Setelah
keluar sebentar untuk sarapan, Isabella kembali semula ke biliknya.
Ibunya tidak kelihatan dan menurut pembantu rumah, ibunya telah
bersarapan awal dari biasa. Isabella tidak mengesyaki apa-apa cuma
terasa sudah ada bibit-bibit kerenggangan sudah mula ada. Bagaimanapun
tekadnya sudah bulat. Dia sanggup menghadapi apa saja demi untuk
mempertahankan keislamannya. Dia tidak akan melepaskan lagi jalan
kebenaran yang telah diperolehinya itu. Dalam masa dia berfikir, pintu biliknya diketuk orang. Ketika dibuka, pembantu rumah memberi sepucuk surat yang bersampul.
“Ini dari pembantu rumah Nona Mirano,” katanya, “dia sedang menunggu di luar.”
Isabella segera membuka surat. Dia merasa hairan melihat tulisan surat
itu bukan tulisan Mirano. Tentu ada sesuatu perkara yang telah terjadi
ke atas dirinya, fikir Isabella.
Saudara Isabella.
Aku mesti berjumpa dengan anda
segera kerana ada perkara penting yang hendak kusampaikan. Harap anda
datang pada waktu ini juga. Jangan lengah-lengahkan lagi, terlalu
penting. Aku sedang menunggu di sebuah rumah lain. Datanglah
bersama-sama dengan pembantu rumahku ini.
Saudaramu, Mirano
Tanpa mengesyaki sesuatu, Isabella mengikuti pembantu itu. Mereka
berjalan melewati Qasrul Syuhada lalu berjalan lurus menuju ke Rabat
Ramani. Isabella merasa hairan kerana selama dia berkawan dengan Mirano,
mereka belum pernah sampai ke tempat itu. Mirano pun tidak pernah
menceritakan kepadanya tentang sesiapa di antara keluarga atau
kenalannya yang tinggal di daerah tersebut. Tentu Mirano dalam
kesusahan, fikirnya lagi. Tidak jauh dari Rabat Ramani, mereka membelok
ke sebuah lorong dan pembantu rumah itu membawa dia masuk ke dalam
sebuah rumah yang cukup besar. Sebaik saja Isabella masuk, pintu halaman
ditutup. Begitu juga dengan pintu depan. Isabella dibawa ke sebuah
bilik. Apabila pintu bilik ditutup, barulah Isabella sedar bahwa dia
telah ditipu dan dijadikan tawanan. Kesedaran itu telah terlambat. Tiga
orang rahib masuk ke dalam bilik menerusi pintu lain. Mereka menolak
Isabella dengan menggesanya menuruni anak tangga yg membawa mereka ke
bawah tanah. Isabella berpaling untuk berkata sesuatu kepada pembantu
rumah Mirano tetapi pembantu itu sudah tiada lagi. Hilang sekelip mata.
Perasaan Isabella menjadi gempar dan sedarlah dia sekarang bahwa
dirinya telah berada di dalam cengkaman inquisisi. Kakinya agak berat
mahu melangkah turun. Ketika itu juga, salah seorang rahib menumbuk
belakangnya dengan kuat. Sebagai seorang gadis yang perwatakannya
lemah-lembut, terasa pukulan itu seperti satu batu besar yang jatuh
menimpa belakangnya. Dia hampir jatuh tersungkur ke depan.
“Perempuan terkutuk!” sumpah rahib yang memukul tadi. “Jalan cepat!
Tengok itu api Tuhan Jesus Kristus sudah tidak sabar lagi menunggu untuk
membakarmu, perempuan sial! Kau telah menghina agama Kristian dan
menyeret kehormatan bapamu, ketua paderi, masuk ke dalam lumpur.”
Isabella yang malang tidak menjawab. Tubuhnya menggigil dan belakangnya
terasa terlalu sakit. Dia melangkah turun ke dalam ruang di bawah tanah
itu, yang kelihatan kelam dan suram. Dari samar-samar kelam, dia
terpandang kerangka manusia berselerak di semua sudut. Ada tengkorak
bergantungan di dinding. Salah seorang rahib menyalakan sebuah andang.
Setelah itu, dia merapati Isabella.
“Nah, di sinilah tempat tinggalmu supaya kamu tahu akibat permusuhan dengan Tuhan Jesus Kristus, perempuan malang!”
Dia lalu menunjukkan kepada Isabella kerangka manusia.
“Inilah wakil kami yang akan mendera dan menyiksa kamu di sini.”
Isabella masih berdiam diri dan merasakan dirinya seperti sedang di
dalam satu mimpi ngeri. Rahib-rahib lalu meninggalkan ruang lalu
memasang kunci pada pintunya. Mereka beredar ke bilik lain untuk
beribadat. Sejurus kemudian, barulah Isabella sedar bahwa dia
dipenjarakan sebagai satu seksaan kerana sudah tidak beriman.
Isabella tidak tahu apakah hari masih siang ataupun sudah malam
kerana dia merasa sudah begitu lama sekali dikurung di ruang bawah tanah
itu. Kemudia dia dibawa keluar untuk diberikan semangkuk kacang tanah
yang sudah digoreng dan dikisar lumat dengan segelas air minum.
Rahib-rahib masih menghina dan mencacinya. Setelah itu, Isabella dibawa
ke sebuah bilik lain. Di dalamnya, Isabella melihat ada beberapa orang
rahib sedang dalam keadaan yang amat khusyuk. Tujuan mereka membawa
Isabella ke situ agar dapat menyedarkan Isabella tentang keluhuran agama
Kristian apabila dia melihat kekhusyukan para rahib.
Isabella memerhatikan dengan penuh minat. Seorang rahib terbaring
tidur. Kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Seorang lagi
memukul-mukul tubuhnya dengan cemeti. Agak ngeri juga dia melihatnya.
Terlintas di dalam fikiran mungkin orang itu dianggap ada membuat
kesalahan seperti yang dilakukannya tetapi kemudian dia mendapat tahu
bahwa semua penyeksaan diri yang dilakukan oleh rahib-rahib ialah suatu
cara untuk menundukkan diri sendiri dan penyeksaan diri serupa itu
dilakukan atas kemauan rahib itu sendiri. Di dalam sebuah bilik besar
yang lain, terdapat patung Mariam Perawan. Di sekelilingnya duduk rahib
lelaki dan perempuan, tenggelam di dalam tafakkur. Ada rahib yang tidur
menelungkup di atas lantai dan ada yang menangis teresak-esak di
sudut-sudut di sekitar dinding bilik. Sebagai usaha untuk menaklukkan
diri mereka, mereka berpuasa selama 20 atau 21 hari. Isabella telah
mengetahui keadaan itu tetapi inilah pertama kali dia melihat sendiri.
Seorang rahib tua berkata kepada Isabella, “Wahai gadis jahanam!
Jikalau kau mahu mendapat keselamatan, amalkan cara hidup sederhana
serupa itu dan kamu akan disenangi oleh Tuhan Jesus Kristus.”
Isabella tertawa mendengarnya. “Kenapa Tuhan menyuruh hidup serupa itu?
Tujuan agama ialah memberikan tugas kepada manusia untuk membuat
kebajikan kepada sesama manusia bukan disuruh menggantung diri sendiri
di sudut bilik seperti kelawar. Lagi pula menurut anda, Jesus sudah
menebus dosa semua orang-orang Kristian maka perbuatan menyeksa diri
serupa itu sudah tidak ada gunanya lagi.”
Mendengar kata-kata Isabella, mata rahib itu menjadi merah kerana
terlalu marah. Dia menumbuk dada Isabella dengan sekuat-kuatnya .
Dia memekik, “Perempuan isi neraka! Kau sudah tidak boleh dipujuk lagi. Pergi duduk di tempatmu. Di sana nanti akan kami ajar!”
Kembali Isabella ke ruang bawah tanah yang dipeuhi dengan
tulang-tulang dan tengkorak manusia. Pada mulanya, perasaan Isabella
terganggu sedikit dengan keadaan sekitar yang mengerikan. Lama kelamaan
dia sedar akan kedudukannya dan mulai dapat menenangkan diri. Dia
pasrah dengan apa yang akan dihadapinya di hari depan.
Dikuasainya diri sendiri dan berdoa kepada Allah.
Dalam keadaan yang sunyi sepi begitu, sedikit bunyi saja dapat
kedengaran dan Isabella akan memasang telinga. Ruang yang gelap gelita
mulai mendapat sedikit cahaya apabila bilah-bilah sinar matahari
menembusi masuk dari lubang-lubang kecil yang ada di dinding
bilik. Isabella sedar malam sudah berlalu. Tidak lama kemudian, pintu
dibuka orang dan seorang rahib membawanya naik ke sebuah bilik yang
lebih besar. Dalam bilik itu terdapat patung dua belas orang Pengikut
Kristus dan lain-lain patung para martir. Dua orang paderi duduk
menghadap ke sebuah meja. Isabella disuruh duduk berdepan dengan
paderi-paderi itu. Isabella tahu mereka adalah paderi-paderi
termahsyhur di Sepanyol. Dia pernah melihat mereka di rumah bapanya.
Mula-mula, paderi-paderi itu menyumpah-seranah Isabella dengan
berbagai-bagai kutukan yang diucapkan dalam keadaan marah. Kemudian
mereka menuduhnya murtad, memberi malu kepada bapanya, seorang paderi
yang dihormati, mencemarkan agama Kristian dan sebagainya. Setelah itu,
baru mereka berlembut dan berdakwah.
“Sudahkah kau masuk Islam?”
“Syukur kepada Allah yang telah memberikan kepada saya nikmat Islam.” jawab Isabella.
“Sudah!” ujar salah seorang paderi. “Hentikan puji-pujian kepada Islam.
Beritahu kami apakah kau mahu mati dengan kematian yang memalukan
ataupun kau mahu kembali menjadi hamba Tuhan yang dirahmati?”
“Setelah menjadi Islam tiap-tiap orang sudah menjadi hamba Tuhan yang
dirahmati dan tidak ada orang yang lebih beruntung daripada mereka yang
diberi peluang untuk menerima Islam kerana hanya inilah saja agama yang
diredhai Allah.”
“Jangan memuji-muji agama terkutuk seperti Islam di hadapan kami. Kami
cuma mahu mendengar dua perkataan saja, apakah kau mahu mati atau mahu
hidup di dalam agama Kristian? Jawab segera kerana nasibmu akan
diputuskan pada hari ini juga.”
“Betapa penderitaan dan seksaan yang telah dialami oleh martir-martir
Kristian pada zaman permulaan dulu, tetapi mereka tidak membuang
agamanya.” jawab Isabella.
“Mereka telah dibakar hidup-hidup, dicampak ke dalam kandang harimau dan
singa dan dipotong dua tetapi mereka tetap berpegang teguh pada
kepercayaannya. Andaikata kerana keimanan seseorang itu mesti menghadapi
kematian maka itu bermakna dia telah mendapat kerelaan Tuhan dan
mendapat kepuasan batinnya sendiri. Saya sekarang sudah berada di jalan
yang benar, tidak ada satupun di dunia bahkan kematian juga, dapat
memesongkan pendirian saya. Kitab Suci Al-Quran telah mengajar saya
bahwa sembahyang saya, pengorbanan saya, hidup dan mati saya semata-mata
untuk Allah yang tiada sekutu bagiNya. Saya sudah bertekad untuk tetap
mempertahankannya dan saya ternasuk orang-orang yang bertaqwa.”
“Jadi bererti kau tidak mahu meninggalkan Islam dan kembali ke dalam kasih Tuhan Jesus Kristus.” kata salah seorang paderi itu.
:Nasibmu akan diputuskan hari ini!”
“Apa saja keputusan yang tuan buat, buatlah tanpa takut dan menurut kata
hati tuan yang sebenarnya.” kata Isabella. “Paling banyak pun, tuan
hanya boleh mengambil nyawa saya saja tetapi tuan tidak tahu bahwa saya
sebagai hamba Allah, Allah hidup abadi.”
“Bila kematian sudah berada di hadapanmu,” jawab salah seorang paderi,
“barulah kau akan lupa semua ayat-ayat Quran dan Allah serta
lain-lainnya. Kami baru boleh mengerti kalau Quran atau Muhammad boleh
menyelamatkan kau dari kematian.”
Isabella tersenyum kecil.
“Masalah serupa itulah yang telah dikemukakan oleh orang-orang Yahudi
kepada Jesus Kristus dulu iaitu kalau dia di jalan yang benar maka dia
mesti turun dari salib itu dan menyelamatkan nyawanya. Kini, adakah
Kristus di pihak yang salah menurut tuan kerana dia tidak dapat
menyelamatkan nyawanya dari kematian ataupun tuan semua telah mengikut
jejak langkah orang-orang Yahudi itu.”
“Syaitan! Isi neraka! Otak iblis! Tak berguna! Sial!” Paderi itu
melenting lalu bangun dan membeliakkan matanya kepada Isabella. “Kau
panggil aku Yahudi! Kau diam! Tunggulah kematianmu!”
“Memang baik begitu kalau tuan juga diam dan biarkan saya sendirian. Tuan boleh buat apa yang tuan suka.” kata Isabella.
Paderi yang sedang marah memanggil rahib-rahib yang sedang berdiri mengawal Isabella.
“Kurung perempuan ini di ruang bawah tanah itu. Jangan diberi dia makan
atau minum. Bapanya telah mengarahkan supaya dia diserahkan kepada
inquisisi dan nasibnya akan ditentukan esok.”
Mendengar perintah itu, rahib-rahib pun menangkap Isabella dan
menolaknya secara kasar. Sambil menyorong-nyorongnya ke hadapan, mereka
memukul dan membawanya keluar dari bilik itu. Ketika di luar bilik,
mereka lebih berleluasa memukul Isabella hingga dia jatuh tersepuk di
atas lantai. Dia ditarik bangun dan didorong sehingga sampai ke ruang
bawah tanah. Kemudian, Isabella ditolak masuk hingga jatuh ke lantai
lalu pintu ruang itu pun dikunci.
Sudah tiga hari Isabella di dalam kurungan dan tidak sekali pun
dibawa keluar lagi. Isabella tetap cekalkan hati dan memberanikan diri.
Walaupun pada waktu malam, ketika suasana menjadi hening sepi, tengkorak
dan tulang-tulang kerangka manusia menjadikan suasana menakutkan,
ketenangan hati yang diperolehnya membuat dia tidak merasa takut.
Sayup-sayup sampai ke telinganya, suara ngauman para rahib sedang
melakukan ibadat dan adakala kedengaran ucapan, esakan dan raungan
rahib-rahib perempuan yang sedang menyeksakan diri mereka.
…………..
Berita kehilangan Isabella telah diketahui oleh Mirano daripada
pembantu rumah yang telah digunakan oleh komplotan paderi-paderi untuk
menculik Isabella. Mirano segera menghubungi Martha, Hanana dan
Catherine. Dari penyelidikan mereka, ternyata Isabella telah dikurung
dan diseksa di bawah kolong sebuah rumah yang dijadikan sebagai sebuah
biara yang letaknya tidak jauh dari Rabat Ramani. Keempat orang gadis
itu pun membuat keputusan untuk memberitahu hal itu kepada Umar Lahmi
dan Ziad bin Umar.
Pada suatu malam, secara sembunyi-sembunyi, mereka telah ikut hadir
dalam satu perhimpunan di rumah Ziad bin Umar. Semua yang hadir
terperanjat mendengar berita sedih itu, lebih-lebih lagi Umar Lahmi. Dia
tidak memperlihatkan kegemparan hatinya kerana Ziad bin Umar sendiri
menerima berita itu dengan tenang dan sabar.
“Demi Allah,” kata satu suara di antara para hadirin, “jikalau kita
terus bersikap toleran serupa ini, orang-orang Kristian itu akan menjadi
penghalang besar kepada dakwah Islam. Isabella yang sudah menjadi
saudara kita kini dalam tawanan mereka. Menjadi tanggungjawab tiap-tiap
kita untuk membebaskannya walau betapapun juga korbannya.”
Seorang hadirin berdiri dan bersuara dengan lantang sekali.
“Dengan izin tuan, saya akan pergi membebaskannya sekarang juga. Malang
sekali, saudara kita sedang menghadapi seksaan dan kita duduk berpeluk
tubuh. Memang satu kezaliman!”
Umar Lahmi memandang Ziad bin Umar sebelum dia berkata.
“Saudara-saudara, kegemparan dan jerit-pekik tidak dapat menolong kita.
Perkara ini sekarang ada di dalam tangan guru kita, Ziad bin Umar. Kita
semua akan mengikut apa jua arahannya.”
“Tuan Ziad,” kata hadirin, “kami menuruti apa saja perintah tuan.”
“Arahan saya kepada tuan-tuan semua,” ujar Ziad bin Umar, “ialah jangan
melakukan tindakan yang terburu-buru yang akan mengakibatkan kematian
Isabella. Jika kita mahu, kita boleh mengirim sepasukan tentera tetapi
adalah lebih manfaat kalau kita melakukan tindakan yang strategis.
Andaikata Isabella di dalam kesukaran maka insya’Allah itu akan
mempertebalkan imannya. Iman itu ialah nilai Islam yang hanya dapat
dicapai melalui percubaan.”
Umar Lahmi lalu memandang kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya.
“Nah, bagaimana pula pendapat saudara-saudara sekalian? Sampai setakat mana saudara-saudara boleh menolong Isabella?”
“Sekiranya kami dibenarkan menolong,” kata Mirano, “kami dengan mudah dapat melepaskan saudara kami itu dari kesukaran.”
“Terima kasih banyak.” ujar Umar Lahmi.
“Saudara-saudara, kami beri kebenaran untuk melakukan apa saja bagi membebaskan Isabella.” kata Ziad bin Umar.
Setelah mendapat kebenaran dari Ziad bin Umar, keempat-empat anak gadis
itu pun meminta diri. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat satu
rancangan dan berteguh-teguhan janji akan merahsiakan rancangan itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar