Cahaya
petunjuk dari Islam merupakan rahmat yang paling agung dari Allah
Subhanahu wa ta’ala, yang telah menganugerahkan perbendaharaan ghaibNya
kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Isabella ialah anak perempuan
seorang paderi Kristian yang terkemuka, yang telah dibesarkan oleh
bapanya menurut peraturan-peraturan agama Kristian yang ketat. Isabella
sendiri seorang puteri Kristian yang fanatik, seorang ilmuwan dalam
teologi tetapi kini telah menjadi seorang Islam, seorang muslimat,
seorang yang alim dan warak, ahli pentafsir Hadis dan seorang wanita
Islam yang sempurna displinnya. Isabella
telah termahsyur di seluruh Sepanyol kerana ilmu dan kesalihannya.
Dalam masa yang singkat, dia dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang
rumit yang ada kaitan dengan hukum-hukum Islam. Isabella sudah sepuluh
tahun menjadi penganut Islam dan dalam masa itu serangan-serangan
terhadap Islam yang dilakukan oleh orang-orang Kristian sudah mulai
reda. Beratus-ratus orang Kristian, lelaki dan perempuan, telah menerima
cahaya Islam melaluinya dan dengan rahmat Allah. Dia telah keluar
sebagai lambang kemenangan dalam berbagai-bagai perbincangan agama.
Tepat pada masa itu berita-berita telah tersebar di seluruh Sepanyol
bahwa ada seorang perempuan Kristian di Toledo yang katanya terlalu
dalam pengetahuannya tentang Al-Quran dan Hadis dan juga kitab-kitab
wahyu yang awal dan dia mempunyai hujah-hujah yang banyak dan meyakinkan
tentang kebenaran agama Kristian sehingga alim ulama Islam yang
terkenal pun agak susah mahu menolaknya. Selain daripada itu, khabarnya
dia juga memiliki mukjizat yang menyebabkan mendapat kedudukan istimewa
di dalam hati penganut-penganut agama Kristian sehingga kepopularannya
tidak menyenangkan Paus. Orang-orang Kristian dari jauh dan dekat telah
datang ke Toledo semata-mata kerana hendak mengambil berkat dengan
menyentuh pakaiannya saja. Juga diberitahu bahwa dia boleh menyembuhkan
penyakit yang paling berbahaya hanya dengan sekali tenungan. Wanita
Kristian itu telah mengetahui tentang Isabella yang telah meninggalkan
agama Kristian dan menerima Islam sepuluh tahun lalu. Dia lalu
mengumumkan kepada pengikut-pengikutnya bahwa jikalau Isabella datang
menemuinya, dia akan membawanya kembali ke dalam agama Kristian dengan
mukjizat yang ada padanya dan dengan kekuatan hujah-hujahnya. Katanya
lagi Isabella tidak akan berani datang ke hadapannya kerana selama
sepuluh tahun sesudah dia keluar dari agama Kristian, dia telah merasa
kesal kerana meninggalkan agama itu.
Oleh sebab pengumuman yang dibuat oleh perempuan Kristian itu maka
timbullah kehebohan di seluruh negara Sepanyol dan orang-orang Kristian
pula menjadi keras kepala dan mula melakukan perbuatan-perbuatan nakal.
Akhirnya, pada suatu hari dalam salah satu perhimpunan agama, salah
seorang terpelajar yang sedang mengikuti perhimpunan itu telah berkata
kepada Isabella.
“Sudahkah anda mendengar satu pengumuman baru?”
“Tentang apa, saudara?” tanya Isabella.
“Seorang wanita Kristian telah mencabar anda untuk berdebat.” jawab
lelaki itu. “Katanya anda tidak akan berani datang berdebat dengannya
dan kalau anda datang juga dia tidak akan melepaskan anda balik sebelum
anda kembali ke agama Kristian baik melalui mukjizatnya mahupun melalui
hujah-hujahnya.”
“La haula wala quwata illa billa,”
ujar Isabella. “Seorang wanita Kristian mencabar saya dan dengan
hujah-hujahnya mahu memasukkan seorang muslimat sejati ke dalam agama
Kristian! Saya sebenarnya sudah tidak berminat lagi dalam persoalan itu.
Semua orang yang diberi petunjuk oleh Alah akan datang kepada saya.
Tetapi wanita Kristian ini nampaknya inginkan nama.”
“Dia sudah lama terkenal,” jawab lelaki terpelajar itu “tetapi sekali
ini, dia berhajat mau berkonfrontasi dengan anda pula. Perkara ini sudah
heboh dipercakapkan orang di seluruh negeri terutama dalam kalangan
orang-orang Kristian.”
“Saya telah juga mendengarnya,” jawab Isabella “bahwa dia benar-benar
mahu berkonfrontasi dengan kita silalah datang ke mari dengan segala
penyokong-penyokongnya dan tanya apa saja yang dia mahu.”
Kira-kira enam hari sesudah perbincangan antara Isabella dengan
lelaki terpelajar itu, Isabella telah menerima surat dari perempuan
Kristian tersebut yang meminta berbincang dengannya mengenai Islam dan
agama Kristian.
“Andaikata anda bersetuju, saya dengan segala senang hati akan datang ke tempat anda, mencuba membersihkan semua keraguan anda.”
Isabella terus menjawab “Saya hanya suka berbincang dengan tujuan
mencari kebenaran dan bukan kerana sekadar mahu bercakap kosong yang
akan membuang masa saja. Anda dipersilakan datang ke rumah saya
bila-bila masa anda suka.”
Sebaik saja menerima surat Isabella itu, perempuan Kristian itu pun
tidak berlengah-lengah lagi lalu mengumumkan kepada orangramai bahwa dia
akan berdebat dengan Isabella dan akan membawanya kembali ke dalam
agama Kristian. Esoknya, dengan diiringi oleh kira-kira seratus orang
perempuan Kristian dia bertolak dari Toledo menuju ke kediaman Isabella
di Institut Pengajian Al-Quran di Cordova. Isabella dengan penuh mesra
menyambut kedatangan semua tetamunya. Setelah berehat sebentar maka
perdebatan itu pun dimulai atas inisiatif wanita Kristian itu.
“Khabarnya anda meninggalkan Tuhan Jesus dan semua wali lalu menerima
agama palsu seperti Islam.” kata perempuan Kristian itu. “Lebih baiklah
setelah sudah mengalami pengalaman pahit itu, anda kembali kepada agama
Kristian.”
Isabella tersenyum mendengar kata-kata perempuan Kristian itu.
“Biarpun saya dibakar hidup-hidup saya tidak akan meninggalkan Islam dan
menerima ketuhanan yang berbagai-bagai serta kepercayaan Kristian yang
memalukan itu. Namun demikian kerana anda datang ke mari maka saya ada
hak untuk bertanya di mana di dalam Injil ada tertulis yang anda boleh
datang mengajak orang masuk Kristian. Di dalam Injil, Jesus itu hanyalah
nabi orang-orang Yahudi saja dan dia telah diutus untuk mendakwah
kepada mereka khusus.” jawab Isabella tegas.
“Apakah ada tertulis di dalam Injil bahwa pintu agama Kristian tertutup
kepada semua manusia? Apakah ini hasil penyelidikan anda yang
menyebabkan anda membuang agama Kristian?” tanya perempuan Kristian itu.
“Ya, ada ditulis di dalam Injil dan juga disahkan oleh Kitab Suci Al-Quran yang mengatakan :‘wa rasulan ila Bani Israel’ yakni Jesus Kristus itu diutus sebagan nabi orang Israel (Yahudi) dan di tempat lain ada disebutkan : ‘waja alnahu mislan Bani Israel’ yakni kami jadikan Jesus Kristus itu sebagai contoh kepada orang-orang Israel dan ini bererti bukan untuk seluruh dunia.”
“Bilakah yang saya ini percayakan Al-Quran sehingga anda menyebutnya di hadapan saya?” tanya perempuan Kristian itu lagi.
“Saya sebutkan Kitab Suci Al-Quran itu kerana anda mungkin tahu bahwa
dalam soal ini Kitab Suci Al-Quran dan Injil itu sama. Dalam Kitab
Matius bab 10 ayat 5 ada dikatakan : ‘kedua
belas orang murid itu telah diutus oleh Jesus dan dia berpesan kepada
mereka : “Janganlah kamu menyimpang ke jalan bangsa lain atau masuk ke
dalam kota orang Samaria, melainkan pergilah kepada domba-domba yang
hilang dari umat Israel!’ Di dalam Kitab Matius juga bab 15 ayat 21, ada dikatakan : ‘Lalu
Jesus pergi dari situ dan menyingkir ke daerah Tirus dan Sidon, maka
datanglah seorang perempuan Kanaan dari daerah itu dan berkata
‘Kasihanilah aku, wahai anak Daud kerana anakku perempuan telah dirasuk
syaitan dan sangat menderita’. Tetapi Jesus sama sekali tidak menjawab.
Lalu murid-muridnya datang dan meminta kepadanya. ‘Suruhlah dia
pergi,dia mengekori kita dengan berteriak-teriak’. Jawab Jesus ‘Aku
diutus hanya kepada domba-domba yang hilang dari umat Israel’.
Nah, itu buktinya daripada Kitab Injil anda sendiri bahwa Jesus Kristus
tidak diutus sebagai nabi kita semua tetapi hanya untuk orang-orang
Israel saja, bukankah lebih baik anda ikut perintah Tuhan anda? Mengajak
orang lain masuk Kristian adalah perbuatan yang bertentangan dengan
perintah Tuhan anda dan anda telah menderhakainya.” kata Isabella.
“Apa yang anda tahu tentang Injil?” kata perempuan Kristian itu.
“Tanyalah saya akan maksud ayat-ayat itu. Dalam Injil tidak ada ditulis
bahwa Injil tidak boleh diajar di mana-mana.”
“Tidak ada?” tanya Isabella seperti mengejek.
“Jangan berbuat bohong Isabella. Sekurang-kurangnya di hadapan khayalak
ini anda patut menahan diri dari berbohong.” kata perempuan Kristian
itu. “Lihat, dalam Kitab Markus bab 16 ayat 15 ada ditulis : ‘Dia
berkata kepada mereka, pergilah ke seluruh dunia dan beritakan Injil
kepada semua makhluk. Barangsiapa yang percaya dan dibaptiskan maka dia
akan selamat dan barangsiapa yang tidak percaya maka dia akan diseksa’. Lihat betapa jelasnya perintah untuk mengkristiankan seluruh umat dunia.”
“Anda barangkali tidak tahu,” kata Isabella “ada 12 ayat di dalam bab 16
ini ditambah kemudian. Injil yang awal hanya sampai kepada ayat 8 saja.
Anda jangan cuba kemukan hujah dari Injil yang sudah dimanipulasi.”
“Bagaimana anda tahu ayat-ayat ini ditambah kemudian?” tanya wanita Kristian itu terperanjat.
“Dari penyelidikan orang-orang Kristian sendiri. Setelah dibandingkan
dengan nashkah-nashkah lama, ternyata 12 ayat di dalam bab yang terakhir
kitab itu tidak terdapat di dalam kitab-kitab yang terdahulu*.”
* di dalam edisi bahasa Urdu Kitab Injil yang digunakan di India
sekarang, ayat-ayat yang telah dimanipulasi ini dibuat sebagai catatan
pinggir.
“Karena kami tidak mempunyai Kitab Injil yang original maka saya
tidak dapat berkata apa-apa sebagai jawabannya.” ujar perempuan Kristian
itu. “Saya akan menjawab apabila saya mendapat Injil original nanti.
Tetapi apakah ajaran-ajaran Quran yang tidak terdapat di dalam Injil?
Kenapa anda sampai menerima Islam?”
“Mengenai hal itu saya telah pun berbincang secara terperinci dengan para paderi anda. Tanyalah kepada mereka.” kata Isabella.
“Bagaimana saya akan tahu apa yang anda jawab kepada paderi-paderi itu.
Sekarang cuba terangkan kepada saya apa dia kelebihan-kelebihan Islam
yang telah anda pelajari?” tanya perempuan Kristian.
“Apa anda fikir saya terima Islam dengan mata tertutup?
Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang membuat saya jijik dengan Kristian
dan menyebabkan saya mencintai Islam.” kata Isabella.
“Kenapa anda enggan menyebut kelebihan-kelebihan Islam?” Perempuan Kristian itu terus mendesak.
“Nyatalah agama itu tidak ada kelebihan apa-apa pun juga. Isabella! Cuba
dengar baik-baik. Tidak ada sesiapa yang setaraf dengan saya di seluruh
Sepanyol dalam ilmu pengetahuan. Jangan anda cuba fikir bahwa saya ini
tidak tahu apa-apa. Bagaimanapun saya hanya mahu bertanya satu
pertanyaan saja. Anda boleh menjelaskan yang hak dan yang batal biar
seterang hari siang. Beritahu saya kualiti yang mana satu lebih tinggi:
peradilan lebih tinggi daripada hukum rahmat ataupun hukum rahmat itu
lebih tinggi daripada syahadat peradilan?”
“Kedua-duanya tinggi dan utama pada tempatnya masing-masing dan rendah
serta tidak berguna kalau bukan pada tempatnya.” jawab Isabella.
“Fahamkah anda apa yang saya maksudkan?” Perempuan Kristian itu bertanya kepada Isabella.
“Begini! Hukum-hukum Taurat itu peradilan kerana di dalamnya ada
tersebut hukuman kepada tiap-tiap orang yang melakukan kesalahan tetapi
Injil ialah hukuman rahmat kerana hanya Tuhan Jesus Kristus saja yang
dikhaskan untuk penebusan dosa. Nah, cuba terangkan apakah anda menolak
hukum-hukum rahmat?”
“Saya telah katakan bahwa kedua-duanya betul pada tempatnya
masing-masing. Jikalau seseorang yang berbuat salah diampunkan dengan
andaian bahwa dia akan memperbaiki dirinya maka dia diampunkan dan
rahmat akan menyusul kemudian, tetapi kalau dikhuatiri bahwa yang
berbuat salah itu semakin berani melakukan kesalahan dan dia dimaafkan
juga maka permaafan itu adalah satu jenayah dan ketidak-adilan kepada
yang berbuat salah.”
“Nah, apakah Quran itu hukum-hukum peradilan ataupun hukum-hukum rahmat?” tanya lagi perempuan Kristian itu.
“Menurut pendapat anda, Taurat itu hukum-hukum peradilan dan bukan
hukum-hukum rahmat sementara Injil pula hukum-hukum rahmat dan bukan
peradilan. Jadi kedua-duanya itu tidak berlaku pada tempatnya
masing-masing. Kitab Suci Al-Quran sebaliknya merangkumi kedua-duanya,
peradilan dan kerahmatan dan telah menunjukkan jalan yang benar bagi
penggunaan kedua-duanya itu. Dalam Al-Quran, surat 42 ayat 40 ada
disebutkan : Balasan kejahatan adalah kejahatan yang seumpamanya’. Inilah hukum-hukum peradilan dan selajutnya ayat itu diakhiri dengan: ‘Barangsiapa
memberi maaf serta memperbaiki keadaan dirinya maka pahala akan
diberikan Allah, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlaku
zalim. Ini ialah hukum-hukum rahmat.” kata Isabella. “Di tempat lain Al-Quran iaitu di surat An Nahl ayat 126 ada disebutkan: Dan jika kamu menyeksa mereka sebagai pembalasan, maka seksalah mereka seimbang dengan penyeksaan yang ditimpakan atas kamu’. Ini ialah peradilan dan ‘Demi Allah sungguh jika kamu bersabar tentulah sabar itu lebih baik lagi bagi segala orang yang sabar’. Ini rahmat. Di tempat ketiga pula iaitu di surat Al-Baqarah ayat 280 ada disebutkan begini: Dan
jika didapati orang yang sempit keadaan, yakni orang yang berhutang
maka hendaklah kamu beri waktu hingga dia sanggup membayarnya’. Ini peradilan lagi. Tetapi ‘kamu
bersedekah kepada orang yang papa itu dengan jalan membebaskan mereka
dari hutang, adalah lebih baik bagi kamu dari menunggu mereka sanggup
membayarnya, jika kamu mengetahui’. Itu rahmat lagi. Begitulah Kitab Suci Al-Quran memberi peringatan tentang peradilan dan rahmat.” Perempuan
Kristian itu lalu menyampuk “Quran menyuruh mengambil tindakan membalas
tetapi Injil melarang tindakan serupa itu, sebaliknya disuruh memberi
kemaafan. Nah, kelebihan Injil bukankah telah terbukti dengan jelas.”
“Itu tidak membuktikan kelebihan tetapi kekurangan.” jawab Isabella
dengan segera. ”Andaikata orang melakukan kejahatan dan jenayah lalu
diberi kemaafan kepada tiap-tiap kali kejahatan dan jenayah dilakukan,
maka kejahatan dan jenayah akan merebak ke seluruh dunia dan keamanan
serta ketenteraman akan terganggu. Kitab Suci Al-Quran membenarkan
penggunaan kedua-duanya sekali: pemaafan dan pembalasan menurut
keadaannya. Selain daripada itu, Injil juga telah memanusiakan Tuhan
tentang mengapa Dia memberikan sifat marah dan nafsu kepada manusia.
Apakah sifat marah itu diberikan tanpa bersebab? Tidak. Tuhan tidak
pernah mencipta sesuatu sifat manusia tanpa ada gunanya. Oleh sebab itu
Kitab Suci Al-Quran telah mengajar bagaimana mahu menggunakan
sifat-sifat pengampun dan pemarah, pemaafan dan pembalasan menurut
keadaan yang sepatutnya dan tidak dibenarkan sifat-sifat itu
menghanyutkan manusia.”“Ah,
betapa tidak adilnya anda menolak semua perkara-perkara baik dari
kami,” kata perempuan Kristian “Tuhan kami tidak pernah berperang dengan
sesiapa pun juga tetapi memaafkan musuh-musuhnya dan dengan sabar
menahan penindasan mereka sedangkan nabimu membalas dendam ke atas
musuh-musuhnya serta tidak pernah memberi kemaafan kepada sesiapa pun
juga. Sekali lagi membuktikan bahwa contoh dari Injil dan Tuhan kami
saja yang boleh membawa kepada keselamatan.”
“Kesabaran, kemaafan, ketegasan, keberanian, keadilan dan lain-lain lagi
adalah perbuatan yang diketahui oleh tiap-tiap orang tetapi sangat
sedikit pula daripada mereka itu yang tahu akan signifikannya yang
sebenar. Sesuatu nilai tentang baik dan buruk moral terletak kepada
tempat penggunaannya yang sesuai, kalau tidak maka kesabaran dan
kemaafan tidak ada erti sama sekali. Cuba perhatikan! Pengampunan dan
pemaafan akan tinggi nilainya apabila pemberi maaf mempunyai kuasa untuk
membalas. Jikalau seorang yang lemah dan tidak berdaya, tidak ada kuasa
untuk membalas maka pengampunan dan kemaafannya tidak akan dapat
dianggap sebagai satu jasa melainkan sebagai satu kebaculan saja. Nabi
kami memiliki kekuasaan moral ini sebab itu kemaafan dan pengampunan
adalah terlalu tinggi nilainya. Setelah beliau menakluki Mekah,
orang-orang musyrikin yang kejam telah dibawa ke hadapan baginda tetapi
baginda membebaskannya semua dengan berkata: “Pergilah kamu sekalian.
Kamu sekarang sudah bebas! ” Kalau baginda mahu, baginda dapat
mencencang-cencang mereka kerana baginda ada kuasa dan sahabat-sahabat
baginda sedang menunggu perintahnya saja. Nah, sekarang cuba beritahu
saya, bagaimana kedudukan nabimu waktu dia memaafkan musuh-musuhnya?
Nyatalah pada waktu itu dia sangat tertekan dan tidak ada siapa yang
mahu menolongnya, dia pula tidak ada kuasa untuk membalas dendam. Tidak
ada lain yang dapat dilakukan olehnya kecuali memberi maaf. Kalau dia
berkuasa dan memaafkan musuh-musuh maka sesungguhnya itu suatu perkara
yang boleh anda banggakan. Kesabaran dalam keadaan tidak berdaya maka ia
bukanlah kemaafan.”
“Pooh, Isabella!” perempuan Kristian itu mendesit. “Anda panggil orang
yang berlumuran darah sebagai orang-orang yang bermoral? Dan jangan cuba
memberikan apa-apa penilaian kepada orang yang tidak pernah menumpahkan
darah barang setitik pun.”
“Itu salah pengertian anda, melihat sesuatu dari sudut yang keliru. Nah,
saya mau mengemukakan kepada anda tentang keberanian dan tentang
anggapan anda terhadap baik atau buruk peradilan.”
“Kedua-dua kualiti itu baik, siapa yang boleh membantahnya?” jawab perempuan Kristian itu.
“Bagus! Nah, cuba beritahu saya apakah keberanian dapat dilahirkan
selain daripada di dalam peperangan dan peradilan dapat diwujudkan tanpa
ada pemerintahan? Tidak mungkin! Maka kedua-dua kesempatan ini telah
menganugerahkan oleh Allah kepada nabi kami, yakni dia melakukan
peperangan terhadap orang-orang musyrikin dan juga mempunyai kekuasaan
untuk memerintah. Dalam peperangan dia telah memperlihatkan keberanian
dan dengan membentuk pemerintahan dia memperlihatkan peradilan. Bolehkah
anda memperlihatkan kedua-dua kelebihan ini pada Tuhan anda?”“Anda
fikir berperang itu satu kelebihan yang besar? Tuhan kami membawa
seruan perdamaian dan keamanan dan bukan peperangan.” jawab perempuan
Kristian itu.
“Tetapi pada nabi kami kedua-dua kualiti ini ada. Di satu pihak dia
adalah rahmat kepada dunia, baik hati dan pemaaf dan di pihak yang lain
seorang pejuang dalam peperangan di jalan Allah. Jadi, dia menjadi
contoh dan teladan yang baik dalam berbagai-bagai aspek hidup.” kata
Isabella.
“Betapa jeleknya percakapan anda, Isabella.” ujar perempuan Kristian
itu. “Bolehkah anda membuat bandingan antara seorang yang suka berperang
dengan seorang yang membawa kedamaian?”
“Kalau memerangi musuh dan menindas perbuatan jahat merupakan satu
jenayah maka bagaimana pula pendapat anda terhadap Nabi Musa yang
seluruh kehidupannya dihabiskan dengan memerangi musuh-musuhnya yang
disaksikan di dalam Kitab Perjanjian Lama? Benarkah Jesus Kristus
seorang perdamaian dan keamanan dan dia selama hidup tidak pernah
berperang? Nabi kami ialah Pesuruh Kemuliaan dan Pembawa Rahmat. Kalau
baginda di satu pihak berperang melawan musuh-musuhnya seperti Musa,
maka di piha lain serupa Kristus, baginda membawa perdamaian dan
keamanan kepada dunia. Maka baginda merupakan contoh yang paling
sempurna dari kedua-dua Nabi Musa dan Jesus.” kata Isabella.
“Nampak anda kini sudah terlalu bijak. Saya tidak akan membiarkan
sehingga anda saya kalahkan.” ujar perempuan Kristian itu. “Saya akan
bercakap kepada anda dengan sejelas-jelasnya supaya semua wanita yang
hadir di sini dapat mengikutnya dengan saksama, dua kali dua empat.
Fikirkanlah dengan sedalam-dalamnya sesudah anda membuat bandingan Quran
dengan Injil nanti barulah kebenaran menjadi nyata kepada anda.”
“Saya akan menjawab soalan anda sejelas mungkin. Nah, sila kemukakan.” kata Isabella.
“Perbahasan ini tidak akan ada ertinya kalau kerasulan nabimu tidak
dapat dibuktikan.” Perempuan Kristian itu mencabar Isabella. “Pertama
buktikan kebenaran kerasulan Muhammad kemudian barulah perbahasan ini
kita teruskan.”
“Apakah dia ujian-ujian pembuktian kerasulan itu menurut ukuran anda?” tanya Isabella.
“Kalau anda dapat membuktikan dua perkara tentang Muhammad, maka Islam
benar, kalau tidak ia adalah palsu.” kata perempuan Kristian itu.
“Kerana tiap-tiap nabi dua perkara ini adalah penting. Pertama nabi-nabi
yang terdahulu telah memberitahu lebih awal tentang kedatangannya dan
kedua dia ada melakukan mukjizat.”
“Apakah Adam itu seorang nabi menurut pendapat anda?” tanya Isabella.
“Mengapa pula tidak?” jawab perempuan Kristian itu.
“Apakah ada nabi-nabi terdahulu yang telah memberitahu tentang kedatangannya?” tanya Isabella.
“Sebelum dia, mana ada nabi, jadi bagaimana orang akan memberitahu tentang kedatangannya?”
“Jadi kriteria anda tentang benar atau palsunya seseorang nabi itu
nyatalah salah dan nakal. Kalau seseorang nabi mesti diberitahu lebih
dulu oleh nabi yang lain akan kedatangannya maka Adam terpaksa
dikeluarkan dari kenabian menurut kriteria anda itu. Tentang
kemukjizatan pula itu bukanlah suatu perkara yang penting bagi kenabian.
Di dalam Injil anda sendiri ada tertulis bahwa nabi palsu juga boleh
melakukan mukjizat melebihi Jesus sendiri.” kata Isabella.
“Anda nampaknya tidak menyetujui apa saja pendapat saya. Baiklah, bolehkah anda membuktikan kerasulan nabi anda?”
“Soalan serupa pula hendak saya kemukakan kepada anda. Atas dasar apa
seorang Kristian itu percaya kepada Nabi Musa, Daud, Sulaiman, Yaakub,
Yusuf, Yahya, Nuh, Ibrahim? Cuba biar saya dengar hujah-hujahnya dan
atas dasar yang sama pula insyaAllah kerasulan Nabi akhir zaman akan
saya buktikan dengan sejelas-jelasnya sehingga tidak ada sebab lagi bagi
anda untuk menolaknya.” ujar Isabella.
“Kami menerima semua nabi mengikut peranan yang mereka lakukan.” jawab perempuan Kristian itu ringkas.
“Peranan apa?” tanya Isabella cepat. “Cubalah perincikan supaya tidak susah kita menetapkan dasar perbahasan kita ini.”
Perempuan Kristian itu termenung sejurus sebelum menjawab, seolah-olah
berfikir. Dia menundukkan kepalanya sehingga menimbulkan kegusaran
kepada penyokong-penyokongnya yang hadir. Mereka khuatir kalau-kalau dia
tidak dapat menjawab dan perbuatannya itu akan menjadi punca kehinaan
serta kehilangan maruah kepada orang-orang Kristian seluruhnya.
Dia kemudian memanggungkan kepalanya dan memandang Isabella dengan pandangan kosong.
“Kami tidak tahu tentang nabi-nabi lain. Kami hanya menaruh perhatian
kepada Tuhan Jesus Kristus kami saja. Melaluinya kami percayakan
nabi-nabi yang lain itu.”
Mendengar itu, Isabella dengan cepat mendesak.
“Kalau begitu kemukakanlah kriteria kebenaran Tuhan anda dan dengan
kriteria yang serupa pula Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam akan
dibuktikan.”
“Bkti yang besar dari kenabian Tuhan kami ialah dia telah menghidupkan
orang yang sudah mati, memberi celik kepada orang yang buta,
menyembuhkan penyakit kusta dan menyelamat orang yang dirasuk syaitan.”
kata perempuan Kristian itu.
“Apakah bukti bahwa Tuhanmu telah melakukan semua itu? Mana dia orang
yang telah dihidupkan Jesus Kristus itu? Mana dia orang buta yang telah
dicelikkan oleh Tuhanmu itu? Sebagai tentangan daripada semuanya itu
saya mengemukakan kepada anda mukjizat nabi yang kami kasihi Muhammad
sallallah alaihi wassalam yang sampai hari ini masih kekal tidak berubah
seperti pada zamannya juga dan akan terus kekal sampai hari kiamat.
Itulah mukjizat Kitab Suci Al-Quran yang mencabar seluruh dunia.
Andaikata iaitu rekaan dari Nabi kami, maka cuba buatkan karya yang
serupa dengannya. Buatlah kira-kira sepuluh ayat atau beberapa ayat saja
atau satu ayat yang sama tetapi sampai saat ini tidak seorang pun baik
Kristian atau Yahudi atau penyembah berhala atau tukang sihir atau
Saebiin yang berani menyahut cabaran itu. Inilah mukjizat yang hidup
yang telah melumpuhkan seluruh dunia sampai ke Hari Pembalasan. Mukjizat
nabi-nabi lain kalau dibandingkan dengan mukjizat ini adalah fana, yang
bersifat semasa dan hilang lesap begitu saja seperti asap tanpa ada
bukti kecuali cerita-cerita yang didongengkan.”
“Anda telah mula bercakap tentang perkara-perkara yang tidak relevan
lagi. Bolehkah kitab Quran yang serupa itu dianggap mukjizat, yang
membenarkan berkahwin empat? Dengar ini! Tuhan kami telah mengatakan
bahwa ia adalah jalan kebenaran dan kehidupan dan tanpa dia tidak
sesiapa pun yang boleh sampai kepada Tuhan Bapa.”
“Kitab Suci Al-Quran tidak pernah menganjurkan kahwin sampai empat. Ia
memberi kelulusan untuk melakukannya dengan syarat-syarat tertentu.
Tetapi jikalau kahwin banyak itu anda anggap sebagai satu jenayah maka
bagaimana keadaannya dengan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman? Menurut Kitab
Perjanjian Lama mereka mempunyai beratus isteri. Tentang pengakuan Tuhan
anda bahwa iaitu jalan kebenaran dan kehidupan, betapa pula hal itu
boleh menjadi satu percanggahan dengan Al-Quran? Tiap-tiap nabi yang
diutus ke dunia ini membawa jalan kebenaran dan kehidupan. Tuhan anda
mengatakan dia adalah jalan kebenaran dan kehidupan tetapi Al-Quran
mengatakan tentang Nabi kami bahwa dia itu bukan saja di jalan yang
benar tetapi juga menunjukkan jalan kebenaran kepada orang-orang lain.
Dalam Kitab Suci Al-Quran Surat Asy-Syura ayat 52 ada disebutkan
kira-kira begini: Dan sesungguhnya, engkau benar-benar memberi petunjuk
kepada jalan yang lurus.
Kitab Suci Al-Quran mengatakan bahwa Nabi kami bukan saja dia itu
menjadi kehidupan tetapi juga dia datang untuk membawa rahmat kepada
dunia ini. Dalam surat Al-Anfal ayat 24 ada disebutkan yang maksudnya
ialah: wahai segala mereka yang telah beriman, sambutlah seruan Allah
dan Rasulnya apabila dia (Rasul) menyeru kamu kepada sesuatu yang
menghidupkan kamu. Dan ketahuilah olehmu bahawasanya Allah menjadi
pendinding antara seseorang manusia dengan hatinya dan bahawasanya
kepada Allah kamu dikembalikan.
Maka bukti dari ayat ini ialah Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam
telah mengislamkan orang-orang biadab, yang keji, penindas, bodoh,
pencuri, pembunuh, penzina dan penyembah berhala menjadi mereka itu
penyembah Allah yang taat dan beratus ribu sahabat berduyun-duyun
mengikut seruannya. Baginda telah memberikan kehidupan kepada
orang-orang Arab dalam masa hayat baginda. Sebagai bandingannya Tuhan
anda hanya dapat membentuk dua belas orang pengikut saja sepanjang
hayatnya dan malah kepada mereka itu juga dia tidak memberikan seluruh
kepercayaannyaa kerana seperti yang dikatakan oleh Kristus sendiri
kepada mereka, sebahagian daripadanya tidak jujur.”
“Anda bercakap terlalu banyak,” kata perempuan Kristian itu “tetapi
sebegitu jauh anda belum dapat membuktikan mukjizat yang telah dilakukan
oleh Nabi anda.”
“Nasihat saya kepada anda,” kata Isabella pula “ialah supaya anda
meninggalkan percakapan-percakapan logik anda itu tetapi cuba
menyakinkan saya dengan mukjizat anda. Khabarnya mukjizat anda telah
terkenal jauh dan dekat dan orang-orang datang meminta restu dari anda.
Anda tidak layak bercakap perkara-perkara yang logik.”
“Anda belum lagi layak untuk menyaksikan mukjizat saya.” jawab perempuan Kristian itu.
Isabella tidak berkata apa-apa lagi sesudah mendengar jawaban itu dan
semua yang hadir menjadi terperanjat yang amat sangat mendengarnya.
Perempuan-perempuan Kristian menundukkan kepala mereka dengan rasa malu
sementara orang-orang Islam mengucapkan syukur kepada Allah dengan hati
yang gembira.
Perempuan Kristian itu diam kaku, tidak tahu apa yang mahu
diucapkannya lagi. Isabella yang memerhatikan keadaannya lalu berkata
“Barangkali anda letih sekarang. Marilah kita hentikan dulu perbahasan
ini sampai besok pula. Nah, sekarang beritahu saya pukul berapa anda
dapat datang.”
“Saya tidak akan bangun,” jawab perempuan Kristian itu “selagi kita
tidak dapat memutuskan tentang kebenaran dan kebatalan. Barangkali juga
anda yang letih.”
“Bagi saya anda bebas untuk meneruskan perbincangan ini tanpa jeda
sehingga yang benar dan yang batal dapat dipastikan dan ditetapkan. Apa
yang saya maksudkan ialah keselesaan anda saja, tidak lain.” jawab
Isabella.
“Saya sebenarnya sudah bertekad mahu meneruskan perbincangan ini sampai
selesai.” kata perempuan Kristian itu mahu menunjukkan keras hatinya.
“Nah, sekarang cuba katakan apa perlu lagi Islam setelah agama Kristian
tersebar luas dan menyeluruh?”
“Jikalau Islam tidak datang,” jawab Isabella “kebenaran tidak akan dapat
lahir ke dalam dunia ini. Islamlah yang telah menghidupkan kembali
ajaran nabi-nabi yang terdahulu. Islam mengajarkan manusia tentang
ketaatan dan kesucian. Saya akan huraikan kepada anda secara kasar
beberapa sebab tentang mengapa Islam diperlukan.
1. Islam
dengan kedatangannya telah menyempurnakan agama yang terdahulu, kerana
pengajaran kitab-kitab wahyu yang diturunkan sebelumnya hanya sesuai
untuk masa itu saja dan tidak mempunyai tarikan sejagat (universal).
Kitab Suci Al-Quran telah mengisi jurang itu.2. Ajaran
yang sebenarnya dari nabi-nabi terdahulu telah diselewengkan oleh
pengikut-pengikutnya dan Al-Quran membersihkan penyelewengan tersebut.
Sebagai contoh orang-orang Kristian yang telah menganggap Jesus Kristus
sebagai Tuhan dan membina struktur yang bobrok dengan mengadakan sekutu
kepada Allah, ialah yang mula-mula sekali diruntuhkan oleh Islam. Agama
Islam membawa sinar ketauhidan Allah dan menyembahkan zat kebesaran
Allah dan kekuasaanNya yang tulen kepada dunia.3. Ahlul
Kitab telah mengadakan berbagai macam tuduhan yang memalukan kepada
nabi-nabi, mengatakan setengah daripada mereka itu pendusta, penipu dan
penzina dan dengan demikian mencap nabi-nabi itu sebagai berdosa. Islam
dengan keras menolak, membantah, menafikan tuduhan-tuduhan tersebut dan
meletakkan kembali kemuliaan dan kehormatan yang sebenar kepada
nabi-nabi itu.
4. Ahlul Kitab dengan membuat interpretasi kitab-kitab suci mereka
telah memanipulasi kitab-kitab itu sehingga pengikut-pengikutnya
percaya bahwa kitab-kitab wahyu asli telah hilang. Kitab Suci Al-Quran
mendedahkan perbuatan jahat mereka, penipuan mereka dan mengemukakan
semua ajaran yang sebenar dan tulen dari kitab-kitab terdahulu itu
sehingga kita tidak perlukan kitab-kitab lain lagi kerana Kitab Suci
Al-Quran mencakupi semua kitab yang telah diwahyukan kepada nabi-nabi
terdahulu.
5. Olehsebab nabi-nabi yang terdahulu dan kitab-kitab yang
dibawanya hanya khusus kepada masa yang tertentu dan khusus kepada umat
yang tertentu saja maka ia tidak mengandungi hukum-hukum yang meliputi
semua aspek yang diperlukan oleh manusia di dalam kehidupan dunia bagi
sepanjang zaman maka Kitab Suci Al-Quran telah mengisi kekosongan jurang
itu dan setelah menyempurnakan tatasusila agama yang dilaungkan maka
keperluan semua umat manusia disediakan dengan sebaik-baiknya bagi
kegunaan seluruh kemanusiaan sehingga Hari Kiamat.
Nah, sudah sedarkah anda kenapa Islam didatangkan ke dunia ini?”
Setelah termenung sejurus lamanya kerana terpesona dengan hujah-hujah
yang dikemukan oleh Isabella, perempuan Kristian itu lalu menjawab
“Semua itu hanyalah dakwaan-dakwaan tanpa hujah-hujah yang sahih. Anda
tidak sedikitpun menyebut tentang mukjizat nabi anda dan juga tidak ada
pembuktian kenabiannya. Kerana persoalan ajarannya itu datang sesudah
masalah ini dihuraikan.”
“Anda menanyakan kepada saya apa perlunya kedatangan Islam dan saya
secara kasar menyebut keperluan-keperluan itu,” jawab Isabella “sekarang
terserah kepada anda pula untuk membantah hujah-hujah itu. Saya telah
berikan kepada anda bukti mukjizat yang dapat dilihat oleh seluruh dunia
ini, iaitu Kitab Suci Al-Quran dan cabaran-cabarannya. Jikalau ada
orang yang mengatakan bahwa Kitab Suci Al-Quran itu bukan wahyu dari
Allah, dia haruslah bawakan ke mari satu ayat saja untuk dibandingkan
dengannya. Tetapi itulah persoalannya tidak ada sesiapa pun yang telah
melakukannya untuk menyokong cabarannya itu. Berdasarkan fakta itu maka
jelaslah tanpa ada cabaran apapun juga bahwa Nabi Muhammad sallallah
alaihi wassalam adalah Nabi dan Rasulullah. Kerana tidak ada sesiapa
lain lagi sesudahnya. Selain daripada itu bukti yang lain ialah sesudah
mencapai darjat kenabian, Nabi sallallah alaihi wassalam telah membentuk
masyarakat sesuai dengan instruksi Kitab Suci Al-Quran dan dalam masa
hayatnya seluruh jazirah Arab tunduk di bawah Islam. Nah, adakah contoh
serupa ini dapat diperoleh dari nabi-nabi palsu? Saya fikir tidak ada
contoh yang boleh dibuat untuk menunjukkan bahwa seseorang yang palsu di
dunia ini boleh melakukan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh
Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam itu.”
“Apa saja yang anda katakan, nabi anda itu tidak layak untuk diikut.
Bagaimana boleh seseorang yang telah menumpahkan darah sepanjang
hayatnya dan kahwin dengan beberapa orang perempuan menjadi seorang
reformer? Lihat pada ketaatan Tuhan kami bahwa dia tidak pernah kahwin
sepanjang hidupnya.” kata perempuan Kristian itu.
“Kerana telah diakui Tuhan anda itu sebagai Tuhan Anak maka dia tidak
perlu kahwin,” jawab Isabella “tetapi sebaliknya Nabi kami, Muhammad
sallallah alaihi wassalam ialah manusia biasa seperti manusia lain juga,
maka dia merasakan desakan tabii kepada perkahwinan. Saya khuatir, anda
tidak akan dapat menamakan nabi-nabi lain selain daripada Tuhan anda
yang meskipun manusia tetapi tidak kahwin.”
“Manusia yang sempurna ialah orang yang dapat dibezakan daripada yang lain.” kata perempuan Kristian itu.
“Kenapa kini mahu bercakap tentang manusia sempurna, puan? Anda telah mengakui bahwa Tuhan anda itu Tuhan Anak!”
“Kenapa pula tidak? Dia makan, dia minum bukan sebagai keadaannya Tuhan
tetapi sebagai manusia.” jawab perempuan Kristian itu tanpa menyedari
perangkap yang disediakan Isabella.
“Kalau begitu bagaimana akan dibezakan Tuhan anda itu? Dan bagaimana pula definisi manusia yang sempuna?”
“Manusia yang sempurna ialah seseorang yang untuk mengikutinya tidak ada
terdapat apa-apa kesukaran.” jawab perempuan Kristian itu.
“Nah, di sini saya bersetuju secara total dengan anda. Saya fikir anda
kini telah sampai kepada satu kriteria yang boleh diterima.” kata
Isabella. “Anda telah mengatakan bahwa manusia yang sempurna ialah orang
yang boleh diikuti dalam berbagai-bagai aspek kehidupan yang biasa.
Persoalannya timbul bahwa orang-orang Kristian telah menjalani kehidupan
yang biasa dan menikmati kehidupan berumahtangga. Mereka mempunyai
suami atau isteri dan anak-anak. Nah, bagaimana caranya mereka itu boleh
mengikut Kristus di dalam kehidupan rumahtangganya? Kerana Tuhan anda
tidak kahwin dan dia tidak ada berkata apa pun juga dalam perkara ini.
Persoalan yang sama timbul, orang-orang Kristian melakukan Perang Salib
ke atas orang-orang Islam dan lain-lain bangsa bukan Kristian, kriteria
mana pula yang anda ikuti dalam kehidupan Tuhan anda itu?”
“Tuhan kami tida pernah berperang dalam peperangan apa pun juga dan
tidak kahwin. Jadi persoalan ini tidak timbul.” jawab perempuan Kristian
itu agak gugup.
“Meskipun Tuhan anda tidak pernah berperang dengan sesiapa pun atau
berkahwin namun pengikut-pengikutnya iaitu orang-orang Kristian telah
melakukan Perang Salib dan menjalani kehidupan berkeluarga. Sedangkan
manusia sempurna menurut ukuran anda itu tidak menepati contoh yang
standard bagi pengikut-pengikutnya dalam kedua-dua aspek keduniaan ini
yang menjadi aspek penting dalam kehidupan manusia. Jadi, di mana
letaknya perbezaan yang anda berikan kepada manusia sempurna dalam amali
kehidupan orang-orang Kristian?” tanya Isabella.
Setelah diam sejurus lamanya, perempuan Kristian itu lalu berkata “Tuhan
kami ialah contoh kehidupan rohaniah. Apa ada hubungannya dengan
kehidupan fizikal?”
“Saya bersetuju bahwa Jesus Kristus itu diambil sebagai model kehidupan
rohaniah yang cukup tinggi. Tetapi jangan anda lupa bahwa aspek rohani
dan jasmani tidak boleh dipisahkan di dalam kehidupan manusia, tidak
saja pada penyatuan keduanya tetapi bahagian yang terbesar daripada
kedua itu dituntut oleh kehidupan jasmaniah. Kerana itu orang-orang
Kristian terpaksa mencari seseorang lain sebagai model. Ini diikuti
dengan logik bahwa Tuhan anda juga berkehendak kepada masalah yang utama
ini. Tidak syak sedikit pun bahwa kehidupan Nabi Musa ialah kehidupan
terhormat, sementara kehidupan Jesus Kristus pula kehidupan anggunan
tetapi kehidupan nabi kami yang terakhir, Nabi Muhammad sallallah alaihi
wassalam ialah kehidupan kesempurnaan. Kehidupannya dipenuhi dengan
ibadat, salih dan sufi dan sebagai manusia dia menjadi contoh manusia
dunia, seorang pedagang dan malah sebagai seorang raja juga. Nabi akhir
zaman Muhammad sallallah alaihi wassalam menggembalai kambing pada masa
kecilnya, agak dewasa sedikit dia berulang-alik ke Gua Hira dan
beribadat di sana. Dia berdagang sampai di Syria, kemudian kahwin dengan
Siti Khadijah. Baginda lalu berdakwah dari atas Bukit Faran dan di
jalan-jalan di Mekah, lalu ke Taif, hidup dalam kumpulan suku Hijaz dan
mengalami kesulitan dari musuh-musuhnya dan para penentangnya,
menyantuni orang-orang yang sedang lapar, mengasuh anak-anak yatim dan
janda-janda di dalam masyarakat. Kemudian berhijrah dari Mekah ke
Madinah, mengadakan perjanjian antarabangsa dengan orang-orang Yahudi di
Madinah, membina masjid, menyelesaikan perselisihan antara suku kaum,
memimpin solat, memberi ceramah di berbagai-bagai tempat, melatih
tentera dan mengatur siasat tentera di dalam peperangan Badar dan Uhud
dan memimpin tentera sebagai panglima tertinggi dan telah memperlihatkan
kebolehannya di dalam siasat peperangan. Baginda mengerjakan solat yang
lama pada waktu malam sehingga kakinya bengkak-bengkak. Jadi daripada
semua kenyataan ini cara, jalan dan model yang diperlukan di dalam
kehidupan dunia terdapat pada diri baginda yang mulia, Nabi Muhammad
sallallah alaihi wassalam, sebagai penggembala kambing juga sebagai
seorang pedagang yang besar sama-sama dapat dijadikan contoh, juga
sebagai pendakwah, pengembara dan penghijrah baginda boleh dijadikan
modelnya. Bagi seorang yang taat kepada Allah yang bersara dari tugas,
baginda menjadi petunjuk yang baik dan menjadi contoh bagi manusia
duniawi dalam kehidupan berumahtangga. Ajarannya memberikan satu
peraturan yang sempurna dalam kehidupan internasional juga bagi penduduk
rimba. Bimbingannya merupakan cahaya. Perencanaan siasatnya menjadi
petunjuk di medan peperangan dan baginda menjadi contoh kepada
masyarakat dalam kehidupan di masa damai. Pendekkata tidak ada contoh
lain yang dapat mengatasi kehidupan yang sempurna Nabi kami Muhammad
sallallah alaihi wassalam di dalam rumahtangga, berdakwah, perniagaan,
kepemimpinan, memberi nasihat dan mengimani solat, dalam hidup bersara,
mengatur peperangan, menyusun undang-undang, memerintah sebagai raja,
baik dalam masa gembira mahupun dalam masa berkabung, perkahwinan dan
penceraian, hidup dan mati, mengajar dan mendidik anak-anak dan apa saja
tugas yang dihadapi oleh manusia di dalam kehidupan beradab. Begitulah
di dalam kehidupan yang sempurna dan juga di dalam keperluan kehidupan
yang menggundahkan terdapat di dalam kehidupan Nabi Muhammad sallallah
alaihi wassalam dan tidak terdapat di dalam kehidupan Nabi Musa dan Nabi
Isa. Jadi dari sudut keadilan dan kejujuran maka kita harus mengakui
bahwa dalam diri Nabi akhir zaman, Muhammad sallallah alaihi wassalam
terhimpun semua tatasusila rohaniah dan jasmaniah kehidupan manusia yang
agung dan anggun. Sesiapa saja manusia di dunia ini yang ingin mencari
kebajikan dunia dan akhirat maka tidak ada jalan yang lain selain
daripada mencari perlindungan di bawah bayang-bayangan nabi Muhammad
sallallah alaihi wassalam yang luas, pengasih, pemurah dan budi pekerti
yang tinggi dan adap sopan yang mulia.”
Seluruh hadirin di dalam perhimpunan itu diam tidak bergerak,
terpesona dengan hujah-hujah yang dikeluarkan oleh Isabella secara
lancar dan teratur. Malah perempuan Kristian itu juga yang mengaku boleh
melakukan mukjizat terpukau seperti orang yang tidak sedarkan diri.
Apabila Isabella mendapati perempuan Kristian itu telah terpukul dengan
penuh kehinaan dan dalam keadaan dukacita yang amat sangat, dia pun
meminta maaf mengucapkan selamat tinggal lalu meninggalkan tempat itu.
Menurut laporan yang diberikan oleh Abu Hafiz, anak muda terpelajar
yang ikut menyaksikan perbahasan itu, kesan daripada hujah-hujah yang
disampaikan oleh Isabella, sebahagian besar dari wanita Kristian yang
mengikuti perbahasan tersebut dengan rela hati telah menerima Islam dan
beberapa tahun kemudian perempuan Kristian itu pun juga beriman dengan
keesaan Allah dan diislamkan oleh Isabella sendiri. Tetapi hal ini tidak
berlaku sekaligus, ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya bagi jiwa
yang mahu dipimpin untuk datang ke bawah bayangan Allah yang Maha
Pengasih dan Maha Penyayang.
Sepanjang hayatnya, Isabella terus menyembahkan baktinya kepada
keagungan Islam. Di satu pihak dia menutup mulut orang-orang Kristian
dan di pihak lain pula dia mencurahkan ilmu pengetahuannya ke dalam
dunia pembelajaran, Ilmu Hadis dan pentafsiran Kitab Suci Al-Quran.
Beratus ribu cendekiawan Islam telah mendapat manfaat daripada ilmunya.
Isabella telah hidup mencapai usia delapan puluh tahun dan telah menutup
mata dalam keadaan tenang dan damai, diratapi oleh seluruh penduduk
Sepanyol. Berjuta-juta orang telah mengiringi jenazahnya ke tempat
persemadian yang terakhir. Orang-orang di tempat yang jauh ada yang
melakukan solat ghaib untuk arwahnya dan memanjatkan doa ke hadirat
Allah subhanahu wa taala agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang
yang salih.
Sebagai penutup kisah ini kita juga dengan menundukkan kepala memberi
hormat dan membaca Al-Fatihah untuk saudara Islam kita yang agung ini
dan mudah-mudahan Allah subhanahu wa taala menerima amal ibadatnya dan
menempatkan rohnya bersama orang-orang yang dikasihiNya. Amin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar