Di
gereja Saint Peter, sepeninggalan Isabella dan sahabat-sahabatnya, telah
timbul kekecohan besar. Walaupun telah ditolong oleh Arkia melepaskan
diri dari ikatan, ketua rahib yang tadinya memekik meminta tolong
tiba-tiba terdiam. Sejurus lamanya dia terdiam tanpa berkata-kata
seperti seorang yang dalam kebingungan dengan apa yang telah menimpa
dirinya. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan ramai orang yang datang
mengerumuninya. Penziarah-penziarah
lain yang berada di dalam bilik yang berasingan seolah-olah tidak
menghiraukan teriakan meminta tolong dari ketua rahib. Mereka sebaliknya
semakin khusyuk dengan doa dan sembahyang di hadapan tulang-tulang
kerangka orang yang dianggap wali. Mereka semakin kuat menggenggam
jari-jemari tangan masing-masing sambil menangis sementara menunggu
dengan penuh sabar kedatangan Tuhan yang dijanjikan.
Setelah keadaan kembali reda, ketua rahib dan Arkia terburu-buru
keluar dari gereja kerana mahu mengejar Isabella dan sahabat-sahabatnya
yang sudah terlepas dari tawanan. Sekali lagi, mereka termanggu dalam
keadaan bingung kerana keldai-keldai mereka telah tiada lagi di situ.
Mereka lalu meminjam keldai penziarah lain untuk pulang ke biara. Waktu
sampai kembali di biara, mereka disambut dengan perasaan terperanjat
oleh rahib lelaki dan perempuan kerana Isabella dan sahabat-sahabatnya
tidak kelihatan. Walaupun pemergian ke gereja buruk di Selatan Cordova
dirahsiakan namun semua rahib biara telah mengetahuinya. Mereka telah
mendengar kisah Mirano pengsan dan Tuhan mengarahkan mereka pergi ke
gereja tua itu.
“Mana Isabella?” tanya seorang rahib lelaki.
“Sudahkah dia memikul kembali salib Tuhan kita?” tanya seorang rahib perempuan kepada Arkia.
Ketua rahib terlalu susah hati sehingga dia tidak dapat mengangkat muka.
Di wajahnya terbayang kehinaan, penyesalan dan kekalahan. Kemudian
salah seorang daripada rahib-rahib memberanikan diri untuk tampil ke
depan.
“Tuan yang dihormati,” kata rahib lelaki itu “bapa suci, ketua paderi,
telah mengirim surat ini waktu tuan tiada. Tuan disuruhnya menjawab
segera.”
Ketua rahib memandang muka rahib yang sedang menghulurkan surat dengan mata terbelalak. Tangannya sedikit menggeletar.
“Oh, bagaimana aku mahu menunjukkan mukaku kepada bapa suci itu?”
katanya membisik. “Oh, syaitan terkutuk itu telah menipu aku. Syaitan
yang tidak pernah melepaskan peluang untuk mencuba walaupun kepada Tuhan
Jesus Kristus. Celaka Isabella! Oh, perempuan sial! Aku benci kepadamu
oh anak syaitan! Kau yang murtad, kami pula yang mendapat malu. Oh,
Tuhan! Lihatlah betapa aku yang taat kepadaMu diperlakukan.”
Walaupun ucapannya amat perlahan tetapi para rahib yang sedang
mengelilinginya dapat mendengar dengan jelas dan mereka sangat
terperanjat. Lalu masing-masing bertukar pandangan antara satu dengan
yang lain dengan diselubungi suatu perasaan yang cukup aneh. Ketua rahib
lalu membuka surat dari ketua paderi dengan tangan yang terketar-ketar.
Dengan tujuan untuk memujuk
Isabella, kawan-kawannya yang empat orang itu telah datang ke mari
seperti yang telah anda maklum. Saya fikir memasukkan kembali Isabella
ke dalam agama Kristian tidak semudah seperti yang kita fikirkan.
Andainya keadaan Isabella masih tidak berubah, saya minta diserahkan
saja kepada inquisisi. Saya akan mengirim beberapa orang untuk mengambil
Isabella pada petang nanti. Sekarang, suruh anak-anak gadis itu kembali
dan berjumpa saya. Jangan sampai syaitan dapat menyeleweng mereka pula
dan masuk ke dalam perangkap Isabella.
Selesai saja dia membaca surat itu, dia pun menangis dengan suara
kuat hingga memeranjatkan orang-orang yang berada di situ. Sejurus
lamanya dan ketika tangisannya mula reda, dia berkata dalam keadaan
masih teresak-esak ” Bagaimana aku akan menjawab surat ini? Aku akan
pergi sendiri berjumpa bapa suci dan menceritakan kepadanya betapa
orang-orang salih dapat juga diperdaya oleh syaitan.”
Setelah berkata begitu, ketua rahib pun bangun dari duduk dan mengajak
Arkia pergi bersama-sama menghadap ketua paderi di rumahnya.
Dalam perjalanan, mereka tidak banyak berkata-kata. Ketua rahib
terlalu runsing memikirkan hukuman yang akan diterima di atas
ketelidurannya. Arkia, Puteri Perancis, pula merasa kesalihannya telah
terpukul dengan kejadian itu. Dia yang mengaku selalu mendapat wahyu dan
boleh melakukan mukjizat telah dapat dikalahkan oleh Isabella yang
dituduh murtad. Perkara yang paling mengganggu fikirannya ialah nasehat
Isabella yang menyuruhnya membaca kalimah syahadat dan masuk Islam
jikalau dia benar-benar mahu berjumpa dengan Tuhan yang dikhayalkannya
selama ini.
Ketua paderi sangat terperanjat apabila melihat ketua rahib datang
bersama Arkia. Dalam keadaan tenang, dia mempersilakan mereka duduk.
Dengan perasaan terhina dan rasa rendah diri, ketua rahib pun
menceritakan tipu muslihat sahabat-sahabat Isabella yang berjaya menipu
dia dan Arkia. Ketua paderi terdiam kaku mendengarnya. Kemudian dia
berkata “Saya telah memerintah anda menjaga dengan berhati-hati, kenapa
masih boleh ditipu oleh anak-anak gadis itu? Kenapa wahyu palsu itu
boleh membuat anda meninggalkan biara? Kenapa tidak diberitahu kepada
saya terlebih dulu?”
“Bagaimana saya menjawab lagi? Saya mengaku bersalah dan saya telah jatuh ke dalam perangkap syaitan.” kata ketua rahib.
“Apakah ada rahib-rahib lain yang bersengkokol dengan anak-anak gadis itu?”
“Tidak ada. Sebagai menjaga keselamatan, saya tidak memberitahu kepada
sesiapapun kecuali rahib perempuan ini yang memang sudah terkenal dengan
kesalihannya.”
Ketua paderi lalu memanggil seorang pesuruh dan menyuruhnya pergi ke rumah Michael dan Peter.
“Panggil mereka ke mari sekarang juga. Kalau mereka ada urusan lain,
suruh ditinggalkan dulu. Mereka mesti datang ke sini kerana ada urusan
penting.”
Tidak lama kemudian, Michael dan Peter hadir bersama tiga orang
paderi lain. Mereka meletakkan tangan kanannya di dada tanda memberi
hormat kepada ketua paderi.
“Silakan duduk.” kata ketua paderi. “Anak anda, Mirano, telah minggat bersama-sama anak saya, Isabella.”
“Apa? Apa yang anda telah katakan?” Michael bertanya dalam keadaan terperanjat.
“Bukan saja Mirano, Hanana, Martha dan Catherine juga telah meloloskan diri dari pengawalan di biara.” ujar ketua paderi lagi.
“Bapa suci! Cuba ceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi?” desak Michael.
“Bertanyalah kepada ketua rahib ini.” kata ketua paderi. “Nah, ceritakan kepada mereka dari mula.”
Ketua rahib pun menceritakan kisah kejadian itu dari awal hingga akhir
dengan linangan airmata kerana merasa malu dan kesal yang amat sangat.
Michael dan Peter turut menangis sama.
“Kenapa menangis?” kata ketua paderi. “Kutuklah roh-roh yang kotor itu.
Sesalan kalau pun ada ialah kerana Isabella telah terlepas dari
genggaman inquisisi.”
“Bapa suci! Ini bukan perkara kecil.” ujar Michael. “Orang-orang Kristian seluruh Cordova seakan terhina dengan kejadian ini.”
Ketua paderi tidak mengacuhkan ucapan Michael itu.
Sebaliknya, dia berkata “Bagaimanapun, usahakan mencari anak-anak gadis
itu sekarang. Kita akan mencari ikhtiar menghadapi masalah ini.”
Tiga hari telah berlalu dan pada suatu malam ketika menjelang
dinihari, semua paderi di Cordova telah datang berkumpul di dalam gereja
besar Cordova. Mereka telah diarahkan secara sulit datang berkumpul di
situ. Pada lahirnya, tidak kelihatan tanda-tanda dipasang lampu yang
terang-benderang, tidak ada hamparan permaidani dan tidak pula ada
perarakan salib dan sebagainya. Orang-orang datang secara berasingan dan
dengan tenang masuk lalu mengambil tempat duduk di dalam ruang gereja
berhadapan dengan altar suci. Perhimpunan istimewa ini dihadiri oleh
orang-orang yang dijemput secara rahsia saja.
Sebuah salib besar terpasang di atas altar bertepatan dengan patung
Kristus tergantung. Di bawahnya, terdapat Mariam Perawan duduk bertelut
di atas lutut, memperlihatkan pembaktiannya kepada Jesus Kristus. Semua
dinding gereja besar itu dilukis dengan figura wali-wali dan
pengikut-pengikut Jesus, kelihatan seperti gambar di dalam mitologi
Roman dan Mesir. Semua yang datang duduk dikelilingi dinding-dinding
itu. Rahib wanita, perawan yang menjadi penghibur paderi-paderi juga
kelihatan di dalam kumpulan para paderi. Ketua pader, bapa Isabella,
menyambut kedatangan semua dengan penuh kemesraan. Mereka berjalan masuk
dalam keadaan senyap dan khusyuk sehingga orang-orang yang lewat di
luar gereja tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalamnya. Tetapi
orang-orang Islam telah pun mengetahui tentang perhimpunan rahsia itu.
Ketua paderi dan Michael berdiri di muka pintu memberi arahan dengan
isyarat tangan kepada orang-orang Kristian yang datang
berbondong-bondong penuh bersemangat itu supaya jangan membuat bising.
Beberapa ribu orang sudah berada di dalam gereja besar namun ketua
paderi dan Michael masih berdiri di muka pintu di bawah patung Kristus
yang disalib. Tidak jauh di hadapan gereja, seorang lelaki yang di dalam
kumpulan orang yang sedang berbaris hendak masuk memegang bahu seorang
lelaki lain di depannya seraya berkata “Saudara, puji-pujian kepada nama
Tuhan. Ini ada satu envelop yang mesti saya sampaikan kepada bapa suci,
ketua paderi, tetapi saya telah terlupa pesanan Bapa Michael yang telah
memerintah saya mengambil satu barang penting di rumahnya untuk ketua
paderi. Saya terpaksa pergi sekarang sebelum pertemuan ini bermula.
Bolehkan saudara tolong sampaikan kepadanya sesudah sampai di dalam
nanti?”
Envelop diserahkan sebelum orang itu sempat menjawab. Setelah
menerimanya, dia berkata “Dengan segala senang hati. Saya akan sampaikan
envelop ini kepada bapa suci. Tuan jangan bersusah hati.”
“Terima kasih.” jawab orang lelaki itu lalu meninggalkan barisan.
Orang yang menerima itu memegang surat itu dengan kuat. Dia gembira kerana menerima amanah yang begitu besar.
Ruang gereja telah penuh dengan orang-orang Kristian dan para paderi
duduk di tempat yang disediakan untuk mereka. Ada beberapa paderi pula
berjalan berkeliling, memerhati setiap orang untuk memastikan tidak ada
orang Islam yang dapat menyusup masuk. Setelah mereka yakin orang-orang
yang tidak diingini tidak ada di dalam gereja, pintu besar pun ditutup.
Beberapa orang disuruh berjaga di luar supaya tidak ada orang yang cuba
mencuri mendengar. Sebagai langkah menjaga keselamatan, ketua paderi dan
Michael serta dua belas orang paderi pilihan duduk di atas suatu tempat
yang agak tinggi letaknya di bahagian hadapan. Suasana di dalam gereja
tidak terlalu bising walaupun beribu-ribu orang menempatinya. Ia juga
adalah arahan keras dari ketua paderi.
Tiba-tiba, ketika perhimpunan akan dimula, seorang lelaki yang duduk
di bahagian hadapan bangun berjalan mendapatkan ketua paderi lalu
menyerahkan surat yang diamanahkan kepadanya. Surat itu, dalam suatu
envelop besar, diterima Michael. Ketika itu, ketua paderi sedang berada
di atas podium mahu memberi ucapan. Ketua paderi bercakap dengan suara
yang agak gementar.
“Anak-anakku, lelaki dan perempuan! Malam ini kalian disusahkan dengan
arahan supaya datang berkumpul di dalam gereja besar ini. Perhimpunan
ini amat penting yang nanti akan disampaikan oleh Bapa Michael. Kalian
mesti mendengar baik-baik ucapan yang bakal diberikan beliau. Dengar
dengan tenang dan sabar.”
Waktu ketua paderi mahu duduk, Michael menyerahkan envelop besar
kepadanya. Setelah itu, dia menuju ke podium untuk menyampaikan ucapan.
Ketua paderi membuka envelop itu lalu mengeluarkan sepucuk surat dari
dalamnya. Dia membaca dengan cepat beberapa baris ayat lalu memekik
dengan kuat sehingga mengejutkan semua orang, lebih-lebih lagi Michael
yang baru saja mahu berucap. Tubuh ketua paderi terketar-ketar kerana
menahan marah. Semua orang yang memandang ke arahnya kehairanan. Michael
segera mendekatinya.
“Ada apa bapa suci?”
Setelah ketua paderi tenang kembali, dia pun berkata “Ini surat dari
Isabella. Dia menjemput kita semua memeluk agama Islam. Siapa yang
memberikan surat ini tadi?”
“Saya yang memberinya, bapa suci.” ujar seorang lelaki dengan jujur.
Belum sempat dia menyambung kata-katanya, beberapa orang yang duduk
berhampiran telah memukul dan menumbuknya dengan kuat. Lelaki itu masih
juga berusaha mahu menjelaskan perkara sebenar tetapi tidak seorang pun
yang mengendahkannya. Dia terus dipukul dan ditumbuk hingga terjatuh dan
tidak sedarkan diri. Tubuhnya diheret dan dicampakkan ke dalam bilik
kecil di sudut gereja.
Kekacauan telah berlaku. Agak lama baru keadaan kembali reda. Dalam keadaan payah, ketua paderi maju ke hadapan untuk bercakap.
“Orang yang membawa surat ini ialah seorang Islam yang menyamar sebagai
salah satu dari kita dengan memakai pakaian suci kita.” Dia berhenti
sejenak.
“Bagaimanapun, besok kita akan periksa orang ini. Sekarang, anak-anak
perempuan itu telah mendakwah kepada kita tentang agama Islam yang
biadab dan terkutuk itu. Sekarang, mari kita fikirkan cara untuk
mendapatkan kembali anak-anak perempuan itu. Apa yang patut kita buat?”
sambungnya lagi.
Michael lalu tampil di atas podium.
“Saudara-saudara! Nampaknya tujuan kita mengadakan perhimpunan rahsia
ini menjadi sia-sia dengan kehadiran surat Isabella. Apa yang dapat kita
lakukan sekarang? Kita baca dan dengar isi surat itu dan kita semua
mesti mendengarnya dengan sabar. Berdoalah kepada Tuhan agar dia dapat
dikembalikan ke dalam pelukanNya ataupun dimasukkan ke dalam neraka
segera.”
Ketua paderi lalu berkata “Bawalah orang itu ke mari. Kita boleh
memaksanya bercerita tentang perkara-perkara lain yang perlu kita
ketahui walaupun kita tahu orang-orang Islam itu keras kepala dan tidak
mudah membuka rahsia. Dia sekarang dalam genggaman kita. Dengan
mengancamnya, kita pasti berhasil mendapatkan sesuatu.”
Orang lelaki yang malang itu pun dibawa keluar dari bilik dan
diletakkan di atas pentas di hadapan orangramai. Keadaannya amat parah.
Badannya luka-luka dan pakaiannya koyak-rabak.
Apabila ketua paderi melihatnya dengan teliti dari dekat, dia lalu
menjerit dengan kuat “Oh, ini paderi dari gereja sebelah utara. Dia anak
saudaraku sendiri!”
Sekali lagi, orangramai terperanjat. Michael segera mendekati orang itu.
“Dia masih bernafas.”
Semua orang merasa amat dukacita. Mereka seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
Esoknya, apabila paderi yang malang sudah sedarkan diri, dia pun
menceritakan kisah sebenar bagaimana dia mendapat surat itu. Setelah
mendengarnya, semua yang ada sependapat mengatakan itu adalah perbuatan
khianat daripada orang-orang Islam. Harapan mereka kepada Isabella dan
sahabat-sahabatnya pun lenyap begitu saja. Perhimpunan rahsia mereka
telah gagal malahan telah menimbulkan kekecohan besar sehingga tidak
dapat dikawal lagi. Surat Isabella yang ditulis kepada bapanya berbunyi:Semua
puji-pujian kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam. Yang telah
menciptakan langit dan bumi dan segala isi yang ada di dalamnya dengan
kekuasaanNya yang mutlak dan Dia di samping menyusun sistem lahiriah
juga menyusun sistem batiniah melalui wahyu dan nabi-nabi dan salawat
serta salam kepada Junjungan yang telah datang melepaskan dunia dari
kemungkaran dan kegelapan serta membawanya ke dalam cahaya keimanan dan
memimpin kita ke jalan yang benar yang telah diterokai oleh nabi-nabi
yang terdahulu dan membawa kita kepada Allah yang menjanjikan kedamaian
dan keselamatan abadi. Bapaku yang dihormati.
Ketahuilah bapa bahwa aku telah
menerima Islam yang menurut penyelidikanku ialah satu-satunya agama yang
bebas daripada kemungkaran dan kebatilan, yang membimbing kita ke jalan
keselamatan. Saya telah menolak agama Kristian kerana ia penuh dengan
ketahyulan dan kekufuran dan bertentangan dengan ajaran semua nabi.
Secara ringkas maka di bawah ini saya perturunkan
perbandingan-perbandingan untuk menunjukkan kebenaran Islam kepada
bapaku : 1. Dalam
Islam, Allah itu Esa dan tidak bersekutu dengan apa pun juga. Dia unik
dengan segala kebaikan dan kesempurnaanNya. Al-Quran menyebut Allah itu
tunggal. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada suatu
pun yang sama denganNya. Dia wujud, tidak mati, tidak tidur, tidak
mengantuk dan tidak letih ataupun berhajatkan kepada semua yang
dihajatkan oleh manusia. Kalau kita akan menyebut satu persatu semua
kesempurnaanNya maka hendaklah kita mempelajari Kitab Suci Al-Quran.
2. Sebaliknya, agama Kristian
percaya bahwa Tuhan itu bukan satu tetapi tiga: bapa, anak dan Roh
Kudus. Jesus Kristus satu-satunya ‘Putera Tuhan’ dan dia juga pencipta
dan abadi seperti bapanya juga meskipun Injil mengatakan Jesus itu makan
dan minum, tidur dan jaga dan sangat bergantung kepada air, udara dan
tiap-tiap benda yang diperlukan oleh manusia dan di dalam dirinya
terkumpul semua keinginan duniawi. Seandainya Tuhan juga bergantung
kepada semua perkara seperti manusia maka bagaimana dia layak menjadi
Tuhan dan apakah ada perbedaan lagi antara Tuhan dan manusia? Kitab Suci
Al-Quran dengan tegas mengatakan bahwa sesiapa yang mengatakan Kristus
itu Tuhan atau Putera Tuhan maka dia telah menyekutukan Allah dan
menjadi kafir. Orang-orang Kristian dengan menjadikan Kristus sebagai
putera Tuhan telah memfitnah Tuhan. Al-Quran telah mengajar bahwa
Kristus serupa Musa, Daud, Sulaiman, Yahya, Hud, Nuh dan lain-lain nabi.
Sebagai utusan dan nabi, mereka juga adalah manusia, makhluk dan bukan
pencipta. Nah, cuba bapa fikirkan sendiri betapa jelas dan munasabah
ajaran Kitab Suci Al-Quran ini dan betapa agama Kristian mengusutkan dan
tidak masuk akal.
3. Menurut Islam, tiap-tiap
manusia dilahirkan dalam keadaan suci dan bebas dari dosa. Apabila dia
beransur dewasa, pengaruh-pengaruh luar telah menyesatkannya. Allah
telah memberikan akal kepada manusia supaya mematuhi hukum-hukumNya dan
menjauhi benda-benda yang terlarang. Al-Quran mengatakan bahwa Adam
tidak melakukan dosa. Semua nabi adalah suci dan bersih dari dosa.
Masalah dosa yang diwarisi adalah tipuhelah syaitan. Agama Kristian
mengatakan tiap-tiap orang berdosa sejak dilahirkan sehingga dengan
demikian, nabi-nabi juga melakukan dosa dan dosa Adam adalah penyebab
manusia menjadi berdosa. Nyata sekali betapa kepercayaan ini tidak ada
logiknya, tidak munasabah dan bertentangan dengan bukti-bukti intuisi
yakni kerana Adam melakukan dosa, dosa yang sebenarnya tidak pernah
dapat dibuktikan, semua manusia menderita seksaan. Jadi, dalam masalah
ini juga Kitab Suci Al-Quran adalah benar dan adil dan ketetapannya
logik, munasabah dan menurut sunah nabi-nabi.
4. Keutamaan yang diberikan
oleh Al-Quran ke atas akhlak dan guru-guru ialah tentang betapa mulia
dan tingginya moral itu, hal yang serupa tidak diketemui di dalam
lain-lain agama. Islam mengatakan bahwasanya manusia itu tidak
memperoleh selain dari apa yang diusahakannya dan usahanya itu kelak
pasti akan dilihatnya. Kemudian diberikan kepadanya balasan yang cukup
sempurna terhadap usahanya* dan yang demikian itu adalah ajaran dari
semua nabi. Tidak ada orang yang akan memikul beban orang lain tetapi
tiap-tiap orang memikul tanggungjawab di atas perbuatannya. Maka dengan
ajaran suci serupa inilah yang memberikan manusia ajaran-ajaran
kemuliaan dan menggesanya berbuat kebajikan. Tetapi agama Kristian
sebaliknya mengajarkan bahwa Jesus Kristus telah memikul beban dosa
semua orang lalu disalibkan dan menjadi penebus semua orang yang
berdosa. Perbuatan dosa telah dilakukan oleh beribu bahkan berjuta
manusia tetapi hukumannya telah dikenakan ke atas seorang manusia suci,
satu-satunya ‘Putera Tuhan’. Ajaran ini di satu pihak membuat manusia
tidak berguna dan memalukan sementara di pihak lain menjadikan seseorang
hilang kepercayaan kepada dirinya sendiri dan dengan demikian harga dan
nilai dirinya jatuh di matanya sendiri selain daripada itu kepercayaan
ini merupakan satu pelanggaran kepada kesucian Tuhan.
5. Apabila Kitab Suci
Al-Quran diturunkan ke dunia, ia telah menerangkan semua kebenaran.
Kebenaran yang telah lama dilupakan dan punca-punca kebenaran yang telah
dicemarkan. Islam meletakkan semula kemuliaan semua nabi-nabi dan
membantah semua tuduhan palsu yang ditimpakan kepada mereka. Ia
mendedahkan penyisipan-penyisipan palsu yang telah dilakukan di dalam
kitab-kitab wahyu dan membuat penjelasan akan keadaan yang sebenarnya
melalui pendedahan itu. Islam membantah tuduhan palsu dan tidak berasas
terhadap Nabi Isa yang telah dibuat oleh sebahagian musuh-musuhnya dan
juga kawan-kawannya. Islamlah dengan usaha baiknya telah meletakkan Nabi
Isa pada tempatnya yang sebenar dan telah membersihkannya daripada
segala tohmahan orang-orang Yahudi dan juga orang-orang yang menamai
diri mereka Kristian. Orang-orang Kristian pula telah menuduh semua nabi
dengan tuduhan-tuduhan palsu, perzinaan dan pembunuhan dan
mengetengahkan Jesus Kristus dalam bentuk yang tidak sempurna sehingga
kalau tidak kerana kedatangan Islam yang mendedahkan kebenaran maka
tidak seorangpun yang mahu menganggapnya sebagai manusia bermoral juga.
Ini merupakan satu obligasi Islam yang tidak akan dapat dibayar oleh
Kristian. Orang-orang Kristian tidak saja memanipulasi kitab-kitab
Injil, juga telah menyusun beratus-ratus Injil atas nama Kristus.
Sekarang, Injil-Injil palsu dan gelap yang disusun telah diletakkan di
hadapan kita yang sedikitpun tidak ada kena-mengena dengan Kristus.
Dalam Kitab Suci Al-Quran terkumpul dan tersimpan dengan baik semua
kitab yang diwahyukan. Olehsebab itu saya menjemput semua orang Kristian
membaca Kitab Suci Al-Quran ini yang menjunjung kehormatan agama
Kristian dan yang memberikan kepada kita pengajaran dari semua nabi
sepanjang zaman.
6. Islam menyebut secara
terperinci akan hak-hak kaum wanita dan memerintahkan pembebasan semua
hamba-abdi, meniupkan semangat persamaan dan persaudaraan di kalangan
umat manusia dan menetapkan perhubungan antara manusia dengan Tuhan.
Tetapi dalam agama Kristian tidak
ada secebis tanda pun tentang hak-hak wanita. Hanya kepada orang lelaki
diberitahu bahwa mereka boleh menceraikan isterinya yang melakukan
zinah tetapi tidak menyebut sedikitpun tentang apa yang boleh dilakukan
oleh si isteri ke atas ketidak-setiaan suaminya. Tidak ada sepatah
perkataan pun dalam agama Kristian tentang pembebasan hamba abdi.
7. Islam menyuburkan moral
manusia dan menyediakan tatasusila yang tetap bagi kemanusiaan. Dengan
mematuhi peraturan itu manusia boleh mengawal nafsu secara sederhana. Di
dalam Al-Quran ada disebutkan ”Barangsiapa mengerjakan kejahatan maka
tidak dibalasnya melainkan dengan seumpamanya dan barangsiapa beramal
salih baik lelaki ataupun perempuan, sedang dia seorang yang beriman
maka orang-orang itu masuk ke dalam syurga; mereka diberi rezeki di
dalamnya dengan tidak ada hingganya.*
Tetapi dalam agama Kristian
ditekankan kepada satu aspek saja iaitu melakukan kesalahan tidak boleh
dihukum dan kalau dia menampar pipi kiri mesti menyerahkan pipi kanan
pula untuk ditampari. Betapa pengajaran serupa itu boleh diikuti manusia
di dunia ini? Betapa keamanan dan ketenteraman dunia dapat
dipertahankan dengan pengajaran serupa itu? Andaikata mahu
memperlihatkan kemaafan dan baiksangka dalam semua perkara maka mengapa
Dia menciptakan nafsu amarah di dalam diri manusia dan kemudian
membiarkan bahagian dari naluri itu menjadi kering?
Ini adalah beberapa perkara
sebagai satu illustrasi tentang pengertian yang menyebabkan saya
menerima Islam dan bagi bapa juga, kalau ada satu jalan kebenaran yang
mesti diikuti maka bapa mestilah menerima Islam seberapa cepat yang
boleh dan menyatakan taubat segera di atas keragaman ketuhanan di dalam
agama Kristian yang benar-benar bertentangan dengan sifat-sifat Tuhan
lalu menjadi penghalang kepada jalan manusia mencapai kemajuan.
Mudah-mudahan Tuhan menganugerahkan kepada bapa jalan istimewa untuk
menerima iman. Saya juga mendoakan bapa ke jalan benar dan moga-moga
Tuhan menyegerakannya. Amin!
Anak bapa,
Isabella
* Al-Quran S 5:39-41 **Al-Quran S 40:40
Tidak ada komentar:
Posting Komentar