah ajukan pertanyaan itu kepada paderi yang terkemuka dan
dengar apa jawabannya. Tetapi sebelum itu terangkan lebih dulu kepadaku
apakah yang menyebabkan tuan tidak bersetuju dengan kata-kata St. Paul
itu!” ujar Maaz, demikian nama seorang lagi.
Sambil memandang muka sahabatnya, Umar Lahmi berkata, “Bukan aku
tidak bersetuju tetapi aku hanya mahu memahaminya saja. Tuan seorang
yang banyak bergaul dan bercakap dengan orang-orang Kristian. Tuan juga
banyak banyak membaca kitab-kitab mereka. Maka sebab itulah aku meminta
penerangan daripada tuan. Menurut pendapatku apabila hukum-hukum agama
itu merupakan satu kutukan dan Nabi Isa datang mahu menyelamatkan
penganut-penganut agama Kristian dari kutukan itu maka pencurian,
penzinaan, penderhakaan kepada ibubapa seharusnya dapat dibenarkan di
dalam agama Kristian meskipun barangkali tidak ada orang Kristian yang
percaya tentang pembenaran berlakunya perkara-perkara itu.”
Maaz agak kebingungan sejurus mendengar kata-kata sahabatnya itu.
“Bagaimana boleh pencurian dan penzinaan dikaitkan dengan hukum-hukum
agama menjadi satu kutukan? Aku tidak berapa faham dengan maksud tuan.”
“Apa yang aku maksudkan,” jawab Umar Lahmi, “ialah di dalam Kitab
Perjanjian Lama, hukum-hukum agama memerintahkan bahwa kita tidak boleh
mencuri, tidak boleh berzina, tidak boleh menimbulkan kesukaran kepada
tetangga, tidak boleh derhaka kepada orangtua dan lain-lain lagi.
Apabila seluruh hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, maka
mematuhi perintah-perintahnya juga merupakan satu kutukan karena
perintah-perintah itu adalah sebahagian daripada agama, malah ia adalah
intisarinya yang sebenar. Jikalau yang dikatakan oleh St Paul itu benar,
maka orang-orang Kristian boleh mencuri, boleh berzina dan boleh
melakukan dosa-dosa lain. Apabila mereka mematuhi hukum-hukum agama ini
maka mereka termasuk orang yang dilaknat dan orang-orang Kristian yang
menentang pula dapat dihukum bersalah kerana mereka tidak mematuhi
peraturan-peraturan agama.”
Maaz tersenyum kecil apabila sahabatnya itu selesai menghuraikan
hujahnya yang panjang lebar itu. Sambil mengangguk-anggukkan kepala, dia
berkata, “Agak aneh. Tuan mahu aku menjelaskan perkara yang sama yang
seringkali aku kemukakan kepada orang-orang Kristian.”
“Apa?” Umar Lahmi agak terperanjat mendengar kata-kata Maaz itu.
“Tuan juga telah bertanya kepada mereka? Jadi, apa jawaban mereka?”
“Mereka cuba memberi penjelasan tetapi terlalu membingungkan.” jawab Maaz.
Sebaik saja Maaz selesai bercakap, dari menara masjid yang
berhampiran dengan taman kedengaran suara azan maghrib dilaungkan oleh
muazzin yang merdu dan amat syahdu. Kedua-dua orang sahabat itu pun
bangun dari duduknya, menuju ke sebuah tempat air untuk berwuduk dan
kemudian menuju ke masjid untuk ikut berjemaah bersama-sama dengan
saudara-saudara Muslimin yang lain.
Isabella yang sejak tadi mengintai mendengar perbincangan Umar Lahmi
dan Maaz merasa amat terkilan apabila kedua-dua orang itu bangun secara
tiba-tiba meninggalkan tempat itu. Dia mendengar percakapan kedua orang
itu dengan penuh minat apatah pula dia memang sangat tertarik dengan
soal-soal yang berhubungan dengan ketuhanan dan dapat pula membuat
penilaian terhadap penentangan yang dikemukakan oleh kedua orang muda
itu. Dia cuba mencerna persoalan itu dan mencari jawaban kepada pokok
perbincangan yang ditimbulkan tetapi ternyata tidak berdaya. Akhirnya
dia mengambil keputusan akan mengemukakan hal tersebut kepada bapanya.
Setelah membuat keputusan itu, dia mengajak kawan-kawannya pulang.
Isabella berpisah dengan kawan-kawannya di satu persimpangan jalan. Dia berjalan menuju ke pintu gerbang sebelah timur Cordova.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar