Pada
pagi Isnin, para paderi mula datang ke gereja besar. Pada hari itu juga,
bersama-sama Isabella, ikut hadir perempuan-perempuan Kristian yang
ingin mendengar perbincangan. Ruang sembahyang gereja sudah penuh dengan
penonton lelaki dan perempuan, tua dan muda. Di meja panjang yang
berhampiran dengan podium tempat paderi besar membaca khutbah sudah
duduk para paderi yang ikut di dalam perbincangan hari kelmarin,
diketuai oleh paderi tua Peter dan pembantu kanannya, Michael. Isabella
ikut bersama-sama mereka. Tepat
jam delapan, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya muncul di pintu depan
gereja. Selain daripada Maaz dan penyokong-penyokong yang ikut dalam
perbincangan pada hari kelmarin yang memang sudah dikenali, ada beberapa
orang muka baru. Ini membuat para paderi bercakap berbisik-bisik sesama
sendiri. Mereka kelihatan agak gusar tetapi tidak dihiraukan oleh Umar
Lahmi. Dia segera mengambil tempat duduknya berhadapan dengan
paderi-paderi itu.
Sebaik saja selesa duduknya, Umar Lahmi pun berkata, “Kelmarin kita
telah membuat keputusan akan berbahas pada hari ini mengenai ketuhanan
Kristus dan penebusan dosa. Oleh sebab agak sukar mahu membincangkan
kedua-dua masalah ini sekaligus maka ada baiknya kita bincangkan secara
berasingan.”
Peter segera menjawab, “Kedua-dua masalah ini sebenarnya satu dan saling
berkait. Jadi, tuan boleh pilih mana satu yang tuan suka.”
“Terima Kasih.” kata Umar Lahmi.
Dia lalu membaca beberapa ayat dari Surat Al-Furqan. Wajah Isabella
tiba-tiba berubah. Kulit mukanya yang putih bersih menjadi merah seperti
bunga raya kembang pagi. Bacaan Umar Lahmi terhenti apabila dia
mendengar ada benda yang jatuh tidak jauh dari tempat duduknya. Dia yang
sedang berpejam segera membuka mata dan dilihat sahabat Isabella sedang
menolong mengangkat Isabella duduk. Seluruh hadirin menjadi gempar dan
berdiri melihat ke depan.
Maaz membisikkan ke telinga Umar Lahmi memberitahu bahwa anak gadis
itu terlalu terpesona dengan ayat-ayat AlQuran yang dibacanya. Peter dan
Michael bukan main lagi terkejut melihat keadaan Isabella itu. Mereka
serentak bertanya sebab musabab terjadi serupa itu tetapi Isabella tidak
menjawab. Hanya beberapa titik airmata jatuh meleleh di atas pipinya
yang masih merah. Isabella cuba menenangkan dirinya dengan keadaan yg
agak payah. Dia memberitahu sahabatnya bahwa sejak bulan yang lalu dia
mendapat serangan tiba-tiba serupa itu. Dia memberi isyarat supaya
mereka jangan menghiraukan keadaannya. Mereka boleh meneruskan
perbincangan. Sebahagian daripada paderi yang duduk di meja
mencurigainya.
“Dia tidak apa-apa,” kata sahabat Isabella, “dia selalu mendapat serangan tiba-tiba serupa itu.”
Keterangan sahabat Isabella telah dapat mengikis sangkaan para paderi
bahwa Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam. Setelah berhenti
sejenak, Umar Lahmi menyambung bacaannya.
Dia berdiri lalu berkata, “Tuan-tuan, kami telah diberitahu bahwa asas
prinsip agama Kristen ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Jadi
saya ingin majukan satu pertanyaan yang boleh menghuraikan masalah
ketuhanan Kristus. Pertanyaan itu ialah: apa keperluannya yang khusus
maka ‘Putera Tuhan’ membuat pengorbanan bagi penebusan dosa? Kalau untuk
tujuan itu saja, orang alim yang lain juga boleh dipilih untuk
mengorbankan jiwanya sebagai ‘penebusan dosa semua orang yang berdosa’.
Apa sebab secara istimewa ‘Putera Tuhan’ telah disalib?”
Para paderi telah berbisik sesama sendiri, berbincang perlahan-lahan.
Sejurus kemudian, mereka memilih Peter untuk menjawab tetapi dia berada
dalam keadaan bingung. Namun sebagai sikap kebapaan, dia bangun juga
dan bercakap dengan lidah yang terketar-ketar.
“Untuk penebusan dosa, ‘Putera Tuhan’ diperlukan kerana orang lain baik
dia nabi atau rasul penuh dengan dosa. Orang yang ada dosa tidak dapat
menebus dosa orang lain. Kerana Tuhan Jesus Kristus satu-satunya ‘Putera
Tuhan’ dan bebas dari dosa maka dia dikorbankan untuk kepentingan semua
oang yang berdosa.”
“Baiklah,’ kata Umar Lahmi, “cuba terangkan apa yang disalib. Apakah
ketuhanan yang disalibkan untuk penebusan dosa ataupun kemanusiaan yang
ada pada Kristus? Jikalau ketuhanan Kristus yang disalibkan maka bererti
bahwa Tuhan yang tunggal dan tanpa sekutu itu memikul semua beban
seksaan penyaliban dan kematian datang ke atas peribadi Tuhan yakni
Tuhan sudah mati. Tetapi kalau kemanusiaan di dalam Kristus yang
disalib, jawaban tuan sudah hilang semua kekuatannya kerana kalau begitu
caranya maka penyaliban manusia adalah lebih cocok dan bukan Tuhan
kerana kedua-duanya menunjukkan akan kemanusiaan di dalam Kristus bukan
ketuhanannya yang dikorbankan.”
“Sudah tentu. Tuhan Jesus merupakan ketuhanan yang sempurna dan
kemanusiaan yang sempurna. Kedua-dua sifat ini terhimpun dengan baik di
dalam dirinya. Tetapi kemanusiaannya seperti juga dengan ketuhanannya
bebas daripada dosa dan sebab itu pengorbanannya amat perlu kerana
manusia lain semuanya bergelimang dosa. Dengan demikian mereka tidak
sesuai untuk penebusan dosa.” kata Peter.
“Itulah,” jawab Umar Lahmi, “kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini
yang bebas daripada dosa maka Tuhan sendiri terpaksa turun ke dunia dan
ketuhanannya tidak disalib tetapi kemanusiaannya. Andaikata seorang
manusia yang bebas daripada dosa diperlukan untuk menebus dosa, mengapa
Tuhan tidak cipta seorang manusia yg bersih sehingga tidak payah Tuhan
sendiri mati di atas tiang salib kerena penebusan dosa.”
Peter menjawab, “Tuhan saja yang mengetahui perkara yang ghaib. Kita
tidak boleh kata kenapa Dia tidak berbuat serupa itu dan kenapa Dia
sendiri datang ke duni untuk tujuan itu. Tetapi tentang hal ini, kami
tahu bahwa Tuhan datang ke dunia untuk menebus dosa untuk menunjukkan
kasihsayangNya yang agung terhadap kemanusiaan. Bahwa sayangnya Tuhan
kepada makhluNya sampai ke tingkatan mengutus putera tunggalNya untuk
menyerahkan nyawa sebagai galang ganti manusia-manusia lain. Tujuan ini
tentu tidak akan tercapai kalau hanya dengan mengutus orang lain.”
“Jikalau kasih sayang Tuhan sudah sedemikian besar kepada makhlukNya,
kenapa Dia tidak mengutus ‘puteranya’ itu awal-awal lagi untuk disalib?
Apakah tidak ada manusia sebelum Kristus yang patut dipedulikan oleh
Tuhan? Apa sebab Dia baru menunjukkan kasihsayangNya itu setelah
beribu-ribu tahun berlalu?” Umar Lahmi memajukan pertanyaan tanpa
melepaskan peluang.
Peter menjadi serba salah. Dia lalu cuba melepaskan dirinya dengan
menjawab, “Kita tidak tahu tentang keghaiban ini. Misteri Tuhan hanyalah
diketahui Tuhan saja.”
“Pertanyaan saya masih belum berjawab. Rujukan kepada keghaiban
berulang-ulang tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Nah, cuba katakan
saja, kalaulah hanya kerana kemanusiaan penyaliban itu dilakukan maka
kedatangan Tuhan ke dunia adalah sia-sia belaka. Orang lain pun boleh
dikorbankan juga.”
“Saya sudah menjawab,” ujar Peter, “manusia tidak dapat dijadikan
penebus dosa kerana dia sendiri bergelumang dengan dosa. Kemanusiaan
Kristus sesuai untuk penebusan dosa kerana dia adalah penjelmaan
kemurnian dan tidak berdosa.”
“Kerana kemanusiaan Kristus murni dan tidak berdosa maka dia menjadi
perlu untuk dipikulkan beban dosa seluruh manusia ke atas pundaknya.”
Umar Lahmi berhujah. “Tuan paderi yang mulia, logika tuan itu sedikit
pun tidak meyakinkan malah kepada tuan sendiri juga. Sekarang cuba
terangkan, apa salahnya jikalau ‘Putera Tuhan’ ini berbuat sesuatu yang
lebih baik yang boleh menebus dosa semua orang daripada dia dibebankan
dengan dosa-dosa itu? Dengan jalan itu, tidaklah payah Kristus yang
tidak berdosa memikul beban dosa orang lain, tidak perlu dia disalib dan
tidaklah timbul persengketaan tentang ketuhanan dan kemanusiaan.
Penawar bagi dosa ialah kebajikan, kedatangan Kristus ke dunia ini
sepatutnya membuat kebajikan-kebajikan sebagai penebus semua dosa dan
bukan membunuh dirinya untuk penebusan dosa.”
“Kita tidak dapat menasihati Tuhan. Dia berbuat apa yang disukaiNya.
Satu kekurangan ajar kalau mahu mencapai darjat Tuhan.” Peter menjawab.
Umar Lahmi tidak menghiraukan jawaban Peter yang kasar. Sebaliknya dia
berkata, “Tuan tahu bahwa Kristus dilahirkan dari rahim Maryam Perawan.
Nah, apakah kelahiran itu ada pertaliannya dengan manusia dan Tuhan
yakni apakah yang dilahirkan itu ‘Tuhan’ atau ‘manusia’?”
“Tuhan bebas daripada cacat kelahiran. Kemanusiaan di dalam Kristus itulah yang dilahirkan.” jawab Peter dengan nada gugup.
“Siapa yang mati di atas salib? Tuhan atau manusia?”
“Tuhan itu bebas dari cacat kematian. Manusialah yang mati di atas salib. Iaitu kemanusiaan Kristus.” jawab Peter lagi.
“Kalau begitu,” kata Umar Lahmi, “kelahiran dan kematian ada pertalian
dengan kemanusiaan Kristus dan bukan dengan ketuhanannya.”
“Benar. Memang benar.” jawab Peter dengan cepat dan bersungguh-sungguh.
Umar Lahmi lalu mencapa Kitab Injil yang terletak di hadapan Michael. “Maafkan saya. Saya minta pinjam sebentar.”
Michael tidak sempat menjawab, Kitab Injil itu sudah ada di dalam tangan
Umar Lahmi dan sedang membuka halamannya. Para paderi memandang
kejadian itu dengan perasaan terkejut dan tanpa berkata bertukar-tukar
pandangan antara satu dengan yang lain. Isabella semakin tertarik dengan
perjalanan perbincangan itu dan dengan diam-diam dia mengagumi
kepintaran dan keluasan ilmu Umar Lahmi.
Umar Lahmi membuka pada Injil Ayub bab 15:14.
“Cuba lihat, di sini ada tertulis ‘Masakan manusia bersih, masakan benar
yang lahir dari perempuan?’ dan kerana kelahiran itu bukan bersifat
ketuhanan tetapi kemanusiaan maka mengikut pendapat Ayub, kemanusiaan
Kristus juga bergelimang dosa.” Umar Lahmi membuka halaman lain pula.
“Dan lihat apa yang tertulis pada kitab Roma 6:23 bahwa ‘upah dosa ialah
maut’ yakni kematian ialah bukti bahwa yang mati itu penuh dengan dosa.
Oleh sebab itu timbul lagi pertanyaan: apakah sebab Tuhan tidak
menyalibkan orang lain yang berdosa supaya ketuhanannya dapat
diselamatkan? Selanjutnya, menurut tuan seseorang yang berdosa tidak
boleh menebus dosa orang lain, jadi jelaslah Kristus tidak sesuai untuk
penebusan dosa.”
Peter kelihatan rusuh dan peluh-peluh renik memancut keluar dari dahi dan pipinya.
“Saya telah katakan bahwa semua ini adalah perkara-perkara ghaib
ketuhanan. Tuhan berbuat apa yang disukaiNya. Bagaimana tuan atau saya
boleh mengkritikNya?”
Umar Lahmi dengan suara lantang yang dapat didengar oleh semua yang
hadir berkata, “Jikalau agama tuan hanya berdasarkan kepada keghaiban
ketuhanan saja, kenapa tuan jemput kami kemari, menghabiskan masa tuan
dan juga masa kami dengan sia-sia saja?”
Ucapan Umar Lahmi yang lantang itu telah menimbulkan keributan di
tempat penonton. Isabella yang memang menaruh minat kepada soal-soal
teologi, mendengar dengan penuh perhatian tiap-tiap patah perkataan yang
keluar dari mulut Umar Lahmi. Terguris di dalam hatinya rasa hairan
pada Peter Suci yang amat dihormatinya itu, kenapa apabila dia tidak
dapat menjawab sesuatu masalah yang ditimbulkan oleh lawannya, dia lalu
lari berselindung di balik tabir misteri ketuhanan. Keributan di tempat
penonton semakin menjadi-jadi. Mereka tidak sabar menunggu jawaban dari
paderinya tentang kata-kata Umar Lahmi yang agak pedas itu.
Tiba-tiba Michael bangun sambil memberi isyarat dengan tangannya supaya penonton berdiam diri.
Dia berkata, “Saudara-saudara. Hari ini ialah hari konfrontasi antara
agama Kristian dengan agama Islam. Saudara-saudara tentu telah tahu apa
itu agama Islam? Agama itu mewajibkan kahwin empat isteri. Membunuh
orang-orang bukan Islam tanpa memandang bulu dan Rasulnya kahwin dengan
sebelas perempuan dan …”
Umar Lahmi melompat bangun dan menentang Michael dengan kata-kata,
“Kalau tuan-tuan tidak dapat menjawab hujah saya katakan dengan
berterus-terang dan kemudian apa saja kritikan tuan-tuan terhadap Islam
boleh kemukakan, saya akan menjawab satu persatu.”
Dia kemudian membalikkan badan memandang kepada hadirin.
“Di mana letaknya moral tuan-tuan ini. Kami dipanggil kemari ke tempat
tuan-tuan, pertanyaan kami tidak dijawab sebaliknya mengeluarkan
kata-kata yang menghina.” Dia berpaling kepada Isabella, “Sekarang
katakan apakah sikap para paderi saudari ini wajar?”
Isabella dengan segera bangun dan dengan perkataan yang
terpatah-patah berkata, “Saya telah mengikuti perbincangan ini dari awal
sampai ke akhir. Saya merasa dukacita bahwa Bapa Suci Peter mahupun
Bapa Michael tida pernah dapat memberi jawaban kepada hujah-hujah yang
dikemukakan. Permintaan saudara Umar Lahmi adalah adil” Sama ada
pertanyaan-pertanyaan itu diberi jawaban yang meyakinkan ataupun mengaku
kalah saja. Tetapi saya berpendapat tuan-tuan tidak dapat melakukannya.
Jadi lebih baik perbahasan ini diselesaikan sekrang dengan ketentuan
bahwa agama Kristian tidak boleh dipersenda-sendakan dan betapapun juga
pengetahuan atau ilmu tuan-tuan tidak dapat menghuraikannya. Saya merasa
agak aneh bahwa …”
Isabella tidak sempat meneruskan kata-katanya kerana ditegur oleh Peter, “Kau ini sudah gila, bercakap merepek serupa itu.”
Peter kemudian berucap kepada para hadirin.
“Sudah pasti anak gadis ini diresapi oleh syaitan dan dia sudah tersisih
dari Kristus. Tidak hairan kalau dia sudah hilang ingatannya.”
Mendengar kata-kata Peter, timbul kemarahan di dalam hati Isabella. Dia tanpa segan silu lagi menjawab agak keras.
“Daripada bapa meluahkan perasaan bapa kepada saya yang hina ini
bukankah lebih baik bapa menjawab pertanyaan orang-orang Muslim itu
ataupun membatalkan saja perbahasan ini. Saya tidak berhajat menjawab
tuduhan yang ditimpakan kepada saya di sini tetapi kalau ini rupa hadiah
di atas keikhlasan saya maka saya lebih rela dituduh sebagai orang
gila.”
Michael yang merasa tersinggung dengan kata-kata Isabella segera menyampuk dengan suara yang keras.
“Tak bolehkah kau diam? Bercakap, bercakap dan bercakap tak berhenti.
Kami telah menjawab semua hujah-hujah orang Muslim. Kalau kau berani
cubalah maju ke depan dan jawab.”
Paderi gemuk pula bersuara, “Nampaknya anak perempuan ini secara
diam-diam sudah murtad. Bagaimana dia mahu menjawab hujah-hujah
orang-orang Muslim? Kelancangannya patut diberitahukan kepada bapanya
yang dihormati dan dia patut dihukum dengan hukuman yang setimpal.”
Catherine, sahabat Isabella, segera menjawab, “Malang sekali tuan-tuan
semua sedikit pun tidak berlaku adil dan di atas pundak Isabella yang
tidak berdosa ini tuan-tuan timpakan kesalahan. Ada yang mengatakannya
gila dan yang lain pula membuat ancaman tetapi tidak seorang pun yang
menumpukan perhatiannya kepada pokok persoalan. Isabella benar, apabila
dia mengatakan tuan-tuan tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi
tetapi itu bukan bererti agama Kristian tidak benar.”
Lalu dengan suara yang agak keras, dia melepaskan paku buah kerasnya.
“Tuan-tuan semua tidak berguna dan cuba menodai agama Kristian dengan kebahlulan tuan-tuan.”
Peter dengan tubuh tuanya melonjak bangun dan dengan suara yang marah
berkata, “Usir perempuan-perempuan ini dari sini. Siapa yang
membenarkan perempuan-perempuan bedebah ini ikut campur dalam
perbincangan kita?”
Umar Lahmi bangun cuba menyabari.
“Kalau tuan benarkan saya bercakap, saya akan menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Nona Isabella.”
Michael memandang tajam kepada Umar Lahmi.
“Jangan tuan ikut campur percakapan kami. Ini soal rumahtangga kami sendiri.”
Paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung mencelah, “Bagaimana kalau Isabella dan Catherine ini sudah murtad?”
Michael berpaling kepadanya dengan mata yang ragu-ragu.
“Kita tidak dapat menentukan sekarang ini. Budak-budak perempuan ini
tolol. Mereka mahu mempercepatkan perjalanan perbincangan meskipun
masalahnya memakan masa berbulan atau bertahun hendak diselesaikan.”
Perjalanan perbincangan telah terhenti buat seketika lamanya. Para
paderi sedang sibuk berurusan mengenai masalah Isabella dan sahabatnya.
Berbagai-bagai pendapat dan komen diluahkan kepada anak-anak perempuan
yang malang itu. Mereka merancang tuduhan dan menghubungkannya dengan
berbagai-bagai tohmah. Melihat keadaan yang ribut itu, Umar Lahmi dengan
suayanya yang nyaring merdu membaca beberapa ayat AlQuran Surat Maryam.
Seluruh hadirin diam terpaku dan suasana yang tadinya kacau itu menjadi
senyap sunyi. Ada yang diam kerana terperanjat mendengar bacaan yang
ganjil daripada biasa di perdengarkan di dalam gereja. Para paderi yang
kebingungan menutup telinga mereka, khuatir ayat-ayat AlQuran itu
menembus masuk ke dalam hati dan perasaan mereka. Ada sebahagian
daripada orang-orang Kristian di dalam gereja termasuk Isabella yang
faham sedikit bahasa Arab terharu mendengar pujian-pujian terhadap Nabi
Isa dan ibunya yang suci dan bantahan-bantahan terhadap tohmah
orang-orang Yahudi yang dilemparkan kepada mereka. Muka Isabella menjadi
berseri-seri tetapi dia menguasai dirinya dengan sabar dan duduk tidak
bergerak. Setelah selesai Umar Lahmi membaca ayat-ayat itu, barulah
Isabella membuka mulutnya, menyusun kata-kata dengan teratur dan tenang.
“Tuan-tuan. Saya memohon kepada tuan-tuan semua untuk menjadi saksi
bahwa saya adalah orang Kristian yang sempurna. Oleh sebab itu, saya
tidak mahu agama Kristian diperhinakan. Saya tidak maksudkan bahwa kita
tidak ada jawaban bagi semua pertanyaan mereka tetapi masalahnya ialah
paderi-paderi kita tidak memusatkan perhatian kepada persoalan-persoalan
itu. Mereka berpendapat bantuan daripada Roh Kudus diperlukan untuk
memahami kepercayaan Kristian dan hal ini dianggap sebagai satu
kelemahan kita oleh orang-orang Muslim. Saya harap sesudah ini tidak ada
lagi salah faham terhadap saya. Permintaan saya sekarang ialah kita
teruskan perbincangan ini.”
Paderi yang berbadan kurus membuat komen seolah-olah kepada dirinya sendiri.
“Kita sama sekali tidak perlu berbincang dengan orang-orang kafir itu.
Perbincangan yang lepas telah pun menggugat kepercayaan kita.”
Teman yang disebelahnya menyampuk, “Apa maksudmu?”
“Saya maksudkan orang-orang kafir ini sepatutnya kita usir dengan segera keluar dari gereja ini.” jawabnya sambil membuat muka.
Temannya itu berkata, “Jangan berkata mengikut emosi. Masalah ini harus
diputuskan sesudah ditimbang dengan saksama. Saya juga berpendapat
perbincangan ini harus dihentikan saja. Nampaknya, tidak ada manfaat
apa-apa.”
Umar Lahmi mendengar apa yang sedang dibincangkan oleh paderi-paderi yang ada di sekitarnya.
“Tuan-tuan, saya tahu tuan-tuan amat bangga dengan ajaran Nabi Isa
sehingga kalau ada orang menampar pipi tuan-tuan, pipi yang sebelah lagi
tuan-tuan berikan. Tetapi apa yang kami saksikan di sini sekarang?
Apakah kami masuk kemari secara paksa? Apakah bukan tuan-tuan yang
mengundang kami? Sekarang pun kalau tuan-tuan berterus-terang bahwa
tuan-tuan tidak mahu berbincang lagi, kami akan meninggalkan tempat ini
dengan segera. Tapi saya ingin ingatkan kepada tuan-tuan bahwa kami
sudah sampaikan seruan kami dan Allah tidak akan membiarkan usaha kami
itu berlalu begitu saja. Jadi, katakanlah apakah kami harus tinggalkan
tempat ini ataupun tuan-tuan masih mahu berbincang?”
“Tuan yang dihormati. Masalahnya sekarang ialah tuan tidak dapat
memahami realiti kepercayaan agama Kristian dan kedatangan tuan-tuan
kemari pun bukan itu tujuannya.” jawab Peter. “Andaikata tuan mahu
menyambung perbincangan ini, tuan mesti menjawab pertanyaan saya dulu.”
“Baiklah!” ujar Umar Lahmi. “Saya beri kebebasan kepada tuan untuk
mengemukakan pertanyaan apa saja dan saya dengan rendah hati akan
menjawabnya.”
“Apakah Quran ada memuji Kitab Injil? Apakah tuan percaya dengan Kitab Injil?” tanya Peter.
“Sudah tentu AlQuran memuji Kitab Injil dan kami orang Muslim percaya
Kitab Injil, Taurat dan Mazmur dan semua kitab yang disampaikan oleh
nabi-nabi.” ujar Umar Lahmi.
“Kemudian, kenapa tuan tidak percayakan Kitab Injil kami?” kata Peter lagi.
“Kerana ia bukan Kitab Injil.” jawab Umar Lahmi. “Sekiranya seseorang
itu menyusun sebuah fiksi dan menamainya Injil maka kami tidak terikat
untuk mempercayainya kerana ia bukan Kitab Injil tetapi hanya
menjudulkan saja serupa itu. Tuan boleh letakkan di hadapan kami Kitab
Injil yang disebut di dalam AlQuran.”
“Jadi, Injil yang disebut di dalam Quran itu berlainan dari Kitab Injil
kami? Buktinya?” Peter dengan ghairah memajukan pertanyaan untuk
memerangkap Umar Lahmi.
Umar Lahmi menghadapi pertanyaan itu dengan tenang.
“Benar, walaupun AlQuran menyebut-nyebut tentang Kitab Inji yang tulen,
telah menyebut juga kepalsuan ‘Injil’ ini dan menunjukkan
pernyataan-pernyataan yang salah.”
“Jadi, apakah pernyataan-pernyataan salah Kitab Injil kami ini?” tanya Peter lagi.
Umar Lahmi tersenyum kecil. Dia lalu mencapai Kitab Injil yang ada di hadapannya lalu membuka.
“Sebagai contoh. Injil Matius bab 12:46-53 Jesus telah menolak mengakui
ibunya, Maryam dan saudara-saudaranya kerana tidak melakukan kehendak
bapanya di syurga. Penolakan ini samalah sebagai menuduh ibunya itu
murtad. Padahal AlQuran kami menyebutnya ‘siddiqa’ yang bererti dia
bukan murtad tetapi seorang yang beriman dan warak. Dalam ayat yang sama
dalam Injil Matius bab 12: 46-50 itu juga jelas menunjukkan keangkuhan
Jesus dan ketidaksopanannya terhadap ibunya. Meskipun di dalam Taurat
melarang keras menghormati dan memuja ibu tetapi AlQuran menyebutnya
bahwa itu salah dan mengatakan Jesus telah berkata bahwa dia patuh
kepada ibunya dan telah dilarang berbuat baik kepada ibunya itu. Ataupun
juga seperti yang disebutkan dalam Injil bahwa Jesus telah dikutuk dan
kerana kutukan tersebut maka dia telah
disalibkan.* ( * sbg bukti bahwa Kristus telah dikutuk, lihat Galatia 3 : 12-13 )
Tetapi Kitab Suci AlQuran menyebutnya ‘Roh Kudus’ dan ‘Kalimat Allah’
dan bahwasanya ‘Al-Masih ibn Maryam seorang yang mempunyai kemegahan dan
kemuliaan di dunia dan di akhirat dan salah seorang yang diperdekatkan
kepada Allah.* “
( *AlQuran 3:45 )Satu suara sumbang kedengaran dari khayalak ramai.
“Itu salah! Injil mengatakan dia itu ‘Tuhan’.”
“Ya. Sangat menakjubkan. Menurut tuan, Tuhan juga boleh dikutuk. Tuan
telah mengutuk Kristus di samping mengakuinya sebagai Tuhan tanpa
memperdulikan sedikitpun bagaimana Tuhan yang Menjadi Sumber semua
kebaikan dan kesempurnaan itu pantas dikutuki.” kata Umar Lahmi
menjawabnya.
“Yang patut dikutuki ialah syaitan bukan Tuhan. Agama Islam tidak memuja
Kristus sebagai dewa tetapi menganggapnya sebagai manusia biasa dan
pada masa yang sama dia seorang yang bebas dari dosa dan diakui
kesuciannya. Nah, cuba pilih apakah ‘Tuhan’ yang terkutuk itu baik dan
suci ataupun seorang manusia yang bebas dari dosa?”Peter
menyampuk, “Pokoknya mengapa tuan tidak percayakan Injil tetapi tuan
telah melemparkan ke dalamnya persoalan kutukan. Kalau tuan ada
mempunyai Injil yang original yang diakui Quran, nah bawa kemari kepada
kami.”
“Tuan tidak berhak memintanya dari kami. Kalau tuan telah mengakui lebih
dulu bahwa Injil tuan itu karangan dan dipalsukan, pada waktu itu baru
boleh tuan datang kepada kami meminta Injil yang sebenarnya. Saya sudah
buktikan bahwa Kitab Suci AlQuran tidak mengesahkan kesahihan Injil yang
ada sekarang ini tetapi telah membuktikan kepalsuannya dan secara
terang-terangan menceritakan kesalahan-kesalahan Injil sekarang. Cuba
bayangkan, bolehkah Injil ini yang memuja Kristus dan kemudian terbunuh
di atas salib menjadi Injil yang diakui AlQuran? Dalam AlQuran
dirakamkan kata-kata Kristus. ‘Inni Abdallah’ – aku hamba Allah dan
‘padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak mensalibnya’ * Apakah
AlQuran mengesahkan Injil tuan atau membuktikan kepalsuannya?” *
AlQuran 4:157
“Bukankah Quran ada menyebut Jesus itu sebagai ‘Roh Kudus’ dan
‘Kalimat Tuhan’? Bukankah ini satu bukti bahwa dia mengatasi manusia?”
Peter bertanya.
“Benar. Kitab Suci AlQuran ada menyebut Nabi Isa sebagai ‘Kalimat Allah’
tetapi ia juga ada menyebut bahwa Kalimat Allah itu tidak terkira
banyaknya dan jika semua lautan dijadikan dakwat dan semua pokok di
dunia dijadikan pena masih saja tidak akan sanggup menceritakan semua
Kalimat Allah kerana kalimatNya tidak terpermenai banyaknya. Jadi,
Kristus juga salah satu dari Kalimat Allah. Mengenai Kristus menjadi
‘Roh Kudus’ maka hal ini juga tidak akan melebihkannya daripada manusia
lain sebab kalimat yang sama pula digunakan untuk Adam. Di dalam AlQuran
ada disebutkan ‘Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan
Aku tiup padanya rohKu, maka tiaraplah kamu kepadanya dalam keadaan
bersujud’. * Jadi, dengan kalimat yang sama maka Kristus juga serupa
Adam. Jikalau Kristus menjadi ‘Tuhan’ maka Adam juga demikian dan semua
anak-cucunya juga ‘Tuhan’.” * AlQuran 15:29Peter
segera menyampuk, “Sekiranya Quran ada mengatakan Adam sebagai Roh
Kudus maka itu adalah satu kesalahan kerana tidak ada ‘Roh Kudus’ yang
lain selain daripada Kristus.”
Umar Lahmi tersenyum geli mendengar sangkalan paderi tua itu. Dia lalu berkata dengan tenang.
“Tuan fikir seluruh AlQuran itu salah tetapi tuanlah yang mendesak
supaya ketuhanan Kristus dibenarkan oleh AlQuran. Jadi, saya telah
membuktikannya bahwa dia bukan Tuhan. Andaikata dia boleh menjadi
‘Tuhan’ kerana ‘Roh Kudus’, maka Adam alaihissalam juga ‘Tuhan’. Tuan
telah mengatakan AlQuran itu salah dalam soal ini jadi mengapa pula tuan
membawa AlQuran ke mari?”Mendengar
jawaban Umar Lahmi itu, Peter menjadi agak gugup. Dia seolah-olah
tenggelam punca sejurus lamanya. Isabella yang diam mendengar dengan
penuh minat tiba-tiba bersuara.
“Tuan percaya akan ketuhanan Nabi Muhammad meskipun dia memprakarsai
pertumpahan darah di dalam dunia ini dan menyuruh membunuh orang-orang
yang ingkar akan agamanya.”
“Barang dijauhkan Allah! Saya berlindung dengan nama Allah dari
kepercayaan jahat serupa itu.” jawab Umar Lahmi. “Kami anggap Nabi Suci
kami hanya sebagai manusia biasa, hanya dia itu Penghulu Segala Rasul
dan Mahkota Segala Kebaikan. Inti daripada keimanan kami ialah La ilaha
illallahu, Muhammad-ur Rasulullah ertinya tidak ada Tuhan yang patut
disembah melainkan Allah dan Muhammad itu rasulNya. Sesiapa menganggap
Muhammad sebagai Tuhan maka dia menjadi kafir dan terkeluar dari islam.
Tentang Nabi memprakarsai pertumpahan darah di dunia , itu sama sekali
tidak benar. Baginda memang ada melakukan peperangan terhadap kaum
musyrikin yang bercita-cita mahu menghapuskan baginda dan agama yang
dibawanya tetapi baginda tidak pernah mengganggu orang-orang yang tidak
memusuhinya. AlQuran memerintahkan kami berperang melawan orang-orang
yang memerangi kami.”
Kemudian Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya dapat memahami mengapa
Isabella memajukan pertanyaan serupa itu. Para paderi Kristian sejak
lama dulu telah menyebarkan fitnah terhadap Islam sambil mempertalikan
segala macam keburukan kepadanya. Para paderi inilah yang mencemarkan
nama baik Islam dengan mengatakan bahwa orang-orang Muslim menganggap
Rasulnya sebagai Tuhan.
“Tuan telah berkata berulang-ulang kali bahwa Injil kami tidak tulen
meskipun Injil telah disusun oleh murid-murid Kristus dengan bantuan Roh
Kudus. Quran memuliakan mereka itu dan menganggapnya sebagai
orang-orang beriman. Injil telah dianggap sah oleh penganut-penganut
Kristian sedunia.” kata Michael cuba mengetengahkan hujah baru.
“Persoalannya,” jawab Umar Lahmi dengan tenang, “ialah apakah benar
Injil itu disusun oleh murid-murid Kristus yang khusus bertugas untuk
tujuan itu ataupun oleh beberapa orang yang menggunakan nama murid-murid
Kristus. Malah orang-orang Kristian sendiri ada yang tidak sependapat
bahwa murid-murid Kristus yang menyusun Injil. Kemudian ada masalah lain
pula, samaada murid-murid Kristus yang menyusun Injil ataupun oleh
pesuruh-pesuruh lain, AlQuran tetap tidak mengakui Injil yang disusun
itu. AlQuran hanya mengakui Injil yang disampaikan kepada Kristus
langsung dari Allah, seperti yang termaktub di dalam ayat 27 surat
Al-Hadid yang kira-kira maksudnya, ‘Kami berikan kepadanya Injil’ dan di
dalam surat Maryam ayat 30 pula ada disebutkan begini “Putera Maryam
berkata: “Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah. Dia pasti akan
memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia pasti akan jadikan aku seorang
nabi.” Nah, tuan-tuan mengakui bahwa Injil itu disusun oleh murid-murid
Kristus sedangkan AlQuran dengan tegas mengatakan bahwa Injil
diwahyukan kepada Kristus.”
Sebaik saja selesai Umar Lahmi berkata keadaan dalam gereja terganggu
sebentar apabila bapa Isabella yang menjadi ketua paderi tiba-tiba
muncul. Dia terus menempelak paderi-paderi itu.
“Gelanggang gusti apakah yang telah kamu lakukan di sini? Kamu telah
bercakap dengan orang-orang yang tidak beriman di dalam gereja yang suci
ini dan perbuatan kamu itu telah mengganggu kepercayaan orang-orang
Kristian. Orang-orang Kristian telah datang kepadaku mengadu tentang
ketidakupayaan kamu berhujah dengan orang-orang ini. Sudah banyak
orang-orang Kristian yang goncang imannya dan mereka mengatakan malah
anakku, Isabella, juga sudah tidak terkendalikan lagi.”
Dia memandang Isabella dengan mata yang tajam.
“Kau, siapa yang menyuruh kau datang kemari? Apa ada hubunganmu dengan
perbahasan ini? Kau telah mempelajari Quran secara sembunyi-sembunyi,
ya? Aku tahu apa yang kau buat. Kau anak perempuan bodoh. Apa yang kamu
semua lakukan ini ialah memutar-belitkan lidah dengan orang-orang kafir
ini dan perbuatan kamu itu menimbulkan kegusaran kepada Tuhan Yesus.
Jikalau aku dapati kamu semua mengulangi perbuatan ini lagi, aku akan
pecat kamu semua.”
Tempelakan ketua paderi itu membuat paderi-paderi yang ada di dalam
majlis tergamam dan terkejut. Kulit muka Isabella yang tadinya merah
mendadak berubah menjadi pucat lesi. Sejurus lamanya tidak ada seorang
pun di antara paderi-paderi yang berani membuka mulut memberi penerangan
kepada ketua paderi. Tetapi ada seorang paderi muda, kurus tinggi
dengan jambang yang jarang, yang duduk agak jauh di tepi sebelah kiri,
memberanikan diri bangun bercakap.
“Bapa yang suci. Apa yang telah bapa katakan itu benar sekali. Benar,
tidak ada manfaat apa-apa kecuali kerugian kita berbincang dengan
orang-orang yang tidak beriman ini. Tetapi wahai bapa yang suci! Apakah
bapa ingin kita diperhina dan dipermalukan di seluruh Sepanyol ini?
Apakah bapa mahu agama Kristian hapus dari bumi Sepanyol? Demi Tuhan
Jesus, kalau kita tidak dapat mengganyang mereka ini, kita tidak akan
dapat mengangkat kepala lagi di negeri ini. Saya juga dapat mengatakan
bahwa tidak ada seorang pun di antara kita yang boleh menjawab
bantahan-bantahan orang-orang Muslim ini. Andaikata bapa sudi menerima
permohonan kami, saya dengan rendah hati mengatakan bahwa soalan-soalan
yang dikemukakan oleh orang-orang Muslim ini tidak dapat kami jawab
tanpa bantuan bapa yang dihormati. Di seluruh Sepanyol tidak ada abdi
agama Kristian yang dapat menandingi yang mulia, yang boleh
menyelesaikan tugas berat ini dan dengan jawaban yang pendek dan tepat
dari yang mulia, maka mulut orang-orang yang tidak beriman ini dapat
kita tutup untuk selama-lamanya. Andaikata yang mulia tidak tampil ke
muka untuk menyelamatkan agama Kristian sekrangan ini maka bapa yang
sangat mulia, akibatnya bagi kita dan agama Kristian adalah sangat
membahayakan dan dakwahan kita dipermalu dan dihinakan. Bolehkah saya
meletakkan harapan bahwa yang mulia bersedia untuk menjawab masalah yang
ditimbulkan oleh orang-orang Muslim ini?”
Bapa Isabella, ketua paderi, terdiam sebentar demi mendengar
kata-kata paderi muda itu. Air mukanya kembali tenang, rasa marahnya pun
menjadi berkurangan.
Setelah difikirkan sejenak, dia lalu memandang Michael.
“Kamu sendiri yang membuat perkara ini begitu penting dengan mengundang
orang-orang Muslim kemari. Amat malang, kamu tidak dapat menjawab
pertanyaan-pertanyaan mereka walaupun pertanyaan-pertanyaan yang
remeh-temeh serupa itu dan kamu menjadi bodoh sesudah mempelajari
masalah-masalah teologi. Bolehkah orang-orang Muslim ini dibawa ke jalan
yang benar sesudah mendapat jawaban yang memuaskan?”
Michael segera menjawab, “Ya, mereka telah berjanji kalau mereka
mendapat jawaban yang memuaskan, mereka akan keluar dari agama Islam dan
masuk agama Kristian. Mereka telah membuat janji dengan bertulis.”
Mendengar jawaban Micahel, ketua paderi lalu mengambil tempat duduk yang
disediakan khas untuknya, diapit oleh Peter dan Michael. Dia terus
memandang ke wajah Umar Lahmi dan berkata, “Nah, kemukakan
pertanyaanmu!”
“Jika tuan dapat mendengar dengan tenang maka saya akan kemuakan pertanyaan saya.” kata Umar Lahmi.
“Sikap tuan terhadap orang-orang yang malang dan sikap tuan terhadap
etika Kristian menunjukkan kemauan tuan bahwa saya seharusnya menolak
bercakap dengan tuan. Tetapi kerana saya seorang yang mencari kebenaran,
maka saya mahu mencari cahaya petunjuk melalui tuan dan saya ingin
bercakap dengan tuan dengan syarat tuan mendengarnya dengan tenang apa
yang akan saya ucapkan.”
“Tuan jangan ambil hati di atas kata-kata saya yang kasar tadi.” ujar
ketua paderi. “Dan sekiranya perbincangan ini menyinggung perasaan
tuan, saya minta maaf bagi pihak semua yang hadir. Saya percaya tuan
seorang yang mencintai kebenaran dan sudah tentu Tuhan Kristus kami akan
menolong dan menunjuk jalan kepada tuan. Olehsebab itu, saya persilakan
tuan datang ke rumah saya esok supaya semua keraguan dan salah
pengertian tuan akan diselesaikan secara bijaksana.”
Ketua paderi itu kemudian berpaling kepada para paderi yang duduk di kiri dan kanannya.
“Tuan-tuan juga dijemput datang supaya tahu jawaban dari
pertanyaan-pertanyaan orang-orang Muslim ini dan pada masa hadapan
tuan-tuan boleh berurusan langsung dengan mereka.”
Kemudian, paderi besar melihat wajah Umar Lahmi sekali lagi seraya
berkata, “Saya persilakan tuan datang ke rumah saya pagi esok. Pintu
rumah saya sentiasa terbuka untuk tuan.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar