Tidak
lama sesudah Isabella meninggalkan tempat itu, Umar Lahmi, Maaz dan
kawan-kawan mereka yang lain berpisah untuk pulang ke rumah
masing-masing. Sesampai di rumah, mereka mentelaah Kitab Suci Al Quran
dan Kitab Injil serta membuat catatan-catatan perkara yang penting untuk
dijadikan bahan yang akan dibahaskan di dalam pertemuan esok hari. Pada
pagi berikutnya iaitu pagi Ahad, berita tentang pertemuan itu telah
tersebar dengan luas di seluruh kota. Orang-orang Kristian dengan penuh
hati-hati membuat persiapan yang teliti terutama di dalam menghadapi
orangramai yang ingin ikut mendengar perbincangan tersebut. Hanya
beberapa orang Islam saja yang dibenarkan masuk ke dalam gereja
sedangkan yang lain-lain terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Umar
Lahmi, Maaz dan beberapa orang cendekiawan Islam dibenarkan masuk sesuai
dengan persetujuan yang telah dibuat lebih awal. Ketika mereka masuk,
didapati hampir semua paderi yang terkemuka di Cordova ada di dalamnya
dan sedang sibuk mengerjakan sembahyang.
Tidak lama kemudian upacara sembahyang itu pun selesai. Paderi-paderi
lalu mengambil tempat duduk di suatu meja panjang yang tersedia,
berhadapan dengan Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawannya. Isabella dengan
semua kawan-kawannya pun ikut serta duduk bersama-sama.
Sesudah mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana telah
menyahut pelawaan mereka, Michael, guru Isabella membuka pertermuan
dengan memperkenalkan tiap-tiap orang paderi yang ada di meja
persidangan itu. Salah seorang daripada mereka bernama Peter yang
terkenal sebagai seorang ahli pengajian Arab dan kitab-kitab Islam.
“Kami diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang
agama Kristian dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta
penjelasan daripada kami. Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan
yang kami berikan itu boleh meyakinkan maka tuan-tuan akan meninggalkan
agama Islam dan memeluk agama Kristian.” kata Michael.
“Kami sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan
ajaran-ajaran Kristian tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan
ajaran-ajaran itu tidak beralasan. Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat
memuaskan hati kami dengan penjelasan-penjelasan tentang agama tuan
yang boleh meyakinkan maka kami bersedia masuk agama Kristian.”
Mendengar kata-kata Umar Lahmi itu, Michael lalu berpaling kepada
Peter yang kelihatan lebih tua daripada yang lain. Peter yang sudah
menulis banyak buku menentang agama Islam, dianggap orang yang paling
berkebolehan untuk berdebat dengan orang Islam.
Peter dengan nada suara orang yang menguasai keadaan berkata, “Saya
diberitahu bahwa bantahan tuan-tuan yang terutama sekali ialah tentang
mengapa St Paul telah mengatakan hukum-hukum agama itu satu kutukan.
Tetapi ini adalah satu perkara remeh dan tida lebih daripada satu isu
sampingan saja. Tuan-tuan orang Muslim dan berimankan Quran dengan
sendirinya pendapat tuan-tuan mengenai Tuhan Jesus Kristus dan agama
Kristian mengikuti lunas-lunas Quran.
Umar Lahmi tersenyum kecil sebelum menjawab, “Saya sudah membuat
definisi yang jelas di dalam surat saya tentang persoalan yang akan kita
bincangkan seperti yang tuan sendiri sudah akui tetapi mengapa pula
tuan bawa kepada perkara-perkara lain? Saya sudah menulis perbincangan
ini akan berisar di sekitar hukum-hukum agama dan kutukan, jadi apa ada
bantahan tuan tentang hal itu?”
Peter masih dengan nada suara yang agak kuat berkata,”Kami akan
menjawab pertanyaan tuan tetapi lebih dulu biarlah kita bincangkan
isu-isu yang dasar yang juga dari Quran tuan-tuan. Bukankah dalam Quran
ada mengatakan tentang Tuhan Jesus Kristus kami sebagai Rohullah,
Kalimatullah. Tidakkah ada tersebut di dalamnya bahwa dia pernah
menghidupkan orang yang sudah mati? Jadi, apabila tuan percayakan Quran
bagaimana pula boleh tuan-tuan meragui Tuhan Jesus sebagai ‘Putera
Tuhan’?”
“Tuan telah memulai dengan perbincang yang agak menyimpang yang
sedikit pun tidak ada kena-mengena dengan keraguan yang kami timbulkan.”
kata Umar Lahmi. “Apa yang saya inginkan ialah untuk memahami
signifikan hukum-hukum agama dan kutukan. Andaikata tuan bersedia mahu
membincangkannya, silakan. Kalau tidak, kami akan meninggalkan tempat
ini.” Umar Lahmi memandang muka sahabat-sahabatnya dan mereka semua
menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan keputusan itu.
“Saya mengemukakan Quran kepada tuan ialah supaya isu-isu dasar itu
dibincangkan lebih dulu. Jikalau tuan mahu mengelakkan diri daripada
persoalan dasar ini dan mahu membincangkan isu-isu sampingan, itu
bererti tuan tidak dapat menjawabnya.” kata Peter dengan sikap angkuh.
Umar Lahmi segera menjawab, “Baiklah, tuan mahu membincangkan isu-isu
dasar, terlepas daripada persoalan agama tuan dan mahu berselindung di
balik AlQuran. Jikalau tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, mari kita
selesai ini dulu. Apakah Adam benar-benar ada melakukan satu dosa dan
bila kita putuskan dia benar-benar ada berbuat dosa, maka patutlah kita
bincangkan pula apakah dosa itu diperturunkan dari generasi ke generasi
sampai meliputi seluruh umat manusia. Yakni, kerana dosa Adam itu, semua
manusia dengan sendirinya ikut dibebani dosa? Jika keadaannya benar
begitu, kita akan bincangkan bagaimana noda dosa itu dapat dihapuskan?
Kemudian kita bincangkan pula tentang kesucian Nabi Isa, tentunya
menurut Kitab Injil. Sesudah itu tuan mesti buktikan kepada kami bahwa
Jesus itu Tuhan dan hanya dia saja dapat memerdekakan manusia daripada
dosa. Apabila semua ini dapat dijelaskan maka tuan mesti buktikan pula
bahwa Jesus benar disalib dan kerana semua dosa manusia dia telah
tinggal selama tiga hari di dalam neraka. Inilah yang patut dibahaskan
dan bukan apa yang tersebut di dalam AlQuran tentang Nabi Isa.”
“Semua itu tidak relevan. Tidak ada perhubungannya dengan persoalan.”
Peter menampik. “Apa yang saya maksudkan ialah untuk membuktikan dari
Quran sendiri bahwa Jesus ‘Roh Allah’ dan ‘Kalam Allah’ dan telah
menghidupkan orang yang sudah mati. Olehkerana itu, agama Kristian itu
benar.”
Umar Lahmi menjadi tidak senang dengan putar belit paderi tua itu.
Masa sudah berjalan beberapa minit, pokok perbincangan belum juga
diperolehi. Dia lalu memandang kepada Isabella yang sejak perbincangan
itu dimulai tidak pernah melepaskan matanya dari wajah itu.
Sambil menunjuk kepada Isabella, dia berkata, “Sekarang saya tunjuk nona
ini sebagai hakim dan memintanya memberitahu mengapa kami diundang
kemari? Nah! Saudari mesti katakan apa yang telah saya tulis di dalam
surat saya dan kenapa saudari membawa kami kemari?”
Isabella yang sedang tenggelam di dalam lamunannya itu agak tersentak
apabila ditunjuki Umar Lahmi serupa itu. Pipinya tiba-tiba menjadi
merah.
Dengan suara yang rendah tetapi berwibawa, dia menjawab, “Sebenarnya,
perbincangan ini ialah untuk menentukan apakah hukum-hukum agama itu
satu kutukan ataupun tidak. Tetapi keberatan yang dikemukakan oleh bapa
suci kami juga ada kebenarannya. Menurut pendapat saya, mula-mula kita
bahaskan dulu keberatan-keberatan tuan kemudian barulah bapa suci
memajukan pula soalan-soalan tentang Quran.”
Umar Lahmi mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Isabella.
“Nah, saya bersetuju dengan pendapat nona. Sekarang saya buka gelanggang
ini kepada tuan. Saya berjanji bahwa apbila tuan dapat menyelesaikan
keberatan-keberatan kami dengan penjelasan yang meyakinkan, kami dengan
tidak melewatkan waktu membenarkan tuan memajukan soalan-soalan secara
umum. Tapi apabila saya berjanji mahu menganut agama Kristian, saya
fikir tidak perlu lagi kita berbahas panjang-panjang.”
Umar Lahmi menutup kata-katanya itu dengan senyum kecil dan memandang
Isabella dengan ekor matanya. Isabella yang dapat melihat jelingan Umar
Lahmi itu merasa tersindir.
“Baiklah,” ujar Peter, “sebutlah soalan-soalan tuan dengan jelas bersama-sama dengan pendirian tuan mengenainya.”
“Tuan boleh menjawab soalan saya satu persatu, persoalan demi
persoalan. Ini akan menjadi lebih jelas.: kata Umar Lahmi. “Mula-mula,
cuba beritahu saya apakah ‘jangan mencuri, jangan membunuh, jangan
menimbulkan kesukaran kepada tentangga dan lain-lainnya’ itu merupakan
firman-firman Tuhan dan apakah ada kaitannya pula dengan hukum-hukum
agama?”
“Sudah tentu. Semua itu ada kaitan dengan undang-undang agama.” jawab Peter dengan cepat.
“Apakah pula dikri St Paul tentang hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi lagi.
“Dikri bagaimana? Saya tidak faham.” jawab Peter, mengangkat muka memandang Umar Lahmi seperti hairan.
“Tuan faham benar-benar perkara itu.” kata Umar Lahmi dengan suara agak
keras sedikit. “Cuma tuan mahu mengelak daripada menjawabnya. Katakan
saja bahwa St Paul telah menganggap hukum-hukum agama itu sebagai satu
kutukan.”
“St Paul menganggap hukum-hukum agama itu sebagai kutukan dari sudut
bahwa inti hukum agama itu adalah bahagian daripada Jesus Kristus dan
betapa bodoh apabila inti ditinggalkan sedangkan kulitnya
dikejar-kejar.”
“Begitulah pula yang saya maksudkan.” jawab Umar Lahmi. “St Paul yang
menganggap Jesus sebagai jiwa dan hukum-hukum agama sebagai tubuh telah
mengatakan hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan dan apabila tuan
juga berkata Firman Perjanjian Lama ada kaitannya dengan hukum-hukum
agama maka menahan diri dari membunuh dan berzina juga adalah satu
kutukan.”
Mendengar hujah Umar Lahmi itu, Peter, paderi tua, kelihatan resah sedikit tetapi dia menjawab dengan satu dalih.
“Perkara ini sebenarnya merupakan satu perkara ghaib dan tuan tidak
dapat memahaminya tanpa bantuan dari ‘Roh Kudus’ dan tidak semestinya
pula bahwa sesuatu problem yang tidak dapat difahami itu merupakan
perkara salah. St Paul telah menganggap hukum-hukum agama secara
lahiriahnya satu kutukan dan tidak pula tertuju kepada semua bentuk
hukum agama.”
“Benar. Memang betul St Paul mengatakan hukum-hukum agama pada
lahiriahnya satu kutukan. Sekarang cuba terangkan kepada saya. Jikalau
tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganggu keluarga dan lain-lain
lagi itu adakah hukum-hukum agama yang lahiriah atau dalaman, rohaniah
dan moral?” tanya Umar Lahmi.
“Tuan hanya menumpukan soalan kepada topik yang sama.” Peter membantah.
“Cuba dengar. Apa yang dikatakan oleh Jesus Kristus adalah lebih baik
daripada yang dikatakan oleh St Paul. Tuhan kami menyuruh kami mengikut
Firman-Firman Perjanjian Lama.* “ ( *sila lihat Injil, Matius Bab 5:19 sampai Bab 10:25 )“Iaitu
memperoleh keselamatan maka perlu mengikuti Perjanjian Lama juga.” kata
Umar Lahmi. “Kalau sudah memang demikian keadaannya, mengapa pula tuan
menimbulkan perkara penebusan dosa dengan menyalibkan ‘Putera Tuhan’?
Iaitu, mengapa Penebusan Dosa Momok ini apabila Perjanjian Lama perlu
diikuti? Apakah perlu mengikuti Firman-Firman Perjanjian Lama malah
sesudah Kristus menebus dosa?”
“Kami tidak tahu apa-apa.” jawab Peter dengan suara perlahan. “Kecuali
Tuhan kami telah mengarahkan kami mengikut Perjanjian Lama. Tetapi
keselamatan tidak dapat diperoleh hanya semata-mata mengikuti Perjanjian
Lama tanpa ada penebusan dosa.”
“Jadi, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Nuh dan
lain-lain nabi itu kehilanganlah keselamatan mereka kerana jalan
keselamatan mereka satu-satunya hanya dengan mengikuti hukum-hukum
agama?” tanya Umar Lahmi. “Begitu juga dengan para pengikutnya,
keselamatan mereka dicabut.” sambungnya lagi.
“Sebelum kedatangan Kristus, jalan keselamatan satu-satunya ialah dengan
mengikuti hukum-hukum agama tetapi penebusan dosa oleh Jesus Kristus
telah mengubahnya dan sekarang jalan yang ada hanyalah penebusan dosa.”
jawab Peter.Umar
Lahmi tersenyum mendengar jawaban Peter yang berbelit-belit itu. Dia
memandang muka Isabella dan muka itu walaupun kelihatan tenang tetapi
sedang tenggelam dalam satu fikiran yang membingungkan. Umar Lahmi
memandang muka Peter, ditenung matanya.
“Mula-mula tuan menolak apa yang sudah dikatakan oleh St Paul iaitu
hukum-hukum agama bukan satu kutukan kemudian tuan menolak hukum-hukum
agama sebagai dasar keselamatan. Dapatkah tuan mengemukakan kata-kata
‘wali’ yang lain untuk membuktikan bahwa ucapan St Paul ‘hukum-hukum
agama itu satu kutukan’ tidak benar?”
Tiba-tiba paderi kurus yang bermuka cengkung dari sudut sebelah kiri menyampuk dengan suara yang lantang.
“Tuan-tuan! Percakapan tentang hal ini adalah perbuatan murtad dan
kufur. Semua yang dibincangkan berkaitan dengan perkara-perkara ghaib.
St Paul memang mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan dan kata-kata
itu benar tetapi tuan-tuan tidak dapat memahami perkara-perkara ghaib
serupa ini. Jalan keselamatan kami ialah ketuhanan Kristus dan penebusan
dosa kerana Jesus bebas daripada dosa dan ia penjelmaan Tuhan, yang
kerana kesayangan dan perbuatan baiknya menderita di atas salib sebagai
ganti kita semua dan memberi kita keselamatan.”
“Jangan itku rasa hati dalam perselisihan persahabatan.” ujar paderi
yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin. Dia duduk di sebelah
kanan Peter. “Tuan sudah mulai menyangkal St Paul.”
“Inilah hasil perbincangan yang tidak benar dan tidak beralasan. Tuan
kini telah mula membicarakan soal ketuhanan dan penebusan dosa.” kata
Umar Lahmi. “Eloklah kita selesaikan lebih dulu perbahasan mengenai
hukum-hukum agama dan kutukan.”
“Kami telah memberikan jawaban yang meyakinkan kepada tuan. Jadi,
sekarang kami berikan masa selama delapan hari untuk tuan beristirehat.
Andaikata keraguan tuan-tuan masih belum dapat dipecahkan pada masa itu,
tuan-tuan boleh datang lagi kemari.” kata Peter.
Umar Lahmi tidak menghiraukan kata-kata paderi tua itu.
Sebaliknya, dia bertanya, “Tuan tidak menganggap hukum-hukum agama
sebagai satu kutukan dan kolega tuan pula mengatakan ia itu satu kutukan
dan St Paul berada di pihat yang benar. Jadi, mana satu di antara
tuan-tuan ini yang benar?”
“Orang yang mengatakan hal ini tidak ada kaitannya dengan misteri agama
Kristian. Jangan tuan pedulikan kata-kata mereka itu.” jawab Peter.
Umar memandang kepada Isabella.
“Nah, cuba terangkan kepada saya yang mana benar di antara mereka ini
dan apakah St Paul itu silap kerana mengatakan hukum-hukum agama satu
kutukan?”
Sekali lagi, Isabella tersentak apabila Umar Lahmi memajukan pertanyaan kepadanya.
“Saya datang kemari untuk mendengar perbahasan dan bukan untuk ikut
campur. Tapi saya akan meminta kepada guru saya, Bapa Michael, untuk
menyelesaikan masalah ini kerana beliau seorang ilmuwan yang agung dan
cendekiawan pula, kerana sebagai sebahagian daripada tamu-tamu terhormat
yang lain saya sendiri pun belum begitu faham tentang hal ini.”
Kata-kata Isabella itu bagai petir di tengah hari. Semua orang yang
hadir di dalam gereja amat terperanjat mendengarnya, lebih-lebih lagi
para paderi yang duduk di meja persidangan. Mereka memandang muka
Isabella dengan pandangan tajam yang berisi kehairanan. Di tempat para
penonton telah timbul keributan kecil.
Melihat keadaan yang mula kacau, Michael bangun dan berkata,
“Saudara-saudara, kita semua berhimpun di sini untuk mencari kebenaran
dan sesungguhnya ini adalah satu tugas yang berfaedah. Tetapi untuk
tujuan ini, maka perlulah kita mempunyai hati yang tulus ikhlas dan satu
keinginan untuk menerima kebenaran. Masalah keimanan yang sedemikian
itu tidak akan dapat dicapai oleh seseorang dengan usahanya sendiri
tanpa pertolongan Tuhan. Oleh sebab itu, kita harus berdoa kepada Tuhan
dengan setulus hati agar Dia menunjukkan kebenarn kepada kita melalui
bantuan Roh Kudus dan menampakkan kepada kita segala misteri agama
Kristian.”
Michael terpaksa berhenti sejenak kerana dari para hadirin Kristian
terdengar ucapan Amen sedarun. Kemudian dia menyambung semua.
“Saudara-saudara. Apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan atau tidak
adalah satu soalan titik-bengik, tidak penting. Persoalan yang
sebenarnya ialah saudara-saudara Muslim kita ini tidak mengetahui
tentang kepercayaan Kristian dan dasar-dasar pokoknya, sebab itulah
mereka gemar berpolemik. Intisari agama kita hanya terletak pada dua
kalimat, iaitu ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Seseorang yang
memahami erti kedua kalimat ini maka fahamlah dia semua rahsia agama
Kristian. Betapa sayangnya Tuhan kepada kita sehingga Dia mengirim
putera tunggalnya bagi keselamatan kita untuk memikul semua derita
manusia di dunia ini dan akhir sekali Dia telah dibunuh di atas salib
sebagai penebus semua dosa kita. Oleh sebab itu saya ingin memohon
kepada sahabat saya, Umar Lahmi, dan kawan-kawannya supaya membatalkan
saja perbahasan yang sia-sia mengenai hukum-hukum agama dan kutukan dan
memikirkan tentang keperibadian suci Tuhan Jesus kita dan penebusan
dosanya yang tidak ada tolok bandingan. Marilah masuk agama Kristian.”
Umar Lahmi merasa gusar dengan ucapan Michael yang sama sekali tidak
diduganya itu lalu dengan segera dia menjawab, “Kami datang kemari
bukanlah kerana mahu bercakap perkara-perkara yang kosong. Kami semua
ada prinsip dan kami mahu membahaskan masalah-masalah dasar. Kami telah
pun menjelaskan pokok perbincangan kita di dalam surat kami dan saudari
Isabella ini yang menjadi saksinya. Jadi, kalau tuan mahu membatalkan
pokok persoalan awal kita itu dan mahu membincangkan entang ketuhanan
Kristus dan penebusan dosanya, saya juga bersedia asal saja tuan
tuliskan bahwa kita batalkan masalah hukum-hukum agama itu dan kita
patut bincangkan tentang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya pula.”
“Kami tidak bermaksud bahwa tuan tidak boleh bincangkan masalah-masalah
itu,” kata Peter berdalih, “cuma kita patut tinggalkan isu-isu sampingan
dan bincangkan masalah-masalah dasar.”
Umar Lahmi mulai jengkel. “Jadi, kenapa tuan-tuan undang kami kemari?
Gereja dan masjid tidak perlu diperbahaskan. Kalau tuan-tuan tidak mahu
berbincang, katakanlah dengan berterus terang supaya masa kami terbuang
tidak sia-sia begini.”
“Tuan sudah salah faham tentang kata-kata Peter Suci. Dia tidak
bermaksud kita tutup terus perbincangan ini. Dia cuma mahu menekankan
bahwa pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah dasar yang dapat tuan
fikirkan, tuan kemukakan kepadanya. Tapi sekarang sudah tengah hari dan
tuan-tuan mungkin akan pergi makan. Bila waktu yang sebaik-baiknya
tuan-tuan dapat kemari lagi?” Michael cuba membujuk.
“Sekaranglah waktu yang sebaik-baiknya.” ujar Umar Lahmi. “Tidak
sesiapa yang boleh menentukan apakah kita akan mendapat kesempatan yang
berfaedah seperi ini lagi.”
“Tapi tuan-tuan akan menunaikan solat?” kata Michael lagi.
“Kami boleh bersolat di gereja ini.” jawab Umar Lahmi.
Peter lalu mencelah. “Saya fikir lebih baik kita berbincang lagi hari Ahad depan.”
“Saya berpendapat perbincangan ini tidak boleh ditangguhkan terlalu
lama. Mungkin kita mendapat petunjuk dari Allah.” kata Umar Lahmi.
“Baiklah. Kita sambung perbincangan ini esok pada masa yang sama sampai tengah hari.”
“Jika perbincangan ini mahu ditangguhkan sampai esok,” Isabella
tiba-tiba ikut campur, “tidak usah diberhentikan sampai tengah hari
tetapi dilanjutkan sehingga petang. Barangkali kita boleh sampai kepada
sesuatu keputusan.”
Michael segera menjawab, “Sama sekali tidak. Tidakkah kita ada membuat kerja-kerja lain juga?”
“Saya fikir tidak ada kerja lain yang lebih penting daripada perbincangan ini.” jawab Isabella, tidak mahu kalah.
Orangramai mulai bising. Akhirnya, diadakan satu perbincangan kecil
di antara para paderi dan Umar Lahmi serta sahabat-sahabatnya. Mereka
membuat keputusan akan menghentikan perbincangan hari itu sampai di situ
saja dan akan disambung semula esok dari pagi sampai ke tengah hari.
Pertemuan yang pertama itu pun berakhir. Setelah mengucapkan terima
kasih kepada semua orang-orang Kristian, Umar Lahmi dan
sahabat-sahabatnya meninggalkan gereja besar.
Isabella dan para paderi lain masih tinggal sehingga semua hadirin
keluar meninggalkan tempat itu, pulang ke rumah masing-masing.
Setelah orang-orang lain habis keluar, paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung bangun lalu berjalan mendekati Isabella.
“Amat mendukacitakan yang kamu telah memberi kesempatan kepada
orang-orang kafir itu untuk mengemukakan keraguan mereka dan mengejek
agama Kristian.”
Belum sempat Isabella menjawab, paderi itu berjalan ke tempat Michael.
“Satu-satunya cara mahu melayani orang-orang murtad itu ialah meletakkan
Quran di hadapan mereka. Peter Suci telah berbuat serupa itu pada
mulanya tetapi malang, mereka menggelecek keluar dan membahaskan tentang
hukum-hukum agama. Kalau esok terjadi lagi yang serupa, alamat kita
akan dikecewakan dengan teruk kerana mereka tanyakan ialah tentang
rahsia ketuhanan yang tidak siapa pun tahu kecuali wali-wali saja.”
“Sebetulnya perbincangan itu sejak awal lagi telah menyimpang ke saluran
salah kalau tidak mereka telah tunduk oleh Quran mereka sendiri.” kata
Michael menyampuk paderi kurus itu. “Bukankah Quran ada mengatakan yang
Tuhan Jesus kita itu ‘pembawa hidup’ dan menghidupkan semula yang sudah
mati? Bukankah Quran menyebutnya ‘Roh Allah’ dan ‘Kalimat Allah’?
Peter kemudian berkata, “Pokok perbincangan esok hari sudah ditetapkan.
Iaitu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Aku dengan licik
telah memesongkan mereka ke pokok persoalan lain tetapi kau, Michael,
telah membawa mereka kembali ke persoalan itu.”
“Tuan jangan salahkan saya. Itu semua perbuatan tuan sendiri.” jawab Michael menangkis tuduhan paderi tua itu.
“Buat apa lagi kita memuaskan nafsu dengan perbahalan sesama sendiri.”
kata seorang paderi lain. “Kita tunggu esok dalam perbahasan tentang
ketuhanan Jesus. Agama Kristian kita bukan seperti bubur lembutnya boleh
ditelan dengan sekali teguk saja.”
Dia bangun dan meminta diri. Semua paderi pun ikut meminta diri dan
meninggalkan gereja. Mereka pulang ke tempat masing-masing dengan
membawa berbagai-bagai mcam fikiran.
Isabella dan ketiga orang sahabatnya berjalan di belakan
paderi-paderi itu. Dalam masa berjalan itu, dia berkata kepada
sahabat-sahabatnya.
“Cuba kalian lihat. Di belakang orang-orang Muslim, mereka bercakap
besar bahwa orang-orang Muslim tidak akan dapat berhadapan dengan
mereka. Tetapi bila duduk berhadapan, tembelang mereka terdedah
semuanya. Aku sangat menyesal bapaku terpaksa meninggalkan gereja sebaik
saja selesai dia memimpin sembahyang kerana dia terlalu percaya dengan
kebolehan dan ilmu Bapa Michael dan Bapa Peter. Kalau tidak, dia tentu
boleh tutup mulut orang-orang Muslim itu.”
“Sebenarnya, masalah itu terlalu berat, apakah bapamu sanggup menghadapinya?” Salah seorang sahabatnya menyahut.
Seorang lagi mencelah, “Sebenarnya, kepercayaan dan dogma kita terlalu
kabur. Kalau tidak masakan paderi-paderi kita itu terpukul begitu
teruk?”
“Minta dijauhkan Tuhan! Baru saja sekali berbahas kamu berdua sudah mula
berputus asa. Kepercayaan kita cukup teguh asasnya tetapi mesti ada
seseorang yang boleh menjelaskannya. Lihat saja esok nanti. Bila
ketuhanan Kristus dibahaskan betapa teruk mereka akan dihentam.”
Mereka lalu berpisah di persimpangan jalan. Masing-masing pulang ke rumahnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar