Setelah
meninggalkan majlis yang penuh bererti dan banyak memberikan harapan,
Isabella pulang melalui jalan yang terus menuju ke rumahnya; melewati
Qasrus Syuhada dan terus ke Suqul Asafir. Pertemuan dgn Ziad bin Umar
telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam di hati sanubarinya.
Perasaannya riang gembira sehingga dia tidak menghiraukan keadaan
sekeliling. Dia menhayunkan kaki perlahan-lahan dengan teratur. Matanya
tunduk ke bawah. Kira-kira setengah jam kemudian dia pun sampai ke
rumahnya. Dilihat ibu sedang menunggu kepulangannya di pintu rumah dalam
keadaan gelisah. “Kemana kau pergi sehingga pulang lewat serupa ini?” tanya ibu sebaik-baik saja dia mengucup tangannya.
“Saya di rumah kawan, mama.” jawab Isabella. Tetapi dia tidak menyebut nama kawannya walaupun didesak ibunya.
Ibunya segera menyuruh pembantu rumah menyediakan makanan. Mereka lalu
makan bersama-sama. Kemudian bapa Isabella pula datang dan ikut makan.
Mereka tidak banyak berbicara di meja makan. Setelah selesai,
masing-masing masuk ke dalam bilik. Malam itu, Isabella tidak ke
mana-mana. Dia terbenam di dalam biliknya sambil mentelaah tafsir
Al-Quran yang diberikan oleh Umar Lahmi.
Di waktu pagi, dia terbangun apabila mendengar suara muazzin yang
mengumandangkan azan subuh dari menara Masjid Cordova. Betapa merdu
laungan itu sampai ke telinga di pagi yang bening, membangunkan
orang-orang yang sedang tidur supaya mengerjakan solat subuh, rukuk dan
sujud kepada Allah Yang Maha Besar. Betapa mempesonakan kata-kata Allahu
Akbar! Allahu Akbar! Berbeza daripada bunyi loceng gereja yang juga
mulai memecah keheningan pagi dengan keriuhan yg tidak ada erti. Suara
muazzin yang beralun-alun menusuk sukma secara mendalam sementara bunyi
ding-dong, ding-dong loceng hanya menggegarkan perasaan secara tidak
menentu. Dua macam cara yang membezakan dua macam agama. Tidak lama
kemudian pemeluk-pemeluk agama Islam yang taat mulai keluar meninggalkan
masjid sesudah menyerahkan jiwa dan raga kepada Allah. Kaum buruh,
peniaga dan petani masing-masing menuju ke tempat kerja, pasar dan
ladang mulai ramai. Kicauan burung mulai tenggelam oleh suasana siang.
Mendengar panggilan beribadat itu, Isabella pun bangun dari tempat
tidurnya. Setelah membersihkan diri, dia pun masuk ke dalam bilik bacaan
di rumahnya, duduk di suatu sudut mentelaah sebuah kitab. Sedang asyik
dia dengan kitabnya, pintu bilik diketuk orang. Isabella agak hairan.
Siapa gerangan yang mengetuk pintu bilik di waktu pagi begini. Dia tahu
bapa dan ibunya masih bersembahyang di gereja besar. Mereka akan pulang
ketika hampir waktu sarapan.
“Siapa?” tanya Isabella.
“Kami!” sahut suara di luar.
Isabella kenal suara itu. Suara gurunya, Michael. Dengan segera, dia
bangun membuka pintu. Isabella sangat terperanjat melihat Michael dan
Peter berdiri di depan pintu. Dia dengan segera menundukkan kepalanya
memberi hormat dan mempersilakan mereka masuk. Ketika dia hendak menutup
pintu, bapanya pula muncul. Perasaan Isabella menjadi gempar melihat
kehadiran bapanya, Michael dan Peter secara serentak. Dia lalu meminta
diri kerana sangkanya mereka hendak membincangkan sesuatu perkara yang
penting. Boleh jadi masalah yang berhubungan dengan orang-orang Islam.
“Kau tunggu!: Bapanya memberi isyarat dengan tangan. Perasaan
Isabella menjadi semakin gempar dan kecut apabila mendengar arahan
bapanya yang aneh. Tentu kedatangan gurunya dan Peter secara tiba-tiba
itu ada hubungan dengan dirinya. Barangkali pertemuannya dengan
orang-orang Islam telah sampai ke pengetahuan mereka.
“Duduk!” Bapanya memberi arahan.
Isabella pun duduk di sebuah kerusi yang agak jauh sedikit tetapi
berhadapan dengan bapanya. Dia melihat urat-urat timbul di wajah
bapanya. Air mukanya yang selalu lembut itu agak tegang, sekali-sekala
dia menggigit-gigit bibirnya menahan perasaan. Ibu Isabella juga
dipanggil masuk. Bapa Isabella pun membuka mulutnya. Mula-mula dia
tujukan kepada ibu Isabella. Kemudian kepada Michael dan Peter.
“Tahukah kamu akan keadaan anak ini sekarang? Betapa dia memalukan dan
menghina kita. Kerana memikirkan hal itulah maka saya memanggil anda
berdua ke mari.”
Peter kelihatan terperanjat. Dia memandang Isabella dan berkata, “Oh, ada apa?”
“Perkaranya amat serius,” ujar ketua paderi “sudah agak lama saya
mendengar berita anak ini telah meninggalkan agama Kristian dan secara
sembunyi-sembunyi memeluk agama Islam.”
“Apa? Apa?” Helena, ibu Isabella, hampir memekik mendengar kata-kata
suaminya. “Apa anda katakan ini? Jesus Kristus tidak akan mengizinkan.
Tetapi kenapa anda begitu meradang pagi ini sehingga tanpa sebab menuduh
anakku masuk Islam?”
“Apa yang aku katakan ini adalah benar.” jawab ketua paderi. “Kalau
tidak hari ini, beberapa hari lagi kau akan mengetahuinya juga.”
“Bapa yang suci,” sampuk Peter “kata-kata bapa agak aneh. Isabella
seorang anak yang baik. Dia telah belajar teologi. Dia tidaklah begitu
bodoh untuk menerima agama Islam yang terkutuk itu.”
“Saya tidak tahu kenapa anda berprasangka begitu.” ujar Helena seraya
bangun mendekati Isabella yang sedang duduk dalam ketakutan di sudut
bilik.
Helena memegang bahunya dan berkata “Kau dengar apa yang dikatakan oleh bapamu?”
Isabella diam dan tunduk. Waktu itu bapanya memberi isyarat kepada Michael supaya bertanya.
“Anakku,” kata Michael “benarkah kau telah memberontak terhadap agama
Kristian? Benarkah begitu? Kalau ada orang yang menuduh kau serupa itu,
kau mesti membantahnya.”
Isabella mengangkat muka memandang Michael. Kemudian segera tunduk kembali dan mendiamkan diri. Air matanya berlinang.
“Nah, tengoklah,” kata Helena “bukankah telah aku katakan ada orang yang
membuat dakwaan palsu terhadap anakku. Apa bantahan yang dapat dia
buat? Airmatanya itulah saja yang dapat menjawab tuduhan dia memberontak
terhadap agama Kristian. Tuduhan itu palsu.”
“Cuba anda diam dulu. Biar Isabella menjawab sendiri.” ujar ketua paderi
dengan perasaan gusar melihat ibu Isabella ikut campur. “Nah, anakku.
Cuba ceritakan benar atau tidak laporan mengenai dirimu itu?”
“Saya belum menerima Islam dan masih tetap menjadi penganut Kristian.” jawab Isabella.
“Kalau kau belum lagi terima Islam apakah kau akan menerimanya nanti?” Michael segera bertanya.
“Kenapa bapa tanya saya tentang hari depan?” Isabella memandang Michael
dan menentang matanya. “Saya juga boleh bertanya serupa itu kepada
bapa.”
“Nah, kalau begitu cuba terangkan pendapatmu tentang agama Islam.” kata Michael membalas tenungan Isabella.
Isabella tidak menjawab segera. Dia memandang muka bapanya yang masih
tegang menggigit bibir. Dari muka bapanya dia beralih ke muka ibunya
yang sudah kembali ke tempat duduknya. Mukanya membayangkan kesan-kesan
kegelisahan. Kemudian melihat muka Peter. Paderi tua itu tenang tetapi
ada tanda-tanda kegoncangan perasaan di dalam.
“Saya tidak pernah menghina Islam.” katanya sambil melihat wajah
Michael. “Kerana di dalam Kitab Suci Islam, Jesus diberi kemuliaan
sebagai nabi yang suci dan orang-orang Islam memuliakannya.”
“Kalau begitu kamu cintakan Islam dan orang-orang Islam?” Michael mengajukan pertanyaan dengan cepat.
“Bapa boleh mengatakan serupa itu ataupun dengan perkataan lain yang
bapa suka.” jawab Isabella. “Bagaimanapun saya bukanlah orang yang tidak
berbudi. Jikalau orang-orang Islam memuliakan Kristus kita maka saya
pun memuliakan nabi dan kitab suci mereka.”
“Jadi sudah jelas sekarang ini bahwa di dalam hati kamu, kamu telah
menjadi seorang Islam, kalau tidak masakan kamu memuji Islam dan
penganutnya begitu.” kata Peter cuba memerangkap Isabella. “Nah,
beritahu kami apa fikiranmu terhadap agama ygn kamu anuti sekarang yakni
agama Kristian?”
Isabella dapat menangkap arah tuju pertanyaan paderi tua itu.
“Saya beriman dengan Kitab Injil dan semua kitab yang diwahyukan tetapi
saya tidak mahu terima segala cacat-cela yang telah dimasukkan ke dalam
agama oleh penganut-penganut Kristian sekarang ini.”
Mendengar jawaban itu, bapa Isabella lalu berkata ke arah Michael, Peter dan ibu Isabella.
“Kita sekarang sudah tahu fikirannya. Sudah tidak ada lagi jalan untuk mengubatinya melainkan dengan mata pedang.”
Ibu Isabella terperanjat mendengar keputusan suaminya yang nekad itu.
Lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata. Peter segera membuat isyarat
dengan tangannya.
“Berilah saya masa. Saya pasti akan dapat mengubah fikirannya. Saya akan
mengikis semua salah fahamnya, apatah lagi Isabella pun ada belajar
ilmu ketuhanan.”
“Baiklah! Anda boleh cuba dan kita akan lihat hasilnya. Kalau gagal saya akan fikirkan satu cara lain mengubatinya.”
Setelah berkata begitu ketua paderi pun bangun dan mengajak Michael dan
Peter mengikutinya. Mereka berangkat ke gereja besar kerana menghadiri
satu perhimpunan penganut-penganut Kristian yang datang dari seluruh
negara Sepanyol untuk menyaksikan tanda peninggalan nabi-nabi dan ketua
paderi yang terdahulu yang merupakan tulang-tulang dan lain-lain. Pada
hari itu orang-orang Kristian telah datang dari tempat-tempat yang jauh
untuk ikut ambil bahagian di dalam upacara tersebut yang akan dirahmati
oleh ketua paderi.
Setelah ketua paderi, Michael dan Peter meninggalkan bilik, ibu
Isabella yang masih kebingungan bangun mendekati anaknya sekali lagi.
Dia memeluk leher Isabella sambil berkata “Benarkah apa yang dikatakan oleh bapamu itu, nak?”
Isabella tidak menjawab. Dia memegang tangan ibu dan menepuk-nepuk dengan lembut sambil bangun melepaskan diri.
“Saya mahu masuk ke bilik saya, mama.” katanya lalu terus berjalan
menuju ke bilik sambil diperhatikan oleh ibunya dengan perasaan sedih
bercampur hiba.
Isabella mengunci pintu bilik. Dia merebahkan diri di atas katil dan
mula memikirkan nasibnya. Dia yakin akan menerima hukuman daripada
bapanya dan paderi-paderi lain. Hukuman dan seksaan yang kejam bukan
sesuatu perkara asing bagi penganut-penganut agama Kristian yang murtad
ataupun mengeluarkan sesuatu pendapat agama yang bertentangan dengan
ketua-ketua agama. Dia akan menghadapi hukuman yang berat. Namun dia
sedikit pun tidak gentar dengan segala macam kekejaman dan seksaan yang
akan ditimpakan ke atasnya. Hatinya telah bulat dan tekadnya telah
tetap, dia akan menghadapi semua percubaan itu dengan hati yang tabah
dan tidak berganjak.
Isabella kemudian mengambil kertas dan pena lalu menulis surat kepada Mirano, anak Michael, yang menjadi sahabat akrabnya.
Saudaraku yang dikasihi.
Tadi malam kira-kira jam
sembilan, aku telah menghadiri satu pertemuan para cendekiawan Islam.
Umar Lahmi dan ahli-ahli agama juga ikut hadir. Bagaimana aku akan
menerangkan kepadamu suasana pertemuan itu! Suatu pertemuan yang sungguh
menakjubkan. Kehadiranku di situ sesungguhnya semakin menebalkan lagi
keyakinanku terhadap Islam. Aku sangat berharap kau juga ikut
bersama-sama aku pada waktu itu. Tetapi aku telah berjanji dengan ketua
mereka, Ziad bin Umar, akan membawa kau bersama-sama untuk ikut serta
dalam pertemuan yang akan diadakan malam esok atau malam lusa. Satu
perkara penting telah terjadi ke atas diriku hari ini. Nampaknya, aku
akan dihadapkan ke inquisisi. Doakanlah agar aku tetap di jalan yang
benar. Bapaku rupanya telah mendapat berita tentang diriku bahwa aku
telah memeluk agama Islam. Dia telah memanggil bapamu dan Peter ke rumah
kami. Berbagai macam pertanyaan telah diajukan kepadaku. Cuba kau
bayangkan betapa tersepitnya keadaanku waktu itu. Tetapi aku telah
memberikan jawaban yang tegas kepada mereka. Peter
telah memberikan janji kepada bapaku bahwa dia akan membawa aku kembali
kepada agama Kristian. Kalau keadaan yang serupa berlaku, aku harap kau
dan ketiga orang kawan kita yang lain akan ikut hadir sama.
Perkara-perkara lain akan aku sampaikan secara lisan kepadamu nanti.
Saudaramu,
Isabella
Setelah siap surat itu ditulis, Isabella memanggil pengasuhnya dan
menyuruh mengembalikan sebuah buku kepada Mirano serta mengambil buku
lain daripadanya.
“Surat ini yang telah lama terletak di sini juga dibawa bersama-sama dan diberikan kepadanya.”
Pengasuh pun segera melakukan apa yg disuruh. Dia pergi ke rumah Michael
dan menyerahkan buku dan surat kepada Mirano. Mirano segera membaca
surat tersebut lalu memberitahu pengasuh Isabella bahwa dia sendiri akan
menghantar buku itu kepada Isabella nanti.
Pada petang itu, Isabella dan keempat orang sahabatnya
bertemu di taman tempat mereka pertama kali mendengar perbualan Umar
Lahmi. Dia menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang kejadian pagi
tadi di rumahnya seraya meminta pendapat mereka. Sahabat-sahabatnya
sangat ingin berjumpa Ziad bin Umar. Mereka juga mencadangkan agar
Isabella memberitahu kejadian pagi itu kepadanya.
Mereka membuat keputusan akan ke rumah Ziad bin Umar pada petang
berikutnya. Setelah itu mereka pun bersiar-siar di taman itu sampai
waktu perpisahan lalu pulang ke rumah masing-masing.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar