Tidak
lama kemudian, Isabella pun dibawa masuk ke dalam bilik di mana
sahabat-sahabatnya sedang menunggu. Keadaan tubuhnya amat lemah. Mirano
dan sahabat-sahabatnya terlalu hiba melihatnya. Kalau tidak khuatirkan
tembelang mereka akan terbuka, pada waktu itu juga mereka mahu
memeluknya dan menangis dengan sekuat-kuat hati. Mereka hanya menahan
sebak di dada walaupun melahirkan raut wajah yg biasa seperti orang yang
hanya datang sekadar mahu memujuk agar Isabella kembali kepada jalan
yang benar. “Puteri Arkia akan datang sebentar lagi sesudah dia selesai mengerjakan ibadatnya.” kata rahib yang membawa Isabella.
Dia kemudian meninggalkan bilik itu. Pada kesempatan itu, Mirano,
Hanana, Martha dan Catherine segera membincangkan dengan Isabella
tentang rancangan rahsia yang akan mereka lakukan bagi membebaskannya.
Mereka meminta Isabella bekerjasama dengan berpura-pura kembali kepada
agama Kristian agar rancangan itu berjaya. Isabella menempelak
sahabat-sahabatnya. Dia dengan tegas menolak cadangan mereka.
“Apa saja penderitaan demi agama Islam maka insyaAllah, ia akan
menjadi sebagai penebusan dosa dan memperkuat lagi keimananku. Andaikata
Allah mahu membebaskan aku daripada cengkaman tawanan ini, maka pasti
Dia akan menunjukkan jalannya kepadaku.” kata Isabella dengan penuh
taqwa.
Setelah terjadi berbagai macam pertukaran pendapat, mereka akhirnya
mencapai kata sepakat akan melakukan cara yang paling baik tanpa
menyinggung keimanan Isabella yang sudah kukuh. Mereka lalu berdoa
bersama-sama. Isabella membaca doa yang diajarkan oleh Umar Lahmi dari
AlQuran, surat Al-Isra’ ayat 80: Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin.*
*Wahai Tuhanku, masukkanlah daku secara yang baik lagi diredhai dan keluarkanlah daku secara yang baik dan diredhai.
Mirano mula membaca salawat kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat
mereka yang lain mengucapkan doa yang sesuai dengan keadaan pada waktu
itu. Sebaik saja mereka selesai berdoa, pintu bilik terbuka dan
melangkah masuk Arkia, Puteri Perancis. Mereka terpegun sejurus melihat
perawakan wanita itu. Orangnya tinggi lampai dan walaupun dalam
berpakaian rahib begitu pun masih dapat dilihat garis-garis
kecantikannya yang asal. Hidungnya mancung seperti paruh elang dan pada
raut muka tergambar keangkuhan bangsawan. Bibirnya yang tipis dan rapat
membayangkan kekerasan hati.
Mereka yang ada di dalam bilik bangun dan memberi hormat kepadanya.
“Saya sangat dukacita bahwa Isabella telah melepaskan dirinya daripada
pelukan Tuhan kita dan telah menyekutukan dirinya dengan orang-orang
yang murtad. Saya hairan kenapa syaitan boleh menguasainya. Baru tadi
malam, saya melihat dalam mimpi saya seorang ulama Islam dibakar di
dalam neraka dan gadis malang ini juga mahu mengikutinya? Kalau dia
kembali memikul salib Tuhan dan tinggal dengan saya beberapa hari, saya
akan memberi dia melihat Tuhan.” kata Arkia.
“Memang benar,” ujar Mirano “sangat memalukan apabila seorang anak
pemimpin kerohanian menjadi murtad. Itulah sebabnya pada hari ini kami
membawanya kepada anda. Anda boleh mempengaruhinya dengan kekuatan ilmu
batin anda dan membawa dia kembali ke kaki Tuhan. Dia tidak dapat kita
kalahkan dengan hujah-hujah tetapi kita dapat membawanya kembali ke
agama asal dengan pengaruh kerohanian.”
“Baiklah,” jawab Arkia “hari ini kita membawa balik Isabella kepada
Mariam Perawan melalui sembahyang dan ibadat. Saya yakin menjelang pagi
nanti, dia akan pulih. Saya dapat melihat Tuhan sedang menunggu Isabella
dengan tangan terbuka dan Isabella pun sudah bersedia untuk masuk ke
dalam pelukannya. Anda semua tidak usah khuatir. Tunggu saja sampai
pagi.”
Ketika itu, Isabella mahu menjawab kata-kata Arkia tetapi Martha
dengan segera memberi isyarat supaya dia mendiamkan diri. Arkia
menceritakan tentang beberapa mukjizat yang pernah dilakukannya. Sedang
dia bercakap-cakap, pintu bilik dibuka orang. Di muka pintu, berdiri
ketua rahib.
“Apakah anda masih memerlukan beberapa orang rahib perempuan lagi?” tanya ketua rahib. “Kalau mahu, saya akan arahkan.”
“Terima kasih banyak.” jawab Mirano. “Buat masa ini saya fikir belum
perlu lagi. Tetapi saya berterima kasih kalau tuan dapat datang
menjenguk kami sekali atau beberapa kali sepanjang malan ini dan memberi
nasihat apa-apa yang perlu.”
“Baiklah.” kata ketua rahib. “Saya akan datang setiap dua jam sekali.”
Dia lalu menutup pintu bilik dan meninggalkan mereka.
Ada kira-kira setengah jam lagi akan menjelang tengahmalam. Anak-anak
gadis itu pun duduk untuk melakukan sembahyang bersama Arkia di depan
patung Mariam Perawan. Mereka duduk dalam jarak beberapa meter antara
satu dengan yang lain. Mirano duduk berhampiran dengan Isabella supaya
dia dapat menyampaikan sesuatu yang penting dengan mudah tanpa diketahui
orang lain.
Setelah satu jam bersembahyang, Mirano lalu membisikkan kepada Isabella
“Dengar baik-baik. Anda jangan sekali-kali mencelah apa saja yang aku
cakapkan. Anda dengar saja dan terima seadanya.”
Arkia dengan semangat kesalihan yang tinggi telah melakukan beberapa
perkara yang aneh-aneh. Kadang-kala dia menghulurkan tangannya
seolah-olah mahu mencapai sesuatu ke dalam pelukannya. Kadang-kala dia
menangis dan ada masa dia meraung seperti orang kesakitan. Dia
mengulang-ulangi perbuatannya berkali-kali dan berkata “Ya, ya. Tuhan
akan memberi hidayah kepadamu. Roh Kudus akan menolong kita.”
Kira-kira jam satu malam, Mirano telah menjerit dengan sekuat hati
dan kemudian pengsan. Isabella duduk tanpa bergerak di sampingnya.
Arkia, Martha, Hanana dan Catherine menerpa ke Mirano. Mereka mahu
menyedarkannya dengan memercikkan air ke muka. Arkia melarang sambil
berkata bahwa Mirano telah melihat Tuhan dan sembahyang mereka pada
malam itu mencapai kejayaan besar.
“Jangan susah. Ini satu tuah kita bahwa Tuhan telah datang ke biara ini.”
Arkia mendekati Isabella. “Nah, Isabella! Masih enggankah kau mengangkat salib Tuhan kita?”
Isabella diam. Dia tidak menjawab dan hanya mendengar saja. Arkia
semakin yakin bahwa Tuhan benar-benar telah turun di biara itu dan
memandang Isabella dengan mata rahmatnya. Mirano masih terus dengan
pengsannya waktu ketua rahib tiba.
Ketua rahib amat terperanjat melihat keadaan Mirano lalu berteriak “Apa sudah terjadi?”
Arkia terus menceritakan dengan penuh keyakinan bahwa Tuhan telah
turun ke dalam diri Isabella, yang segera pula dibenarkan oleh ketua
rahib itu yang memang sudah sangat percaya kepada kesalihan Arkia.
Akhirnya, setelah dilakukan berbagai-bagai usaha, Mirano pun mulai
sedar.
Ketua rahib segera bertanya “Mirano, bagaimana keadaanmu? Cuba beritahu kami sedikit khabar baik.”
Mirano menunjukkan jarinya ke arah Arkia.
“Ini semua adalah manifestasi kesalihan dan keberkatan dari perhatiannya
yang warak menyebabkan saya melihat Tuhan.” kata Mirano
bersungguh-sungguh.
“Maha Suci Tuhan,” ujar Arkia “rahmat atas nama Kristus yang disalib.”
“Bagus, bagus. Apa yang telah anda lihat?” tanya ketua rahib lagi seakan tidak sabar.
“Saya sedang khusyuk bersembahyang apabila saya melihat suatu lembaga
lelaki yang segak dan anggun menerpa saya. Kemudian, dia melihat dengan
mata imannya pada Isabella sambil tersenyum.” Mirano bercerita.
“Tahniah! Tahniah!” kata ketua rahib itu.
“Saya sedang memerhatikan lembaga itu dengan penuh perhatian bila dia
tiba-tiba berpaling kepada saya. Saya melihat ada suatu tanda di dahinya
yang tertulis ‘Roh Kudus’ dengan huruf yang bercahaya-cahaya.”
Isabella menahan ketawanya hingga membuat dia terbatuk-batuk.
“Oh Tuhan! Maha Suci namamu.” kata Arkia.
“Kemudian dia mengeluarkan sebiji botol kecil dan menuang beberapa titik isinya ke atas kepala Isabella.” sambung Mirano.
“Sudah tentu itu titisan air keimanan, Isabella,” kata ketua rahib “nasibmu sudah kembali bersinar.”
“Kemudian Roh Kudus memberitahu saya dua perkara …” Mirano tidak
meneruskan ucapannya. Dia seperti tenggelam dalam fikiran secara
tiba-tiba.
“Apa dia, Mirano?” Ketua rahib tidak sabar sambil memanjangkan lehernya mendekati Mirano. “Apa dia dua perkara itu?”
“Katanya,” ujar Mirano “ada sebuah gereja suci di daerah selatan Cordova
yang sekarang sudah ditinggalkan orang. Di sana tulang-tulang Wali Suci
yang disimpan untuk penziarah-penziarah yang mencari berkat. Saya mahu
ke sana dan cuba lihat, Tuhan sedang menunggu kita dengan tangan terbuka
untuk diberi hidayat.”
Arkia terus berseru “Tuhan yang disalib! Namamu penuh pujian. Demi
Mariam Suci! Betapa beruntungnya wahyu ini. Dan saya telah melihat Tuhan
sebaik saja saya sampai ke mari. Dapatkah tuan lihat betapa wahyu
Mirano telah membenarkan perkataan saya?”
“Apa dia yang lagi satu, yang dikatakan Roh Kudus?” tanya ketua rahib lagi memotong kata-kata Arkia.
“Perkara yang lagi satu?” Mirano berpura-pura kehairanan.
“Ya!”
Mirano menggeleng-gelengkan kepala dengan lembut.
“Perkara yang lagi satu saya tidak boleh beritahu di sini. Begitu saya diperintah.”
“Apakah Roh Kudus tidak benarkan anda memberitahu perkara itu di sini?” Ketua rahib seperti kecewa.
“Ya! Dia tidak membenarkan saya memberitahunya di depan orangramai.”
“Sekurang-kurangnya anda memberitahu saya kalau hal itu ada kena mengena
dengan orang atau tentang suatu usaha.” kata ketua rahib tanpa berputus
asa.
Setelah diam sejurus. Mirano lalu berkata “Hanya sekadar ini saja
saya boleh memberitahu tuan. Saya tidak begitu banyak mengetahui tentang
tuan. Bapa Suci, bagaimana saya akan mengetahui kedudukan tuan begitu
tinggi di hadapan Tuhan?”
Oleh sebab para rahib dan orang-orang Kristian Roman Katolik sangat
percaya pada ketahyulan dan amat mudah mempercayainya maka rahib itu pun
begitu juga. Dia melompat-lompat kegembiraan dan mengulang-ulangi
ucapan Mirano.
“Bagaimana saya akan mengetahui kedudukan tuan begitu tinggi di hadapan Tuhan.”
Arkia, Puteri Perancis, bersujud di kaki ketua rahib dan menggosok-gosok
dahinya di atas kaki itu. Ketua rahib membiarkan sambil berdiri tegak
kerana terlalu gembira.
Dia hanya berkata kepada Arkia “Anakku, sabarlah! Engkau juga akan ikut bersama-samaku di dalam syurga.”
Hampir dua jam lamanya suasana riang gembira itu berlangsung. Akhirnya, Arkia berkata kepada ketua rahib itu.
“Apa yang harus kita buat sekarang?”
“Untuk menemui Tuhan, kita harus pergi ke tempat yang diberitahu Mirano.” kata ketua rahib.
Kemudian dia berpaling kepada Isabella. “Lihat, wahai gadis yang baik!
Kerana engkaulah maka Roh Kudus telah turun ke atas kami hari ini. Sudah
tentu pertemuanmu dengan Tuhan nanti akan menjadikan engkau seorang
wali. Raja-raja akan datang meminta berkat dari kakimu.”
“Apakah kita perlu pergi ke gereja buruk seperti yang diarahkan oleh Roh Kudus itu?” tanya Mirano.
“Sudah tentu!” kata ketua rahib. “Apakah anda masih ragu-ragu apabila
Roh Kudus sudah arahkan kita ke sana? Kita mesti sampai di situ sebelum
menjelang pagi.”
“Baiklah.” Kurungkan Isabella di dalam ruang bawah tanah itu dan bersiaplah untuk bertolak.” kata Mirano.
“Kenapa?” tanya ketua rahib kehairanan. “Anda mahu tinggalkan orang yang
kerananya Roh Kudus turun ke mari dan memberi penghormatan kepada kita
untuk bertemu dengan Tuhan? Dengar! Isabella telah menerima hidayat
istimewa dari Tuhan. Seperti juga dengan Paulus Suci meskipun menjadi
musuh ketat Tuhan telah menerima berkat yang istimewa. Jadi, bangun
semua. Bawa Isabella bersama-sama anda. Mari kita pergi ke gereja itu.”
“Bagaimana kalau Isabella melarikan diri dalam perjalanan kita nanti?” tanya Hanana.
Ketua rahib tertawa besar. “Hairan! Adakah Tuhan panggil kita ke
hadapannya kerana sesuatu yang tidak berfaedah. Seolah-olah dia tidak
tahu orang yang dipanggilnya akan melarikan diri.”
“Saya fikir kita tidak boleh berlengah-lengah lagi.” kata Arkia. “Kerana
Roh Kudus telah mengarahkan kita sampai ke sana segera.” Arkia
memandang ke angkasa.
“Saya sudah mulai nampak Roh Kudus. Oh Tuhan! Puji-pujian untuk namamu!”
“Puji-pujian untuk namamu, Tuhan!” Semua ikut mengucapkan serentak.
“Baiklah,” ujar ketua rahib “saya akan mengarahkan mereka membawa keluar
keldai-keldai dan kalian berkemaslah. Keldai-keldai larinya cepat,
sekejap saja kita boleh sampai ke sana.”
Ketua rahib keluar dan memanggil pekerja-pekerja biara lalu menyuruh
mereka mengeluarkan keldai-keldai. Waktu berangkat dirahsiakan dari
pengetahuan rahib-rahib lain. Ketua rahib sangat gembira kerana Isabella
akan melihat Tuhan di gereja buruk dan akan memikul Salib Suci Kristus.
Bapanya, ketua paderi, tentu akan terperanjat besar melihat mukjizat
itu.
Mereka sekarang sudah siap untuk bertolak. Isabella, Hanana,
Catherine, Mirano, Martha, Arkia dan ketua rahib menunggang keldai
seorang seekor. Atas arahan Mirano, Isabella diletakkan di tengah-tengah
sebagai satu tindakan keselamatan. Dalam masa empat puluh lima minit,
mereka sampai ke Gereja Saint Peter. Di dalam gereja itu, terdapat
tulang-tulang para martir yang terkenal di dalam agama Kristian dan
perempuan-perempuan Kristian dari tempat-tempat yang jauh datang ke
gereja ini berziarah untuk mendapat berkat.
Masa masih ada lagi sebelum menjelang fajar dan keadaan gereja yang
mengerikan itu menimbulkan semacam perasaan takut di dalam hati. Sebaik
saja mereka masuk ke dalam gereja, Arkia dan ketua rahib terus bertelut
di hadapan satu rangka manusia yang besar. Kedua-duanya mula menangis
dengan kuat kerana mengharapkan dapat melihat Tuhan sebelum pagi dan Roh
Kudus akan memeluk mereka. Ketika ini, Isabella dan sahabat-sahabatnya
membincang satu rancangan sulit yang sudah mereka atur sebelum bertolak
ke tempat itu. Tiba-tiba dengan suatu gerakan yang cepat, kelima-lima
orang kawan itu menyerang ketua rahib yang sedang meniarap dan menangis.
Dua orang memegang kuat tangannya sementara dua orang lagi menangkap
kaki. Seorang mengeluarkan tali dan kain buruk yang disembunyikan di
dalam kocek baju. Mereka menyumbat kain buruk itu ke mulut ketua rahib
dan mengikat tangan serta kakinya. Ketua rahib malang itu amat terkejut
dan tidak sempat menjerit meminta tolong.
Arkia meniarap di hadapan satu rangka manusia yang lain yang
mengharap dapat melihat Tuhan telah dibisikkan di telinganya oleh
Isabella.
“Marilah saudaraku yang salih! Saya mahu menunjukkan Tuhan kepada anda.”
Dengan penuh bersemangat, Arkia bangun segera dan apabila dia
menghampiri ketua rahib yang terikat tangan dan kaki dan dalam keadaan
tidak terdaya, dia lalu memekik “Apa ini?”
“Inilah Tuhan yang anda datang untuk melihatnya di sini.” jawab Isabella.
Anak-anak gadis itu lalu memberi amaran kepada Arkia tentang hari depannya. Mereka mendakwah agama Islam kepadanya.
“Kalau anda mahu melihat sinar kebenaran dan menjadi manusia yang sempurna, mengucaplah La ilaha illallah, Muhammad-ur Rasulullah. Kalau tidak anda tidak akan dapat melihat Tuhan khayalan anda itu sampai ke hari kiamat.”
Setelah berpesan, kelima-lima gadis itu pun menunggang keldai seorang
seekor serta membawa bersama dua ekor keldai lagi lalu meninggalkan
gereja tua segera. Arkia diam tegak seperti patung kerana terkejut.
Akhirnya, dalam cahaya lilin yang suram, dia melihat ketua rahib
terkial-kial mahu melepaskan diri sambil memberi isyarat memerlukan
bantuan untuk melepaskan dirinya. Arkia baru tersedar akan keadaan yang
telah berlaku. Dia segera menarik keluar kain yang tersumbat di dalam
mulut ketua rahib. Kemudia dibuka ikatan tangan dan kakinya. Setelah
itu, ketua rahib memekik sekuat hatinya. Mendengar pekikan yang kuat di
pagi hari di dalam gereja yang sedang riuh dengan tangisan para ziarah
itu, barulah orang-orang yang ada di situ sedar apa yang telah berlaku.
Isabella dan sahabat-sahabatnya sudah tidak kelihatan lagi. Mereka telah
jauh meninggalkan gereja tersebut.
Tidak lama kemudian, kelima-lima gadis itu tiba di rumah Umar
Lahmi. Umar Lahmi dan orang-orang Islam yang lain baru saja selesai
menunaikan solat Subuh ketika itu. Mereka mendengar peristiwa yang baru
dialami kelima anak gadis itu. Berita itu disampaikan kepada Ziad bin
Umar dengan segera. Semua orang Islam merasa gembira dan mengucapkan
syukur ke hadhirat Allah Subhanahu Wa Taala dan mengucapkan tahniah
serta pujian kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya yang telah berjaya
membebaskan Isabella. Setelah itu mereka semua berkumpul di satu
perkumpulan sesudah Subuh. Semua alim ulama, ahli filsafah, doktor,
penulis, penyair, penafsir Al-Quran dan Hadis, serta ahli sejarah hadir
bersama. Hampir semua orang di situ tahu tentang peristiwa Isabella
ditawan dan diserahkan kepada inquisisi. Selama Isabella di dalam
tawanan, Umar Lahmi kerap menerima laporan tentang keadaan diri Isabella
yang disampaikan oleh para pengintip rahsia. Berita-berita itu
disampaikan oleh Umar Lahmi kepada hadirin di setiap perkumpulan yang
diadakan di rumah Ziad bin Umar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar