Pagi
berikutnya, Isabella menerima surat dari Michael yang dibawa oleh
seorang pesuruh. Surat itu berbunyi : Anakku Isabella. Harap kamu dapat
datang segera ke tempatku kerana ada perkara yang penting yang akan
kubincang denganmu. Tinggalkan dulu urusanmu yang lain. Aku menunggu
kedatanganmu. Sepintas
lalu, Isabella sudah dapat menanggapi maksud surat itu, tentu ada
hubungan dengan peristiwa yang berlaku kelmarin pagi di rumahnya.
Isabella lalu memberitahu ibunya. Dia pun segera bertolak ke rumah
Michael.
Di sana, selain daripada Michael dan Peter, ikut plua seorang rahib
yang cukup terkenal, cukup popular dan mashyur di seluruh Sepanyol
kerana kehidupan pertapaannya. Mirano di lain pihak telah memanggil
kawan-kawannya supaya datang berkumpul di rumahnya untuk mendengar
pemeriksaan ke atas Isabella.
Setelah Isabella dipersilakan duduk di tempat yang disediakan khas
untuknya, Michael pun memulai pertanyaan seperti berikut, “Kelmarin kamu
telah menangkis pertanyaan-pertanyaan kami dengan jawaban yang bersifat
kabur. Hari ini kami akan bercakap kepadamu secara berterus-terang.
Nah, mahukah kamu menjawab soalan saya dengan jawaban yang benar?”
“Saya tidaklah begitu pintar untuk menjawab semua pertanyaan bapa dan
yang kedua saya fikir tidak ada perkara sehingga interogasi serupa ini
dilakukan ke atas saya.”
“Apakah kamu sudah menjadi seorang penganut Islam?”
“Saya sudah menjawabnya kelmarin dan saya tidak mahu berkata apa-apa lagi tentang hal itu.”
“Baiklah,” kata Michael, “apakah kamu percaya dengan Ketuhanan Suci dan
Jesus Kristus sebagai Tuhan dengan segala keperluan kewujudannya?”
“Saya percaya kepada Tuhan sebagai Tuhan dan bukan manusia sebagai Tuhan.” jawab Isabella.
“Jadi jelaslah bahwa kamu tidak percaya kepada Ketuhanan Tuhan Jesus
Kristus. Jadi, apa lagi bukti yang ada kalau kau bukan seorang Muslim?”
tanya Michael.
“Maksud saya tidak ada bukti di mana-mana pun juga di dalam Injil bahwa Jesus itu Tuhan.” jawab Isabella.
“Demi Tuhan!” kata Michael dengan nada yang agak meninggi. “Jangan
memfitnahkan Injil Suci. Tidakkah kau baca di dalam Injil itu bahwa
dia adalah ‘putera Tuhan’?”
Isabella lalu mengambil Injil dan dipegangnya.
“Nah, kalau begitu tolong jelaskan kepada saya makna ayat berikut.” Lalu
dibukanya Kitab Jonah, bab 1 ayat 31-36 dan dibacanya: “Orang-orang
Yahudi lalu mengangkat batu untuk melempari Kristus, yang berkata kepada
mereka. Aku telah menunjukkan kepada kalian banyak perkara yang baik
dari bapa, apakah kerana itu kalian merajami aku? Orang-orang Yahudi
menjawab: Kami bkan merajami kamu kerana perbuatan-perbuatan baik tetapi
kerana kecuranganmu sebagai manusia mengaku dirimu sebagai Tuhan.
Kristus berkata: Tidakkah agamamu ada berkata bahwa kamu juga Tuhan?
Waktu dipanggil Tuhan itu kepada mereka yang diberi wahyu maka orang
yang telah dikirim Tuhan ke dunia sesudah dimuliakannya, maka betapa
kalian berkata dia bercakap curang. Itulah sebabnya aku berkata aku ini
‘putera Tuhan’. Ini serupa dengan panggilan terhadap lain-lain nabi di
dalam Kitab Taurat dan lain-lainnya. Maka serupa itulah pula aku
dipanggil ‘putera Tuhan’. Jadi,” kata Isabella, “saya ingin bertanya
nabi yang manakah sebelum Jesus yang dipanggil Tuhan? Orang-orang
Kristian percaya bahwa nabi-nabi yang terdahulu itu dipanggil Tuhan
sebagai kiasan dan kerana kasih dan saya berkata dalam bentuk kiasan
yang sama pula dan kerana kasihkan Jesus Kristus maka dia dipanggil
Tuhan dan bukan kerana dia benar-benar Tuhan seperti yang didakwakan.”
“Gadis terkutuk!” Michael sudah tidak dapat membendung kemarahan lagi.
“Kamu sudah suka bercakap. Daripadaku kamu belajar, sekarang kamu berani
bertanyakan erti ayat-ayat itu kepadaku seolah-olah aku terlalu bodoh
dan kamu seorang terpelajar. Tetapi dengan ini nabi-nabi dulu tidak
dapat jadi Tuhan dalam erti sebenarnya kerana mereka itu tidak suci,
sedangkan Tuhan Jesus Kristus bersih dari dosa dan suci maka sebab
itulah dia menjadi Tuhan.”
“Kita tidak bercakap tentang dosa atau suci. Soalnya ialah Jesus
Kristus menamakan dirinya Tuhan serupa dengan nabi-nabi lain yang
menamakan diri mereka Tuhan. Jikalau Jesus Kristus benar-benar Tuhan
maka kita pun juga mesti mengakui bahwa nabi-nabi lain itu pun Tuhan.”
jawab Isabella. “Lagi pula dalam ayat itu Jesus Kristus menjawab tuduhan
orang-orang Yahudi. Kalau benar dia putera Tuhan maka ia patut menerima
tuduhan Yahudi itu.”
“Oh betapa hebatnya! Kamu kini telah menjadi ilmuwan besar sehingga kamu
mau meremehkan kami.” kata Michael. “Sudah jelas kini kamu telah
dipengaruhi. Jikalau Jesus Kristis itu bukan Tuhan tetapi manusia biasa
bagaimana dia boleh melakukan penebusan dosa bagi dosa kita semua.
Apakah ada manusia yg bebas dari dosa?”
“Saya tidak begitu faham bagaimana bapa membuat peraturan ini bahwa
tidak ada manusia yang suci meskipun dalam Injil Lukas bab 1 ayat 6 ada
kisah tentang Zakaria dan isterinya. Dalam Injil itu mereka berdua ada
disebutkan bahwa Zakaria dan isterinya Elizabet adalah benar di hadapan
Tuhan dan hidup menurut segala perintah dan ketetapan Tuhan dengan tidak
bercacat. Jadi, jelaslah bahwa Zakaria dan isterinya orang-orang suci
jikalau tidak perkataan ”tidak bercacat” itu tentu tidak ada makna.
Jadi, kesucian Kristus bukanlah satu perkara unik. Dia suci seperti
sucinya orang lain juga. Tentang masalah penebusan dosa ini juga tidak
terdapat bukti di dalam Injil, kerana tidak ada orang yang memikul beban
dosa orang lain apatah lagi memikul beban dosa seluruh manusia lalu
mati menderita di atas salib. Pada kenyataannya Jesus ada menyebut di
dalam Injil bahwa keselamatan diperoleh berdasarkan amalan bukan dengan
penebusan dosa, seperti yang tertulis di dalam Injil Matius bab 16 ayat
27: Anak manusia (Adam) akan datang dalam kemuliaan bapanya, diiringi
malaikat-malaikatnya, pada waktu itu dia akan membalas setiap orang
menurut perbuatannya. Dalam Injil Matius juga bab 19 ayat 16-20, Injil
Markus bab10 ayat 17-27, Injil Lukas bab 18 ayat 18-27 ada kisah tentang
seorang lelaki datang kepada Jesus dan bertanya: Guru, perbuatan baik
apakah yang harus kuperbuat untuk memperoleh hidup yang kekal?”
Jesus menjawab, “Apakah sebabnya engkau bertanya kepadaku tentang apa
yang baik? Hanya satu yang baik. Tetapi jikalau engkau ingin masuk
syurga turutlah segala perintah Tuhan.” Kata orang itu lagi, “Perintah
yang mana?” Jesus menjawab “Jangan membunuh, jangan berzina, jangan
mencuri, jangan mengucapkan saksi dusta, hormatilah ayahmu dan ibumu dan
kasihlah sesama manusia seperti dirimu sendiri.” Maka terbukti sekarang
daripada ayat-ayat itu bahwa jalan keselamatan hanyalah melalui amalan.
Kristus tidak berkata begini sebagai jawaban kepada pertanyaan orang
lelaki itu. “Kamu tidak payah lakukan apa-apa kerana aku akan melakukan
penebusan dosa untukmu.”
“Perempuan! Kau nampaknya seperti mahu mengajar aku,” kata Michael
menahan kemarahan, “apakah kau tidak percayakan aku lagi. Aku ialah
gurumu. Kamu mesti percaya semua kata-kataku. Kalau hanya dengan
kebijaksanaanmu saja kamu tidak dapat memahami masalah-masalah agama
yang sulit. Nah, perkara penebusan dosa akan kita bicarakan kemudian.
Sekarang kita selesaikan masalah ketuhanan Jesus Kristus dulu.
Orang-orang Islam juga percaya bahwa Kristus telah diangkat ke langit
hidup-hidup. Apakah ini bukan bukti tentang ketuhanannya? Jesus telah
memperlihatkan mukjizat-mukjizat yang agung. Dia menghidupkan orang
mati, memberi celek kepada orang yang buta. Bukankah perkara-perkara ini
membuktikan ketuhanannya? Perkara yang utama ialah kamu mesti lebih
dulu menerima atau menolak ketuhanan Jesus kemudian baru kita bercakap
perkara lain.”
“Soal penebusan dosa tuan dulu yang memulakannya dan saya ikut
membincangkan saja. Kalau Jesus Kristus boleh menjadi Tuhan kerana
dibawa ke syurga hidup-hidup maka Elia juga patut menjadi Tuhan. Sebab
menurut Injil dia juga dibawa hidup-hidup ke syurga.* Tentang Jesus
menghidupkan orang mati dan memberi celek kepada orang yang buta, maka
itu pun belum boleh dijadikan bukti yang dia adalah Tuhan sebab
nabi-nabi lain juga ada memperlihatkan mukjizat mereka seperti yang
sudah jelas disebutkan di dalam Injil. Kalau mukjizat serupa itu boleh
menjadikan dia Tuhan, maka nabi-nabi lain juga Tuhan, tentunya.” kata
Isabella.
*lihat 11 Raja-Raja bab 2:1-8 ‘Elia Naik ke Syurga’
“Lihat! Betapa pandainya budak perempuan ini menipu.” kata Peter.
“Hai perempuan bodoh! Mukjizat yang ditunjukkan oleh nabi-nabi lain itu
bukanlah kekuasaan mereka sendiri tetapi kekuasaan yang diberikan Tuhan.
Mukjizat Kristus adalah dari kekuasaannya sendiri, yang menunjukkan
bahwa dia adalah Tuhan.”
“Mukjizat bukan bukti kenabian apalagi mahu disebut sebagai ketuhanan,”
jawab Isabella, “menurut agama Kristian bukan satu kemestian seseorang
yang melakukan mukjizat itu nabi. Jadi, kalau nabi saja masih belum
boleh dipanggil bagaimana pula dia mahu menjadi Tuhan. Jesus pernah
berkata: “Saya dengan berterus-terang memberitahu kamu, barangsiapa
beriman dengan saya, juga akan ikut membuat amalan seperti saya beramal,
malah lebih hebat lagi*. Tentang dakwaan tuan bahwa mukjizat Kristus
adalah kekuasaannya sendiri, sementara yang lain didapati dengan
paksaan, ini juga dakwaan yang salah. Kitab Injil telah membuktikan
bahwa tidak saja dalam melakukan mukjizat, dalam semua perkara yang lain
pula pun Jesus tidak berdaya seperti nabi-nabi yang lain juga. Kerana
apabila Jesus mahu melakukan mukjizat dia lebih dulu memohon bantuan
daripada Tuhan. Dalam mukjizat roti dan ikan, dia menengadah ke langit
dan mengucap berkat*, meminta pertolongan Tuhan dan ditempat lain pula
dia berkata, “Jenis ini tidak dapat diusir kecuali dengan berdoa.” Jesus
menyembuhkan orang tuli. Dia masukkan jarinya ke telinga orang itu lalu
dia meludah dan meraba lidah orang itu kemudian menengadah ke langit
Jesus menarik nafas. Jadi, dia berdoa juga kepada Tuhan*. Jadi dari
Injil sendiri ada bukti bahwa Kristus serupa juga dengan orang lain,
tidak ada kuasa untuk berbuat sesuatu. Kalau dia benar-benar Tuhan
tentulah dia tidak terlalu lemah untuk berbuat sesuatu dan meminta
bantuan daripa orang lain. Sebagai Tuhan maka dia bebas melakukan apa
saja seperti Tuhan yang Maha Berkuasa.”
* Injil Jonah, bab 14:12 *Injil Matius, bab 14:13-21; Markus
6:30-44; Lukas 9:10-17; Yoh 6:1-13 * Injil Markus 9:29
*Injil Markus 7:31-35
Isabella lalu mengambil Injil dan membuka.
“Jesus Kristus berkata: Kerana bapanya telah bersenyawa di dalam dirinya
dan bapanya juga memberikan kepadanya kekuasaan untuk melakukan
keadilan kerana dia dilahirkan sebagai manusia*. Malah nyawa Jesus
Kristus juga bukan haknya sendiri tetapi diberikan oleh Tuhan dan Tuhan
pula yang memberikan kekuasaan kepadanya untuk melakukan keadilan. Tanpa
rahmat Tuhan, keadilan apapun tidak dapat dilakukan olehnya. Hujah
saya, Jesus adalah manusia dan manusia tidak akan dapat berbuat sesuatu
tanpa pertolongan Tuhan. Di tempat lain Jesus pernah berkata: Saya tidak
dapat berbuat apa-apa sendirian, saya berbuat keadilan seperti yang
saya dengar dan pengadilan saya adalah adil*. Selanjutnya dia berkata:
Saya datang dari syurga bukan mahu berbuat menurut sesuka hati saya
tetapi berbuat menurut arahan orang yang mengirim saya ke mari. Nah,
itulah bukti-bukti bahwa Kristus seorang yang tidak berdaya seperti juga
manusia yang lain dan bergantung kepada orang lain tidak boleh menjadi
Tuhan, maka Jesus juga bukan Tuhan*.”
*lihat Injil Jonah 5:26-27 * lihat Injil Jonah 5:30 *lihat Injil Jonah 16:38
Tidak saja Peter dan Michael yang terperanjat mendengar hujah-hujah
Isabella yang lancar itu tetapi rahib yang seorang lagi pun seperti kelu
lidahnya, tidak dapat mencelah sedikitpun. Hanya sesudah Isabella
berhenti barulah mereka itu tersentak sedar dari pesona. Peter dengan
cepat berkata sambil memandang kepada Michael.
“Nah, anda lihat betapa keras sudah anak ini. Orang-orang Islam telah
mengajarnya untuk petah berkata-kata. Apakah anda masih berharap dia
akan kembali ke jalan yang lempang? Saya fikir tidak ada gunanya lagi
kita berhujah dengannya kerana imannya sudah hilang dan dia sudah
menjadi ingkar.”
“Saya yakin dia telah berada di bawah kekuasaan syaitan.” jawab Michael.
Dia lalu berpaling kepada Isabella. “Semua hujah yang kamu katakan itu
telah ada jawaban yang jelas dan kamu telah pun membacanya di dalam
pelajaran teologi. Ada juga jawaban yang kamu tidak akan faham sama
sekali. Dan sekarang, saya tidak mahu menjawab semua pertanyaanmu itu
sebaliknya saya mahu tahu apa pendapatmu yang sebenarnya mengenai agama
Kristian supaya mudah kami membuat keputusan tentang dirimu. Kamu telah
menerangkan dengan jelas tentang pendapatmu mengenai ketuhanan Kristus
dan penebusan dosa. Nah, ada apa-apa lagi yang akan kamu tambah.”
“Saya tidak pernah menafikan Kitab Injil dan Jesus Kristus. Tetapi apa
yang saya katakan ialah menurut ajaran Injil tidak ada bukti bahwa Jesus
itu Tuhan dan tidak ada alasan yang munasabah tentang penebusan dosa.
Semua itu hanyalah rekaan orang-orang Kristian saja.” jawab Isabella.
“Jadi maksudmu semua penganut Kristian penipu dan semua penganut
Kristian telah bersatu menentang Kitab Suci Injil?” Michael mengherdik.
“Gadis terkutuk isi neraka! Kalau au tidak dapat memahaminya, terima
saja keputusan yang telah dibuat oleh ketua-ketua agama. Bapamu yang
menjadi ketua paderi mempunyai kuasa penuh untuk mengampunkan dosa,
apakah dia juga menganggap semua ini salah? Apakah semua paus, rahib,
alim ulama Kristian dan hamba abdi agama Kristian berjalan di jalan yang
salah?”
Isabella sedikitpun tidak terpengaruh dengan herdikan Michael, malah
dia dengan tenang menjawab, “Seperti Kitab Injil yang tidak membuktikan
ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka serupa itulah pula agama
Kristian dari orang-orang yang mengaku Kristian hari ini tidak wujud
menurut Injil. Oleh sebab itu pendapat mereka tidak dapat saya terima
sebagai bimbingan.”
“Hebat sekali!” kata Michael. “Kami sekarang semuanya penganut-penganut
Kristian yang palsu dan tidak wujud sedangkan kamu adalah penganut
Kristian tulen dan sejati. Gadis malang! Ke manakah sudah pergi
fikiranmu yang waras? Kamu telah membuang orangtuamu. Tunjukkan bukti
bahwa kami ini bukan Kristian sejati?”
“Tidak ada sebab bapa mesti naik darah.” ujar Isabella. “Perkara ini
sudah cukup jelas. Andaikata bapa dapat membuktikan dari Injil bahwa
penganut-penganut Kristian zaman moden ini benar-benar Kristian maka
saya dengan seluruh jiwa raga akan menerima keputusan itu dan tidak akan
mengemukakan hujah apa pun jua terhadap mereka menurut Injil. Jadi,
bapa buktikanlah menurut Kitab Injil bahwa orang-orang Kristian sekarang
adalah Kristian tulen.”
“Di seluruh dunia ada orang Kristian dan kamu berani mengatakan bahwa
mereka itu bukan Kristian menurut Kitab Injil. Apakah ada bukti lain
lagi? Bukankah ini sudah bukti yang cukup bahwa kami beriman Injil,
berimankan ketuhanan Jesus dan penyalibannya?” kata Michael.
“Tidakkah orang-orang Islam itu percaya Kitab Injil?” tanya Isabella.
“Bolehkah bapa mengatakan bahwa mereka itu juga penganut Kristian?
Tentang kepercayaan kepada ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka itu
bukanlah hujah-hujah akan keagamaan Kristiannya. Sebaliknya ia
membuktikan bahwa orang itu bukanlah penganut Kristian sama sekali
kerana tidak ada garis-garis kepercayaan serupa itu di dalam Injil.”
“Kau gadis tak berguna!” sampuk Peter. “Kenapa kamu menimbulkan keraguan
kepada agama Kristian kami? Kalau kami ini bukan Kristian cuba kamu
tunjukkan Kristian yang sebenarnya. Katakan saja di mana di dunia ini
orang-orang Kristian sejati dan tulen itu ada.”
“Bapa boleh marah sebanyak mana yang bapa suka,” kata Isabella, “tetapi
yang benar itu tidak dapat bapa sembunyikan. Kalau bapa mahu buktinya
dari saya maka saya dengan tulus ikhlas mengatakan bahwa orang-orang
Kristian sekarang ini bukanlah penganut Kristus sama sekali dan tentang
siapa yang boleh menjadi penganut Kristian tulen saya bersedia
membuktikannya menurut Kitab Injil sendiri.”
“Gadis terkutuk!” Michael menjerti. “Kenapa kau membebel-bebl saja? Kenapa tidak tunjukkan bukti-buktinya?”
Isabella tersenyum kecil yang menyebabkan paderi-paderi itu menjadi bertambah jengkel dan sakit hati melihatnya.
Dengan tenang dia mengambil Injil sambil berkata, “Cuba dengar baik-baik
tentang tanda-tanda penganut Kristian yang sebenarnya.”
Isabella lalu membaca Injil Markus pada bab 6 ayat 17 dan 18: “Dan di
antara manusia yang beriman maka mukjizat-mukjizat ini akan berlaku:
Mereka akan mengusir roh jahat dengan menyebut namaku, mereka akan
bercakap dengan bahasa baru, mereka akan memegang ular, mereka tidak
akan terkena bisa kalau meminum benda-benda yang boleh membawa maut,
mereka akan meletakkan tangan ke atas orang sakit dan menyembuhkan
penyakitnya.”
Isabella kemudian membuka pula Injil Matius pada bab 16. “Ini tanda-tanda penganut Kristian yang beriman.”
Dia lalu membaca ayat 16 hingga 20. “Pengikut-pengikut mendekati Jesus
dan berkata: Kenapa kami tidak dapat mengusir roh-roh jahat itu? Dia
menjawab kerana kecacatan dalam imanmu kerana terus terang aku katakan
kalau padamu ada iman walaupun sebesar atom dan kamu menyuruh gunung itu
pindah dari tempatnya, dia akan pindah dan tidak ada yang mustahil
bagimu. Nah,” kata Isabella, “Daripada kedua-dua kutipan Injil ini, ada
enam tanda Kristian yang sudah dipastikan:
1. Mengusir keluar roh jahat. 2. Bercakap dengan bahasa baru tanpa
mempelajarinya. 3. Memegang ular yang berbisa. 4. Meminum racun tanpa
memudaratkan diri. 5. Menyembuhkan penyakit dengan sentuhan tangan
dan 6. Mengubah gunung dari tempatnya. Jadi, barangsiapa yang mengaju
menjadi Kristian mestilah dapat membuktikan bahwa keenam-enam tanda ini
ada di dalam dirinya. Sekarang, bapa adalah seorang Kristian, kita tolak
sebelah dulu keenam-enam tanda itu dan sembuhkan seorang sakit dengan
sentuhan tangan bapa, gunung tentu tak mungkin bapa pindahkan tetapi ini
ada seketul batu. Cuba gerakkan saja kira-kira 10 atau 20 meter, maka
kekristianan bapa telah dibuktikan oleh Injil.”
“Memang benar semuanya itu ada disebutkan di dalam Injil tetapi
tunjukkan pula tempat yang mengatakan sesiapa yang tidak melakukan
mukjizat itu bukan Kristian? Selain daripada itu, tanda-tanda tersebut
hanya khas kepada pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu saja
bukan kepada semua orang.”
“Kedua-dua keterangan bapa itu salah.” kata Isabella. “Dalam Injil sudah
jelas dinyatakan bahwa setiap orang Kristian walaupun imannya sebesar
atom, boleh dapat memindahan gunung kalau dikehendakinya, diikuti dengan
sesiapa yang tidak ada iman walaupun sebesar atom tidak akan dapat
memindahkan gunung. Dan juga salah mengatakan bahwa tanda-tanda ini
hanya khas untuk pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu kerana di
dalam Injil ada disebutkan dengan jelas bahwa mukjizat ini diberikan
kepada semua orang yang beriman. Kalau tanda-tanda ini hanya dikhususkan
kepada pengikut-pengikut Kristus saja, maka keimanan pun hanyalah
kepada pengikut-pengikut itu saja yang bererti tidak ada Kristian tulen
yang dilahirkan sesudah pengikut-pengikut itu.”
“Kau gadis malang!” ujar Peter. “Itulah sebabnya telah kukatakan
bahwa kamu tidak dapat memahami misteri dan inti erti Injil. Gadis
bodoh! Mukjizat itu ada kaitannya dengan masalah-masalah rohani iaitu
dengan sebutan penyakit ertinya penyakit rohani, racun bererti kufur
yang dimaksudkan kepada orang-orang Kristian walaupun mereka diserang
oleh orang-orang kafir, mereka tidak akan berganjak dari keimanannya dan
begitulah seterusnya.”
“Fikir dulu masak-masak sebelum bapa menjawab,” kata Isabella, “bapa
kata saya bodoh tetapi topik itu mungkin tidak padan dengan bapa. Dengar
kata Jesus Kristus seperti tertulis dalam Injil Jonah 14:12 ini.
Barangsiapa beriman dengan aku akan melakukan kerja yang aku lakukan.
Jadi, Kalau mukjizat itu ditafsirkan sebagai masalah rohaniah
semata-mata maka kesimpulannya ialah Kristus tidak menghidupkan yang
mati, juga tidak mencelekkan mata yang buta, juga tidak menyembuhkan
yang sakit tetapi dia cuma menyembuhkan rohaniah yang mati, roh jahat
dan mebina di dalamnya cahaya keimanan. Tetapi bapa-bapa tidak mahu
mengaku interpretasi tentang Kristus serupa ini, jadi mengapa pula
bapa-bapa reka tugas baru untuk orang lain? Kristus berkata ‘kerja yang
aku lakukan’, jadi apa yang dilakukan olehnya dalam bentuk bagaimanapun
juga, penganut-penganut Kristian mesti ikut melakukannya dan dalam
bentuk yang sama pula, kalau tidak mereka itu tidak beriman.”
“Memang susah mahu membuat gadis yang ingkar ini mengerti.” kata Peter.
“Ubatnya bukan lagi dengan desakan tetapi seksaan yang sama yang
dilakukan oleh inquisisi*.”
Kemudian Peter berkata kepada Michael “Anda usir dia dari rumah ini dan
beritahu bapanya yang suci bahwa dia sudah tidak dapat diubati lagi.
Cara lain mesti dilakukan.”
Dengan mengucapkan kata-kata itu, Michael dan Peter bangun dari kerusi lalu masuk ke dalam bilik sebelah untuk berbincang.
Setelah bapanya dan Peter masuk ke bilik sebelah, Mirano pun segera
menemui Isabella dan menasihatinya supaya meninggalkan rumah itu
seberapa cepat yang boleh, kalau tidak dia pasti akan mendapat kesusahan
besar. Sebelum Isabella keluar mereka lebih dulu berjanji akan berjumpa
di Taman Cordova pada petang itu untuk memikirkan tindakan selanjutnya
yang akan mereka lakukan. Setelah berteguh-teguhan janji, Isabella pun
segera keluar dari rumah Michael, lalu terus pulang ke rumahnya. Dalam
masa dia menghayun langka, fikirannya melayang ke rumahnya. Apa gerangan
yang akan menunggunya di sana? Bagaimanapun ketika dia sampai, ibunya
menyambut dengan muka manis dan memaksanya makan sedikit. Setelah makan,
Isabella meminta izin kepada ibunya untuk masuk ke dalam bilik.
Fikirannya agak runsing sedikit, sehingga dia tidak dapat berfikir apa
yang patut dilakukan pada waktu itu. Jadi, sementara menunggu hari
petang, dia berlengah-lengah di tempat tidurnya. Dia melihat
perpustakaannya yang penuh dengan berbagai-bagai buku dan barang-barang
miliknya dengan perasaan sayu. Dia kemudian melayangkan pemandangan ke
setiap sudut bilik itu. Fikiran berkelana jauh. Apakah dia akan
ditakdirkan tinggal di situ lagi atau ada orang lain yang akan menempati
dan menggunakan semua buku dan barang-barangnya? Kemudian bawahsedarnya
berkata: Biarlah sesiapa pun membaca bukunya dan menggunakan
barang-barang miliknya, tinggal di bilik itu, dia akan pergi mencari
kebenaran yang kini sudah dapat dicapai puncanya. Allah akan
membimbingnya. Rasa syukur tidak terkira banyaknya kepada Dia yang telah
menganugerahkan kepadanya nikmat kebenaran yang begitu besar dan tidak
ada yang lebih besar daripada itu. Beribu-ribu buah rumah serupa itu
boleh dikorbankan demi untuk memperoleh rahmat Islam. Sambil
berkata-kata, Isabella lalu duduk bertelut di lantai. Kemudian, dia
melakukan sujud syukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa.Petang
pun menjelang tiba setelah ditunggu dengan penuh harapan oleh Isabella.
Memang nasibnya baik, pada masa itu ibunya sedang sibuk membuat sesuatu
urusan di dalam biliknya. Isabella pun keluar perlahan-lahan menuju ke
rumah gurunya, Michael. Dia mendapati Mirano sudah siap menunggu. Mereka
lalu berjalan bersama-sama menuju Taman Cordova. Di dalam perjalanan,
Mirano dalam diam-diam memperhatikan perubahan pada diri sahabatnya.
Wajahnya murung tidak seperti biasa.
“Isabella,” ujar Mirano, “aku lihat anda di dalam kesusahan besar. Kenapa? Karena anda mau berpisah dengan keluarga?”
“Aku di dalam keadaan yang sulit setelah pulang dari rumah anda tadi.”
jawab Isabella. “Waktu aku hendak keluar kalau tidak karena ibuku sibuk
di biliknya, aku tentu tidak dapat memenuhi janji kita ini. Tuhan saja
yang mengetahui apa yang akan dilakukan olehnya. Tetapi sekarang dengan
rahmat Allah, aku tidak khuatir lagi. Aku sudah bersedia menghadapi apa
jua percubaan demi kebenaran.”
“Isabella,” kata Mirano, “aku sangat kagum dengan anda. Anda telah
memberikan pukulan yang hebat waktu menjawab hujah-hujah bapaku dan
Peter. Mereka semua tercengang-cengang, tidak dapat menjawab. Hairannya,
hujah-hujah anda semuanya berdasarkan Kitab Injil.”Mereka sudah sampai di taman dan di sana sahabat mereka, Catherine dan Martha, sedang menunggu.
“Dari jauh kami melihat anda berdua sangat asyik bercakap.” tegur Martha. “Bolehkah kami ikut tahu sama?”
“Kami bercakap tentang perbahasan Isabella dengan bapaku dan Peter pagi tadi.” jawab Mirano.
“Bapamu dan paderi tua itu seperti tidak dapat berhujah dengan
Isabella.” kata Martha. “Rahib yang seorang lagi itu siapa agaknya? Dia
diam saja.”
“Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini.” kata Isabella.
Pada waktu itu barulah mula terfikir olehnya tujuan rahib itu ikut serta mendengar perbahasan. Air mukanya pun berubah.
“Kenapa muka kau pucat tiba-tiba?” tanya Mirano.
“Oh, tidak ada apa-apa.” jawab Isabella cuba menyembunyikan kebimbangannya. “Apa yang kau mau katakan tadi, Martha?”
“Aku hairan,” ujar Martha yang tidak sedar akan perubahan pada wajah
Isabella. “walaupun mereka itu telah terpukul begitu hebat, mereka masih
tetap tidak mahu mengaku.”
“Mereka mungkin tidak mengaku dengan lidah tetapi aku percaya hati kecil
mereka membenarkannya.” jawab Mirano. “Sesudah kalian meninggalkan
rumahku tadi, aku mendengar bapaku berkata kepada Peter bahwa memang
benar tidak ada bukti tentang ketuhanan Kristus di dalam Injil. Tetapi
biar bagaimanapun kita terpaksa patuh kepada keputusan gereja, kata
bapaku. Aku nampak Peter terpengaruh dengan ketegasan hujah-hujah anda
karena dia berkata semua hujah-hujah anda itu cukup kuat.”
“Dalam perbahasan pagi tadi, Islam terbukti agama yang benar, sementara
agama Kristian tidak ada apa-apa kecuali kesesatan saja.” kata Martha
seperti mengeluh.Setelah mereka duduk di suatu tempat yang agak terpencil dari orangramai, Mirano lalu bertanya kepada Isabella.
“Apakah anda sudah membuat keputusan mahu meninggalkan bapa, mama,
adik-adik dan abang-abang dan kaum keluarga serta kehidupan selesa serba
mewah? Dan apakah tindakan anda kalau bapa anda berkeras mau
menyerahkan anda kepada inquisisi?”
Mendengar pertanyaan Mirano itu, Martha dan Catherine memandang muka
Isabella sambil menunggu jawaban dengan hati yang berdebar-debar
walaupun jawabannya itu telah mereka duga dari awal. Isabella memegang
bahu Mirano sambil memandang muka Martha dan Catherine.
Dia berkata dengan suara yang tetap dan perlahan, “Aku kini telah
membebaskan diriku daripada semua fikiran yang bukan-bukan. Allah telah
menganugerahkan kepadaku nikmat Islam dan Dia juga akan membimbing aku
menjalani hari depanku serta tidak akan mensia-siakan niat yang baik.
Aku menemui ketenangan yang luarbiasa daripada ayat-ayat Al-Quran yang
maksudnya begini: Barangsiapa yang takut akan Allah, maka Allah akan
menunjukkan kepadanya jalan keselamatan dan akan memberikan kepadanya
rezeki dari tempat yang sama sekali tidak disangka-sangkanya.”
Ketiga-tiga sahabatnya diam terpegun mendengar kata-katanya. Sejurus
lamanya, apabila tidak ada yang berkata-kata, Mirano memecah kesepian
dengan bertanya, “Anda berjanji akan membawa kami menemui Ziad bin Umar
dan kawan-kawannya. Bila?”
Isabella seperti tersentak. “Kalau kita mahu pergi ke sana, kita mesti
pergi lebih awal sedikit. Jadi, lebih banyak ilmu yang kita dapat dan
tidak akan terlalu lewat pulang ke rumah.”
“Anda mahu memberitahu kepada Ziad tentang perbahasan anda pagi tadi?” tanya Mirano.
“Ya. Kenapa pula tidak?” balas Isabella. “Nah, mari kita bertolak
sekarang dan sampai di sana waktu solat isyak. Kita duduk kira-kira satu
jam sebelum kita pulang.”
Isabella dan sahabat-sahabatnya keluar dari Taman Cordova. Mereka
mengambil jalan yang menuju ke masjid besar Cordova. Dalam perjalanan,
Isabella memberitahu sahabat-sahabatnya bahwa walaupun pada batinnya dia
sudah menjadi Islam tetapi dia belum lagi secar rasmi menganutinya. Dia
akan memeluk agama itu melalui Ziad bin Umar. Dengan demikian, Allah
akan lebih menguatkan lagi imannya, memberi dia keberanian dan seluruh
jiwaraganya akan diserahkan kepada Allah. Semua sahabat-sahabatnya
sangat gembira dan mengucapkan tahniah di atas niatnya yang baik. Mereka
lebih dulu singgah di rumah Umar Lahmi yang bersambung dengan tempat
kediaman Ziad bin Umar. Kedatangan mereka telah diberitahu kepada Ziad
oleh Umar Lahmi.
Selesai solat isyak, maka berhimpunlah cerdikpandai, alim ulama, para
pengikut , ahli Hadis, penyair, penulis, ahli akademik dan para
cendekiawan. Setelah bertukar-tukar khabar, Umar Lahmi meminta kebenaran
Ziad untuk menjemput anak-anak gadis yang sedang menunggu di rumahnya.
Ziad dengan segera memberi persetujuan. Anak-anak gadis itu pun dibawa
ke hadapannya. Mereka masuk dengan penuh hormat dan tertib.
Masing-masing mengambil tempat duduk di atas hamparan agak jauh sedikit
di hadapan Ziad bin Umar. Setelah bertanyakan khabar tentang keadaan
mereka, Isabella pun menceritakan kisah perbincangan dengan bapanya,
ketua paderi dan lain-lain paderi serta kisah perbahasan dengan gurunya,
Michael dan Peter tentang masalah lain dan hujah-hujah yang dikeluarkan
olehnya. Para hadirin menyambut keterangannya itu dengan perasaan
gembira dan mereka mengucapkan tahniah di atas keberanian Isabella.
Mereka turut mengagumi ilmunya yang luas.
“Tuan yang dihormati,” kata Isabella kepada Ziad sesudah itu, “perkara
ini sudah pun berlaku dan akibatnya akan kita lihat kemudian tetapi
sekarang saya mohon tuan Islamkan saya secara rasmi supaya saya dapat
ikut dalam persaudaraan Islam sedunia, yang mengimankan Allah yang Esa.”
Mendengar permohonan Isabella itu, Ziad pun memanggil Isabella supaya
dekat dengannya. Disuruh Isabella membaca kalimah syahadat yang memang
sudah lancar dihafal oleh Isabella. Seluruh hadirin menadah tangan
sambil berdoa dengan penuh keikhlasan agar Isabella diteguhkan iman dan
menjadi hamba yang berbakti.
“Anakku,” ujar Ziad setelah selesai doa diaminkan, “kini kamu telah
rasmi menjadi umat Muhammad, penganut Islam. Maka sebagai wanita Islam,
tutuplah kepalamu. Menurut ajaran Islam, wanita-wanitanya mesti selalu
melindungi wajah dan mengerjakan solat lima kali sehari yang diwajibkan
ke atasmu. Kamu tidak boleh meninggalkannya walaupun dalam keadaan yang
bagaimana juga kerana ia adalah pintu kebahagian.”
Kemudian Ziad memandang kepada sahabat-sahabat Isabella. “Jadi, inilah kawan-kawanmu?”
“Ya, tuan.” jawab Isabella berpaling memandang sahabat-sahabatnya yang
sedang duduk dan takjub dengan perhimpunan yang dirasakan amat berlainan
dengan perhimpunan alim ulama agamanya.
“Itu Mirano, anak guru saya, Michael. Yang satu lagi Martha dan Catherine. Hanana tidak datang.”
“Apakah mereka masih ragu terhadap Islam?” tanya Ziad.
“Mereka tidak sedikit pun meragui akan kebenaran Islam dan seperti saya,
mereka telah mempercayainya. Bila dikehendaki Allah, mereka dengan
rasmi akan menyatakan keislaman masing-masing. Mirano barangkali ada
yang mahu ditanyakan dan semuga saudara Umar Lahmi dapat menolongnya.
Dia akan datang ke mari selalu untuk belajar.”
“Nampaknya sikap bapa saudara akan semakin keras terhadap saudara.
Tidak menghairankan kalau satu masa nanti saudara diserahkan kepada
inquisisi.” kata Umar Lahmi. “Michael dan Peter tentu telah melaporkan
kepada bapa saudara. Bapa saudara tentu sudah bersikap antagonis
sekarang ini. Apa yang telah saudara fikirkan tentang hal ini?”
“Saya fikir pun begitu. Waktu perbahasan pagi tadi, ada seorang rahib
tua yang ikut serta. Saya fikir dia dari panel inquisisi. Allah lebih
mengetahui apa yang akan terjadi. Saya telah menyerahkan masalah saya
kepada Allah. Namun kalau bapa saya terlalu menekan, ada kemungkinan
saya pindah ke rumah tuan.” jawab Isabella.
“Saudara boleh pindah ke mari bila-bila masa saja.” jawab Umar Lahmi.
“Bagaimanapun saudara terpaksa melakukannya pada suatu hari nanti kerana
orang-orang Kristian itu agak kolot sikapnya, mereka akan menekan
saudara dan tidak akan membiarkan bebas begitu saja apabila mereka
mengetahui saudara telah memeluk Islam.”
Isabella berkata kepada Ziad bin Umar, “Tuan yang mulia. Doakan saya
agar Allah memberikan ketabahan dan kesabaran. Sekarang saya minta izin
pulang dulu.”
Ziad bin Umar dan semua hadirin mengucapkan selamat jalan kepada
Isabella dan sahabat-sahabatnya sambil memanjatkan doa agar mereka
sentiasa di dalam perlindungan Allah.
Setelah meninggalkan rumah itu, Isabella dan sahabat-sahabatnya
pulang ke rumah masing-masing sambil berteguh-teguh janji akan bertemu
lagi. Apabila sampai di rumah, ibunya menunggu seperti biasa dan tidak
banyak bertanya. Mereka lalu makan bersama-sama. Setelah selesai,
Isabella meminta izin masuk ke biliknya.
Isabella tidur di dalam biliknya yang terletak di salah satu sudut
rumah. Lama sebelum fajar menyingsing, dia telah terbangun. Dia tidak
keluar dari bilik. Waktu sedang berbaring-baring, kedengaran suara azan
sayup-sayup dari menara masjid besar Cordova. Mendengar laungan Allahu
Akhbar! Allahu Akhbar! membuat hatinya menjadi terharu. Kebesaran dan
kehebatan Allah, kekuasaanNya menyelinap masuk ke dalam hati,
menimbulkan rasa takut sehingga tanpa disedari airmatanya meleleh jatuh.
Dia lalu turun berlutut di lantai dan mencecahkan dahi ke lantai,
bersujud kepada Maha Pencipta bumi dan langit.
“Oh Allah. Berikanlah kepadaku kasihMu dan juga kepada orang-orang yang
mendapat rahmatMu. Oh Allah. Limpahkanlah cahaya Islam dan tauhid ke
dalam hatiku dan jadikanlah ketaatanku kepada RasulMu sebagai jalan
hidupku. Oh Allah. Aku bersyukur kepadamu kerena telah menjadikan aku
salah seorang pengikut Rahmat Dunia. Oh Allah. Cucurilah hidayat kepada
ibubapaku, keluargaku dan semua orang-orang Kristian dan mereka yang
sesat dari rahmat Islam. Berilah kami semua hidup dan mati dalam agama
Islam. Oh Allah. Makbulkanlah doa hambamu yang tertekan ini kerana
Engkau Maha Mengetahui dan Maha Melihat.”
Setelah mengucapkan doa itu, Isabella merasa dadanya menjadi ringan
seolah-olah suatu beban yang berat sudah terangkat dan hatinya menjadi
terhibur. Dia menemukan suatu perasaan yang penuh dengan kesabaran,
kegigihan dan rasa gembira yang amat sangat. Dia terlalu gembira kerana
telah dapat memiliki kekayaan Islam dan dengan itu dia tidak lagi merasa
takut kerana tauhid telah mengikis semua rasa takut yang ada dalam
dirinya kecuali takutkan Allah saja.
Ibu Isabella tidak begitu peramah pada pagi itu. Dia tidak bersarapan
bersama-sama anaknya seperti biasa. Isabella sudah menduga bahwa
perbahasan antaranya dengan Peter dan Michael telah pun sampai ke
pengetahuan bapanya. Mereka tentu telah menyakinkan bapanya bahwa dia
sudah murtad dan semua pintu untuk membujuknya kembali dalam pelukan
agama Kristian telah tertutup rapat. Dalam keadaan gelisah, Isabella
menunggu kepulangan bapanya dari gereja; menunggu hukuman yang akan
dikenakan ke atasnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar