Apabila
sampai di pintu gerbang sebelah timur kota itu, Isabella, anak gadis
yang masih muda dan cantik itu mengambil jalan yang membawanya lurus ke
Qasrus Syuhada. Kerajaan
Islam pada masa itu telah mengeluarkan biaya yang banyak bagi
memperindahkan seluruh negeri Sepanyol. Jalanraya di kota Cordova
diperluas dan dibina dengan binaan yang baik, dihiasi dengan lampu-lampu
yang cantik pada jarak yang dekat, sehingga menyilaukan mata memandang.
Seperti yang pernah dikatakan orang, kita boleh berjalan sejauh dua
puluh lima kilometer di bawah cahaya lampu jalan yang benderang serupa
itu. Isabella berjalan perlahan-lahan dengan penuh keanggunan di atas
jalanraya yang lebar dan bermandikan cahaya lampu. Dia menuju ke Qasrus
Syuhada ke arah rumah kediamannya dengan kepala yang berat berisi
pertanyaan. Namun hayunan langkahnya tetap teratur sebagai gadis
terhormat.
Pada kebiasaannya, dia akan singgah di rumah teman-teman yang dekat
apabila dia pulang dari bersiar-siar pada petang hari serupa itu tetapi
kali ini dia terus menuju ke rumah dan kelihatan seperti tenggelam dalam
suatu fikiran yang merunsingkan.
Kira-kira setengah jam kemudian, dia pun sampai di pintu gerbang
rumah yang juga seperti sebuah istana. Orang gaji sedang menunggu di
muka pintu untuk menyambut ketibaannya. Sambil menjawab dengan ringkas
akan pertanyaan orang gaji akan sebab-musabab dia lambat pulang,
Isabella terus masuk ke dalam bilik lalu menghempaskan diri ke atas
sebuah kerusi malas. Dia mencapai sebuah kitab lalu membaca.
Orang gaji, setelah menyambut Isabella, terus ke dapur menyediakan
makan malam. Meja makan dikemas dan hidangan diletakkan di atas. Setelah
itu, dia memanggil Isabella tetapi Isabella tidak menyahut karena
terlalu asyik dengan kitab yang dibaca. Kitab yang sedang ditelaah itu
ialah Kitab Injil dan perhatiannya khusus ditujukan kepada surat-surat
St Paul yang menuduh hukum-hukum agama sebagai satu kutukan. Dia membaca
surat-surat itu berulang-ulang tetapi tidak mendapat jawaban kepada
kesangsiannya malah semakin kacau setiap kali dia membaca. Apabila
otaknya terasa penat, dia meletakkan kitab sambil membuat keputusan akan
bertanya kepada bapanya saja. Sudah tentu bapanya dapat memberikan
penjelasan yg sangat memuaskan.
Pada fikiran Isabella masalah itu tidaklah terlalu sukar sehingga
tidak dapat dihuraikan. Andaikata dia menemui jalan buntu, bapanya tentu
dapat menolong karena bapanya ialah seorang terpelajar agama yang tidak
ada dua di negara Sepanyol.
Setelah tenang kembali barulah dia keluar ke ruang makan dan makan
seorang diri sambil dilayan dengan penuh hormat oleh orang gaji.
Isabella kembali mentelaah Kitab Injil sebaik saja kembali ke bilik. Dia
membaca kitab itu sampai tertidur dan tidurnya pula amat nyenyak hingga
ke pagi.
Isabella bangun agak awal karena dia mesti pergi ke gereja. Pagi itu
pagi Minggu. Waktu pulang dari gereja dia dipanggil bapanya dan
bertanyakan Kitab Injil yang dibacanya tadi malam. Isabella sedang
terlibat di dalam pembelajaran tentang pemahaman makna hakiki
metafizika.
Isabella menemui bapanya di bilik bacaan yang besar yang dipenuhi
dengan berbagai-bagai buku. Dicapai tangan kanan bapanya lalu dicium.
“Sila duduk anakku.” kata bapanya sambil memberi isyarat dengan
tangan. Isabella mengambil sebuah kerusi dan duduk tidak jauh dari
bapanya.
“Sampai ke mana sudah pelajaranmu?” tanya bapa Isabella sambil merenung muka anaknya.
“Saya sudah membaca Jonah 21, Bab 3. Kalau bapa memberi izin, saya ingin bertanya karena saya belum lagi dapat mencari jawaban.”
“Sudah tentu, anakku. Tanyalah dan bapa akan menjawab.” ujar bapa Isabella dengan perasaan gembira melihat kecerdasan anaknya.
“Dua Belas Firman Tuhan yang Tuhan firmankan kepada kita di dalam
Perjanjian Lama melalui Nabi Musa, apakah itu ada mengenai dengan
hukum-hukum agama?”
“Ya, semua itu ada berkaitan dengan hukum-hukum agama.” jawab bapa
Isabella dengan perasaan agak hairan sedikit tentang pertanyaan anaknya
itu.
Isabella diam sejurus sambil mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian dia bertanya lagi.
“St Paul ada berkata di dalam salah satu suratnya bahwa hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, betulkah begitu, bapa?”
“Memang benar. Hukum-hukum agama itu adalah satu kutukan dan untuk
menyelamatkan kita daripada itu, Jesus Kristus diturunkan ke dunia ini
dan disalib.”
“Jadi jelaslah sekarang bahwa hukum-hukum agama itu satu kutukan dan
begitu hebat kutukan itu maka Jesus Kristus turun ke dunia ini untuk
membuangnya dan kemudian dia disalib.” Isabella mengulangi.
Kemudian dia menyambung, “Kalau begitu bererti mematuhi hukum-hukum agama itu pun satu kutukan jugalah, bapa?”
“Memang benar ia satu kutukan dan orang-orang Kristian sekarang
sepatutnya daripada mengikut hukum-hukum agama, adalah lebih baik
mengimani Jesus Kristus karena hukum-hukum agama hanya sah berlaku
sehingga Tuhan Jesus belum disalib.”
“Jadi bolehlah kita mencuri?”
“Apa ada kaitan dengan hukum-hukum agama? Anakku, sebelum kau membuat
pertanyaan, fikirlah dulu masak-masak kerana kalau ada orang lain
mendengar, mereka akan mengatakan kau ini anak yang bodoh.”
“Maafkan saya, bapa.” ujar Isabella sambil merendahkan suara.
“Barangkali pertanyaan yang saya kemukakan itu tidak begitu jelas. Apa
yang saya maksudkan ialah di antara firman-firman itu yang baru bapa
katakan, adalah bahagian daripada hukum-hukum agama. Salah satu
daripadanya ialah kita tidak boleh mencuri dan yang satu lagi kita tidak
boleh menindas tetangga kita dan yang ketiga kita tidak boleh
menderhakai ibubapa kita. Semua perintah ini masih menjadi bahagian
daripada ‘hukum-hukum agama’ yang menurut St Paul merupakan satu
kutukan. Jadi, mematuhi Firman-Firman Perjanjian Lama ini iaitu tidak
mencuri, tidak berzina ialah sesuatu yang dibenci sementara tidak
mencuri dan tidak menganiaya ibubapa pula satu kutukan.”
“Anakku,” kata bapa Isabella, “kau sebenarnya belum begitu faham betul
tentang kedudukan hukum-huum agama. Tapi, cubalah beritahu aku siapa
gerangan yang telah memasukkan pertanyaan bodoh serupa itu ke dalam
kepalamu. Syaitan manakah pula yang menyebabkan kau ragu-ragu begini?”
Isabella sebagai anak yang baik lalu menceritakan kepada bapanya
tentang perbincangan dua orang Muslim yang dapat didengarnya di taman
petang kelmarin. Setelah mendengar keterangan anak yang disayangi itu,
bapa Isabella pun berkata dengan suara rendah membujuk.
“Anakku,” katanya “kau telah tahu benar bahwa orang-orang Muslim itu
ialah orang-orang kafir dan sentiasa menentang agama suci kita. Mereka
mengkritik kitab-kitab suci kita kerana fikiran mereka telah dihasut
syaitan.”
Dia berhenti sejenak. Memandang muka anaknya untuk melihat reaksi dari keterangannya. Kemudian dia menyambung.
“Kau patut bertaubat segera dan berjanji tidak akan mendengar percakapan
mereka itu lagi. Mereka orang-orang Muslim tidak beriman dan selalu
menuduh agama yang benar orang lain. Tahukah kau, anakku, apakah agama
mereka itu? Pertumpahan darah ialah pekerjaan yang patut dipuji dalam
agama mereka. Cuba lihat! Mereka menyerang negara kita, Sepanyol dan
membunuh beratus-ratus orang yang tidak berdosa. Sesudah itu, mereka
paksa pula agama mereka kepada kita. Aku tahu tentang kecaman-kecaman
yang kau telah dengar dari orang-orang Muslim itu. Kalau kecaman itu
daripada fikiranmu sendiri maka dapatlah aku membersihkannya tetapi
bagaimana aku akan menjawab kepada mereka?”
Isabella menyesal kerana dia telah menyebut tentang orang-orang
Muslim itu. Kalau tidak, masalahnya telah dapat diselesaikan. Satu idea
tiba-tiba melintasi di fikiran.
“Baik aku tanyakan masalah ini kepada guruku. Aku selalu bertanya
kepadanya apabila menghadapi sesuatu masalah dalam pelajaran,” kata
hatinya.
Keesokan hari, Isabella pun menjumpai guru yang bernama Michael lalu
mengemukakan pertanyaan yang sama. Gurunya dengan penuh keyakinan merasa
bahwa dia boleh menerangkan masalah yang dihadapi oleh muridnya.
Jawabannya pasti dapat menghilangkan semua keraguan Isabella.
Penjelasan Michael tidak dapat memenuhi rasa ingin tahu Isabella. Dia
mulai sedar bahwa keraguan itu timbul bukan kerana daya pemahamannya
yang kurang tetapi masalah itu sendiri ialah satu masalah berat yang
bukan saja untuk dirinya malahan juga untuk cendekiawan Kristian. Di
sinilah bermula timbul rasa curiganya terhadap dasar-dasar lemah dalam
ajaran Kristian. Kecurigaan itu semakin memberat di dalam fikiran.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar