Isabella
menjadi salah seorang peserta yang cukup besar minatnya di dalam
perbincangan teologi itu. Selama perbincangan itu berlangsung,
fikirannya menjadi penuh dengan perkara-perkara yang dibincangkan. Dia
sudah tidak menghiraukan lagi segala aktiviti yang lain. Semua janji
dibatalkannya, masalah-masalah sosial yang mengusutkan ditolak ke tepi.
Setiap kali para paderi itu tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi,
Isabella membuat kesimpulan sendiri bahwa mereka memang tidak mempunyai
jawaban dan kepercayaannya terhadap agama Kristian pun mulai goyah
sedikit demi sedikit. Dalam ingatannya, terbayang dengan jelas peristiwa
yang berlaku di rumahnya ketika bapanya berhadapan dengan Umar Lahmi. Umar
Lahmi bersama dengan beberapa orang sahabatnya telah datang ke rumah
ketua paderi sesuai dengan perjanjian mereka waktu pertemuan di gereja
besar. Paderi-paderi yang lain dan beberapa orang kenamaan dalam
kalangan penganut Kristian juga ikut diundang. Ketibaan Umar Lahmi dan
sahabat-sahabatnya pada pagi itu telah disambut dengan penuh hormat.
Mereka ditempatkan di sebuah bilik yang berasingan dan dijamu dengan
minuman serta kuih-muih yang lazat citarasanya.
Sebuah ruang telah disiapkan untuk perbincangan yang penting itu.
Umar Lahmi dengan beberapa orang pengiringnya duduk berhadapan dengan
empat puluh orang cendekiawan Kristian yang hebat-hebat. Isabella dengan
teman-temannya serta beberapa orang wanita lain duduk di bilik sebelah.
Setelah semua duduk dengan selesa, ketua paderi berkata kepada Umar
Lahmi, “Saya sudah tahu akan pertanyaan yang tuan mahu kemukakan teapi
saya tidak mahu berbicara secara terperinci dan memanjangkan
perbincangan ini. Saya cuma akan bercakap sepatah dua saja yang boleh
mencapai tujuannya dalam beberapa minit. Apa yang saya maksudkan ialah
Islam dan Kristian akan diuji tentang ajaran-ajaran dasarnya dan agama
yang dapat memperlihatkan ajaran-ajaran yang terbaik, itulah agama yang
benar. Bukankah begitu?”
“Saya tidak ada bantahan apa-apa dan saya bersedia untuk
membincangkan tiap-tiap garis yang tuan pilih,” kata Umar Lahmi, “memang
benar hanya melalui ajaran sajalah Kristian dan Islam itu dapat
diketahui benar atau palsunya.”
“Bagus, bagus!” ujar ketua paderi dengan suara gembira. “Sudah tentu
pertolongan Roh Kudus berada di pihak tuan dan tuan segera akan dipimpin
keluar dari lorong yang salah masuk ke lorong yang benar. Nah, sekarang
tuan telah bersetuju dengan garis yang saya cadangkan, saya ingin
menyatakan bahwa dalam tiap-tiap agama ada dasar-dasar prinsip dan
perkara-perkara yang terperinci. Saya mahu meletakkan di hadapan tuan
inti dasar agama Kristian yang tidak lebih dari sepatah perkataan dan
sebagai balasannya tuan juga mesti memberikan inti dasar agama tuan
dengan sepatah perkataan juga. Tuan bersetuju?”
“Silakan! Saya bersetuju saja dengan cadangan tuan.” jawab Umar Lahmi.
Ketua paderi itu berpaling kepada paderi-paderi lain dan berkata,
“Cuba lihat! Beginilah caranya berbincang cuma dengan sepatah perkataan
saja isu dapat diputuskan.” Kemudian dia menoleh semula kepada Umar
Lahmi, “Nah, sekarang dengar baik-baik. Inti dasar agama Kristian ialah
kasih. Dengan sepatah perkataan ini saja agama Kristian telah
disingkatkan. Sekarang giliran tuan pula memberikan inti dasar agama
Islam dengan sepatah perkataan juga.”
“Saya merasa bangga untuk menyatakan bahwa Islam telah meringkaskan inti
dasar ajarannya dengan satu perkataan saja yang meliputi semua dasar
prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Akar prinsip Islam dan
ajarannya ialah Tauhid.” kata Umar Lahmi.
“Kalau inti dasar Islam itu tauhid maka kasih tidak termasuk ke
dalamnya. Selain daripada itu, kami juga mengatakan tauhid* sebagai inti
agama kami.” ujar ketua paderi itu. * dalam terjemahan
‘Tauhid’ disebut ‘unity’. Erti tauhid ialah kesaksian akan keesaan
Allah.
“Kalau tauhid menjadi inti dasar agama tuan, tuan harus
mengetengahkannya. Kenapa pula tuan katakan kasih sebagai dasar agama
tuan? Dan amat salah mengatakan dengan menerima tauhid sebagai inti
dasar agama kasih terkeluar daripadanya. Sebaliknya menurut kenyataan
bahwa kasih itu datang dari tauhid. Kalau tauhid tidak diambil dengan
segala aspeknya maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Untuk
menerima kasih sebagai inti dasar agama bererti penolakan total terhadap
tauhid atau menidakkannya sebagai inti dasar agama.” jawab Umar Lahmi.
Ketua paderi itu menyambut jawaban Umar Lahmi itu dengan mengatakan,
“Pokoknya ialah tauhid itu datang dari kasih dan bukan kasih dari
tauhid.”
“Itu suatu logika yang salah. Kalau tauhid datang dari kasih maka kasih
menjadi perkataan yang tidak bermakna. Kerana tanpa tauhid, yakni
kesaksian akan keesaan. Allah akan menidakkan kasih akan Allah yang
sebenarnya kerana kasihkan Allah bergantung kepada ilmu tentang
ketuhanan, dan ketauhidan merupakan pengakuan yang hakiki akan Allah.
Dengan hanya kasih saja belum lagi menjadi bukti kasihkan Allah.”
Umar Lahmi menghujah kata-kata paderi tua itu.
“Tuan telah memulakan perbincangan panjang. Apa yang saya maksudkan
ialah kasih tidak ada tempat dalam Islam.” ujar ketua paderi itu.
“Kalau kasih tidak ada tempat di dalam Islam,” sahut Umar Lahmi dengan
cepat, “maka bererti bahwa kasih tidak wujud sama sekali di dalam dunia
ini. Walau bagaimanapun benarnya kata-kata tuan itu tetapi tidak ada
sedikit juga kesan-kesan kasih dalam agama Kristian. Kasih cuma
permainan bibir. Tidak ada ukuran dan tidak ada bukti.”
Ketua paderi itu mula meradang. Air mukanya berubah.
“Begini! Sudah menjadi cogankata yang terkenal di dalam kitab kami bahwa
Tuhan ialah kasih. Bukankah ini bukti tentang kasih itu?”
“Cuma pengakuan mulut saja,” kata Umar Lahmi, “kecuali ada ukuran kasih
itu. Teori kasih yang dikatakan itu tidak dapat diterima.”
“Kini tuan membuat definisi tentang kasih pula. Bukankah dalam kitab
kami ada disebutkan Tuhan bapa? Bukankah bapa itu mengasihi
anak-anaknya?”
Umar Lahmi juga sudah mula gusar. Lalu dijawabnya, “Pokoknya, hanya
dengan berulang-ulang menyebut perkataan kasih saja kita tidak akan
sampai ke mana-mana kecuali semua syaratnya dipenuhi. Jikalau seseorang
itu mengasihi seseorang lain maka dia harus membuktikan dengan
pengorbanan diri dan hartabendanya dan barulah dapat dikatakan kasih
yang sejati. Oleh sebab itulah Islam telah menentukan ketaatan dan
amalan sebagai kriteria kasih yang dengan lain perkataan disebut
pengorbanan diri dan hartabenda. Dalam AlQuran Allah berfirman kepada
Nabi Muhammad “Katakanlah jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah akan
daku agar kamu dikasihi oleh Allah dan diampuni dosa-dosamu; dan Allah
Maha Pengampun lagi sentiasa mencurahkan rahmatNya. Katakanlah! Taatlah
akan Allah dan RasulNya. Jika mereka tetap berpaling maka sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir*. Ayat ini telah
memberikan ketentuan tentang ukuran kasih yang membezakan antara kasih
sejati dengan kasih palsu. Tetapi di dalam agama tuan tidak ada kriteria
kasih ini. Sesiapa saja yang munafik boleh bangun berdiri dan berkata
dia kasihkan Allah.”
* AlQuran, surat Al-Imran : 32-32
“Tuan mulai lagi perbahasan yang panjang. Saya mahu segala sesuatu
itu meliputi banyak hal supaya keputusan dapat dicapai segera.
Bagaimanapun, jikalau Quran tuan juga ada menyebut Tuhan bapa maka mana
satu tingkat kasih yang paling tinggi?” ketua paderi bertanya.
“Kalau AlQuran menggunakan perkataan bapa untuk Tuhan maka itulah bukti
yang paling besar akan ketidaksempurnaannya. Islam tidak pernah
menggunakan perkataan yang mengelirukan ini untuk Tuhan tetapi
sebaliknya ia ada menggunakan perkataan-perkataan yang lebih agung
ertinya dibandingkan dengan perkataan bapa.” jawab Umar Lahmi.
“Mulut tuan terlalu lancang mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan.”
Nada suara ketua paderi agak meninggi kerana dipengaruhi oleh perasaan marah.
“Cuba beritahu saya cepat apa perkataan yang digunakan oleh orang Islam sebagai ganti yang lebih baik daripada perkataan bapa?”
Melihat kemarahan ketua paderi itu, Umar Lahmi dengan tenang berkata,
“Tidak ada sebab untuk naik darah. Saya mengatakan perkataan bapa itu
mengelirukan kerana ia menjadi dasar tugas sekutu Allah. Tuan juga
percaya kepada ketuhanan Kristus. Tentang perkataan yang lebih baik
sebagai ganti perkataan bapa kami orang Muslim menggunakan perkataan Rab
yang secara tidak langsung menyatakan ia zat yang memelihara kita dari
awal sampai akhir dan pemeliharaanNya tidak pernah terhenti. Jadi dengan
menggunakan perkataan Rab, Islam telah mengajarkan bahwa pemeliharaan
kasih Allah terus menerus ada. Tetapi konsep bapa membawa makna bahwa
bapa itu akan mengasuh anaknya sampai kepada satu waktu yang tertentu
saja setelah itu dia tidak ambil peduli lagi. Selain daripada itu
seorang bapa hanya dapat memelihara anak-anaknya dalam perkara-perkara
opsional saja tidak dalam perkara-perkara di luar dari keupayaannya.
Sebagai contoh kalau anak itu jatuh sakit, bapa tidak dapat menyembuhkan
penyakit itu sementara orang di dalam pemeliharaan Allah adalah
sebaliknya kerana Dia mempunyai kuasa atas segala sesuatu dan Maha
Berkuasa. PemeliharaanNya kekal abadi. Ini membuktikan bahwa perkataan
pemeliharaan adalah lebih sesuai dengan martabat Allah daripada
perkataan bapa. Lagi pula perkataan pemeliharaan menunjukkan ‘Keesaan
Allah’ sementara perkataan bapa pula menjadi punca menugaskan seorang
sebagai sekutu kepada Allah di dalam dunia.”
Ketua paderi itu kelihatan gelisah mendengar hujah Umar Lahmi tetapi
dia cuba juga untuk menjawabnya dengan berkata, “Pengaruh pemeliharaan
yang tuan katakan itu tidak dapat dibuktikan di dunia ini. Tuan tidak
boleh menutup mata terhadap kasih bapa. Jadi, bagaimana orang dapat
menerima perkataan yang tidak ada erti dan tidak ada bukti di dunia ini.
Tuan tidak boleh menolak pengaruh kasih bapa.”
“Malang sekali kepercayaan tuan kepada penebusan dosa telah menutupi
pemandangan tuan, kalau tidak tentulah tuan tidak akan berkata serupa
itu.” kata Umar Lahmi.
“Tiap-tiap hari kita melihat anak kecil dipelihara dalam rahim ibunya.
Kanak-kanak, orang remaja, orang dewasa terus menerus dipelihara.
Pemerliharaan itu berterusan dari awal sampai akhir. Bukankah itu
pekerjaan Rab yang kita saksikan setiap hari?”
“Kitab Suci Injil mengatakan bahwa Tuhan mempunyai kasih yang
sedemikian rupa terhadap manusia di dunia ini sehingga Dia mengorbankan
putera satu-satunya untuk menyelamatkan manusia. Apakah lagi bukti yang
lebih baik tentang kasih bapa yang telah mengorbankan anak yang
dikasihinya kerana kasih?” kata ketua paderi.
“Keterangan dari Injil itu sendiri telah membantah dakwaan tuan. Tuan
maksudkan bahwa bapa itulah yang mengorbankan anaknya yang suci bersih
demi manusia yang kotor dan penuh dosa,” kata Umar Lahmi, “itulah
pernyataan kasih bapa yang ditunjukkan dengan membunuh anaknya yang
tidak bersalah? Tetapi Rab tetap berlaku adil kepada sesiapa saja.
Sebaliknya Dia menghukum orang yang zalim. AlQuran dalam surat Al-An’am
ayat 164 mengatakan ‘Dan tiada seseorang yang berdosa memikul dosa orang
lain’. Tetapi bapa tuan membunuh anak sendiri. Jikalau menyalib dan
membunuh anak sendiri yang tidak berslaah dan tidak berdosa dikatakan
kasih, maka kita tidak akan menyebutnya lagi sebagai kasih.”
Ketua paderi berpaling kepada paderi-paderi lain sambil berkata,
“Saya fikir orang ini cenderung kepada Jesus Kristus tetapi rupanya dia
seorang pemungkar yang gigih. Semua yang telah saya katakan ialah
perkara-perkara tinggi tetapi bagaimana orang-orang ini dapat
memahaminya?”
Kemudian dia memandang Umar Lahmi, “Hati tuan sudah tertutup. Kristus
tidak bersedia menerima tuan. Sekarang baiklah tuan pergi jauh dari
sini. saya tidak mahu lagi berurusan dengan tuan. Tuan kemari hanya
menggusarkan saya saja.”
Kemudian dia berkata kepada paderi-paderi yang lain. “Kalian juga jangan
lagi berurusan dengan orang-orang ini. Kalian sudah melihat betapa
mereka sangat keras kepala. Tidak dapat menyetujui apa pun juga.”
“Tapi tuan …” Umar Lahmi mahu membantah.
“Tutup mulut tuan.” Ketua paderi membentak. “Saya sudah tahu akan tujuan
tuan datang ke mari dan tentang apa yang tuan mahu berbincang dengan
kami.”
Sambil mengucapkan kata-kata itu, ketua paderi memperlihatkan tatakrama
Kristian. Dia terus bangun dan meninggalkan tamu-tamunya lalu naik ke
bilik di tingkat atas. Melihat keangkuhan ketua paderi itu, Umar Lahmi
dan sahabat-sahabatnya lalu bangun dan dengan suara kuat berkata,
“Nasrum-min-a-Allahi wa fat-hunqarib*”
* pertolongan dari Allah dan kemenangan yang sudah dekat – surat Ash-Shaf :13
Mereka semua lalu keluar meninggalkan rumah ketua paderi sambil terus
mengucapkan kata-kata itu berulang-ulang disaksikan oleh paderi-paderi
dan hadirin yang lain yang masih belum hilang perasaan terkejut kerana
sikap ketua suci mereka yang tiba-tiba saja meninggalkan perbincangan
itu. Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu berpisah, menuju ke rumah
masing-masing.
Pada petang itu, Isabella bertemu semula dengan sahabat-sahabatnya di
taman yang selalu mereka kunjungi. Mereka tidak duduk di tempat biasa,
khuatir bertemu dengan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya. Mereka berasa
malu dengan sikap bapa Isabella yang sangat-sangat mereka hormati. Dalam
pertemuan itu mereka bercakap tentang perbahasan yang telah berlaku
pada pagi itu. Berbagai-bagai macam komen, pro dan kontra mereka
keluarkan. Isabella lebih banyak mendengar. Perasaan dan fikirannya
sarat dengan berbagai-bagai macam persoalan. Kepercayaannya kepada agama
Kristian mulai mendapat godaan. Daripada hujah-hujah yang dikemukakan
oleh Umar Lahmi, dia dapat melihat walaupun belum begitu yakin bahwa
agama Kristian hampir menyerupai satu kepura-puraan yang tidak mempunyai
dasar atau prinsip.
Waktu perbincangan awal dulu, Isabella berpendapat Peter dan Michael
serta paderi-paderi yang lain itu tidak begitu dalam ilmunya sehingga
mereka tidak dapat mematahkan hujah-hujah Umar Lahmi. Pada masa itu dia
yakin dengan sepenuh hati akan bapanya, ketua paderi, dapat dengan mudah
mengalahkan orang-orang Muslim itu kerana bapanya terkenal sebagai
seorang yang alim dalam selok-belok agama Kristian. Kalau orang-orang
seperti Michael dan Peter tidak dapat menundukkan Umar Lahmi, bapanya
sudah tentu dalam waktu yang singkat dapat menutup mulutnya. Tetapi
setelah mendengar perbincangan pada pagi itu maka dia sungguh amat
kecewa terhadap bapanya. Kekecewaannya itu menjadi makin pedih apabila
bapanya mengusir orang-orang Muslim itu pulang dan dengan angkuh
meninggalkan majlis dan para tamu. Daripada kejadian itu terfikir
olehnya bahwa dasar agama Kristian tidak lebih daripada semacam sarang
labah-labah.
Sahabat-sahabat Isabella merasa gundah dengan sikapnya yang tidak
banyak bercakap dan ketawa seperti biasa. Dia lebih banyak tenggelam
dalam fikirannya sendiri tetapi mereka tidak berani bertanya. Mereka
membiarkan dia terus dalam keadaan begitu dengan sangkaan akan berubah
apabila peristiwa pagi itu dapat dilupakan.
Sedikit demi sedikit, Isabella mulai renggang daripada
sahabat-sahabatnya. Dia kini lebih banyak menyendiri dan menumpukan
perhatiannya kepada mempelajari isi Kitab Inji dan AlQuran. Dia membuat
perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itu
mempunyai unsur-unsur kebenaran yang banyak dan yang mana pula berisi
dengan khurafat. Dia mengukur perbandingan itu dengan menumpukan
fikirannya kepada masalah-masalah tauhid, kerasulan, Kitab Suci AlQuran,
salam, penebusan dosa, pengantaraan, erti dosa, tindakan manusia dan
akibatnya.
Sudah sebulan masa berlalu dari tarikh pertemuan antara bapa Isabella
dengan Umar Lahmi. Dalam masa itu Isabella secara bersembunyi telah
beberapa kali menemui Umar Lahmi untuk mendapat penerangan yang lebih
lanjut tentang masalah-masalah yang dihadapinya ketika membuat kajian
perbandingan antara Islam dan Kristian. Isabella sudah mulai menundukkan
kepalanya kepada Islam dan dia bukan lagi penganut Kristian yang taat.
Tetapi untuk menukar agama merupakan satu masalah besar baginya.
Fikirannya terganggu apabila datang keinginan untuk meninggalkan agama
yang telah dianutinya sejak dia lahir ke dunia ini. Betapa besar cubaan
dan godaan yang harus dihadapinya jika dia menyeberang ke agama Islam.
Bapa, ibu, saudara-saudara perempuan dan kaum kerabat terpaksa
ditinggalkannya dan betapa pula keadaan hidupnya di hari depan. Pada
masa itu terlintas fikiran lain di kepalanya, cubaan dan godaan harus
dihadapi di dalam mencapai jalan kebenaran dan setelah mengenali
kebenaran, tentulah dia akan hina di hadapan Allah kalau dia tidak
berterus-terang mengakuiNya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar